TOYOTA VIOS 2013 KINI DI MALAYSIA

Toyota Vios TRD 2013.01

UMW Toyota Motor, pengeluar dan pengedar kenderaan Toyota di Malaysia, melancarkan model Vios Serba Baru. Dengan pelbagai naik taraf serta peningkatan, Toyota Vios Serba Baru ini memberikan pelanggan ‘Nilai Melangkaui Kebiasaan’.

Toyota Vios Serba Baru menerapkan penggayaan baru yang lebih jitu, teknologi automotif maju dan ciri-ciri yang dipertingkatkan bagi semua varian, menawarkan kepada pelanggan nilai pemilikan dan kepuasan yang lebih tinggi. Pengambilan tempahan bagi Toyota Vios Serba Baru ini dibuka sejak 1 Julai dan sehingga kini, lebih daripada 8,000 unit sudah ditempah. UMW Toyota Motor mensasarkan jualan sekitar 36,000 unit model baru ini setahun.

Bercakap ketika majlis pelancarannya, Presiden UMW Toyota Motor menjelaskan,”Dengan permintaan yang menggalakkan ini, kami yakin bahawa Toyota Vios Serba Baru akan mencatat sebuah lagi kejayaan tersendiri buat kami di Toyota.”

Datuk Ismet turut mengulas sejarah ringkas dan evolusi model Vios bagi pasaran Malaysia; “Sejak pengenalannya pada 2003, Vios menjadi model Toyota paling laris terjual bagi segmen kenderaan penumpang kecil bukan nasional. 6 daripada 10 pembeli di Malaysia bagi segmen berkenaan memilih Vios sejak pengenalannya itu. Sehingga Ogos tahun ini, jumlah jualan Vios mencecah angka hampir 265,000 unit.”

Sejak 2003, Toyota Vios dipasang di Malaysia, di kemudahan pemasangan milik UMW Toyota Motor, Assembly Services Sdn Bhd (ASSB) Shah Alam. Sejumlah RM600  juta dilaburkan bagi projek Vios, antaranya untuk mendapatkan peralatan teknologi tinggi serta melaksanakan penambahbaikan terhadap proses pengeluaran secara keseluruhannya.

UMW Toyota Motor merupakan satu-satunya pengeluar kenderaan bukan nasional yang mempunyai kemudahan cetak-badan kenderaan (body stamping) lengkