Pandu Uji Honda CR-V 2.0 2013: SUV Urban dan Praktikal!

Honda CR-V 2013.22

Honda tidak pernah kalah dalam mengeluarkan model-model hits antaranya Civic, Accord, Jazz, dan CR-V. Model-model tersebut jika ditanya di ceruk mana pun pasti akan dikenali, digemari dan diidam-idamkan. Baru-baru ini saya memandu uji Honda CR-V baharu yang dilancarkan pada Mac lepas. Mungkin ada yang tertanya apakah maksud di sebalik nama CR-V yang sebenarnya merujuk kepada Comfortable Runabout Vehicle seperti yang banyak ditayang pada kotak tayar gantian dibonet belakang model generasi lama. Di pasaran Amerika Syarikat (AS), CR-V begitu popular hinggakan pada tahun 2007 menjadi salah satu dari sepuluh kenderaan terlaris. Di pasaran tempatan apa kurangnya, setiap generasi CR-V yang pertama kali diperkenalkan pada tahun 1995 itu mendapat sambutan dan SUV itu sudah memasuki generasi yang keempat.

Honda CR-V 2013.09

Daripada pemerhatian dan pembacaan yang dibuat, ramai yang berkenan dengan CR-V kerana saiz dan praktikaliti yang ditawarkan. Model itu seolah-olah pilihan wajib untuk mereka yang ingin menaik taraf selepas puas memandu kereta penumpang atau mereka yang mahukan kenderaan keluarga dengan saiz sederhana. Dek kerana sambutan yang hangat, SUV itu menerima saingan yang sengit sama ada daripada pesaing tradisi seperti Nissan X-Trail atau pun pesaing baharu seperti Hyundai Tucson, Ford Kuga atau yang paling hampir dengannya iaitu Mazda CX-5. Jika anda berada di dalam pasaran tersebut pasti berbelah bahagi di antara Honda CR-V atau Mazda CX-5 di mana kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri.

SONY DSC

Melalui CR-V generasi keempat nampaknya Honda telah lari jauh daripada tema asal CR-V yang nampak maskulin dan berkotak. Model generasi ketiga dan keempat sebenarnya sudah memasuki sempadan kereta bandar dengan rekabentuk yang lebih membujur dengan bucu dan sudut yang lembut. Posisi tempat duduk dan suasana dalaman seolah-olah berada di dalam sebuah kereta dengan jarak kelegaan kepala yang tinggi berbanding rekaan berkotak-kotak dan simetri yang lazim untuk pacuan empat roda. Mujur Honda tidak mengaplikasikan rekaan papan pemuka dua tingkat seperti Civic baharu yang sebenarnya banyak mendominasi ruang jika tidak, hilanglah ciri-ciri sebuah SUV. Walau bagaimanapun persamaan dengan kereta itu hanyalah mengikut citarasa pasaran dan peredaran zaman. Jika diperhatikan, berapa ramai sangat yang menggunakan SUV untuk masuk ke hutan atau alasan paling lemah pun berapa kerat sangat yang membelinya untuk pergi memancing.

SONY DSC

Memandu CR-V adalah tipikal sebuah kenderaan Honda, kerusinya selesa, penggunaan ruangnya optimum manakala suspensinya ditala sedikit keras untuk pemanduan yang lebih dinamik. Walaupun tidak mampu menyelurusi selekoh sepantas sebuah kereta namun ketepatan stereng serta olengan badan boleh dipuji untuk sebuah SUV. Sterengnya juga seimbang, ringan sewaktu keluar-masuk parkir dan sederhana sewaktu kelajuan tinggi cuma tipikal untuk kereta buatan Jepun ialah kenderaan terasa ringan pada kelajuan melebihi 120 km/j.

Seperti model-model baharu Honda yang lain, CR-V turut dibekalkan mode ECON untuk pemanduan lebih ekonomikal dengan menala semula pergerakan enjin. Berada di dalam mode tersebut, operasi enjin lebih melahu atau bergerak perlahan dengan hantaran kuasa yang rendah, karakter yang sesuai untuk pemandu yang sabar dan tenang.

Honda CR-V 2013.15

Turut dilengkapkan ialah ECO Assist dengan nyalaan latar belakang meter kelajuan berwarna hijau dan beransur ke warna putih sebagai indikasi pemanduan yang ekonomikal atau normal. Melengkapi info grafik pada papan pemuka ialah skrin i-MID yang memaparkan informasi penggunaan minyak, hiburan, jam dan kamera undur. Skrin itu sangat berfungsi seperti yang terdapat pada Civic Hybrid dengan pelbagai informasi namun terasa kosong untuk CR-V dan boleh diganti dan ditambah dengan pelbagai maklumat lagi seperti rekod servis atau pun sistem navigasi. Agak ralat, apabila Honda tidak menawarkan opsyen sistem navigasi dan sambungan bluetooth seperti yang terdapat standard pada model CR-V 2.4.

Bukan setakat itu, terdapat beberapa kekurangan lain seperti tiada opsyen kerusi kulit yang saya fikir wajib untuk kenderaan keluarga sebegini dan paling janggal ialah tiada sensor undur. Walau pun CRV didatangkan standard dengan kamera belakang namun sensor undur sudah menjadi kebiasaan pemandu tempatan. Setidak-tidaknya Honda boleh menawarkan kemudahan tersebut sebagai tambahan kepada barisan aksesori yang terdiri daripada tonneau cover (penutup bagasi) dan kit badan Modulo. Namun apa yang boleh dipuji ialah operasi lipatan kerusi belakang dengan satu pergerakan tunggal sama ada melalui tuil pada bahu kerusi atau pada dinding kargo. Saya berasa seronok dan seperti anak kecil apabila bermain-main dengan fungsi tersebut.

Honda CR-V 2013.20

Mengenai kuasa pula, jika dibuat kajian pasti akan menjumpai rungutan mengenai kuasa enjin 2.0 liter i-VTEC yang kurang bertenaga untuk menggerakkan CR-V generasi lama. Untuk model generasi keempat, Honda masih mengekalkan enjin yang sama tetapi dengan penambahan kuasa sebanyak 5ps kepada 155ps dengan tork 190Nm. Perubahan yang paling besar dirasakan ialah transmisi automatik lima kelajuan dengan nisbah yang lebih singkat supaya SUV ini dapat digerakkan dengan lebih tangkas. Namun untuk mereka yang biasa memandu kereta, perubahan itu masih tidak memadai ditambah pula jika di dalam mode ECON.

SUV ini sebenarnya tidak mempunyai masalah jika dipandu dengan teknik yang betul cuma pemandu perlu faham dan mahir dalam mengekstrak kuasa. Mungkin apa yang Honda boleh buat ialah menawarkan CR-V versi 2WD seperti negara jiran yang kurang peralatan mekanikalnya dan pastinya lebih ringan berbanding versi Real Time 4WD ini. Purata penggunaan minyak sepanjang pandu uji dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang pula ialah sebanyak 10.7 km/l dan saya yakin penggunaan minyak lebih menjimatkan untuk versi 2WD.

Honda CR-V 2013.18

Setelah bersama selama lima hari empat malam, Honda CR-V generasi keempat ini mewarisi DNA generasi terdahulu seperti praktikaliti dan penggunaan ruang yang pintar. Cuma model ini telah dievolusikan menjadi lebih urban dengan karakter pemanduan seperti sebuah kereta. Jika dahulu, CR-V kurang saingan namun kini corak permainan sudah berubah dengan pesaing lain yang menawarkan lebih nilai dengan harga yang ditawarkan.

Walau pun CR-V masih mendapat sambutan hangat namun banyak jualan telah hilang kepada pesaing lain tambahan pula pelanggan hari ini lebih berhati-hati dan pandai membuat perbandingan. Buat masa sekarang dan dalam tempoh terdekat, Honda masih di depan terima kasih kepada rekod jenama dan perkhidmatan yang telah lama dibina. Kepercayaan dan hubungan itu adalah suatu yang berharga dan harus sentiasa dipelihara dan dipertahankan oleh Honda!

@muhd_gt

Silakan kongsi:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.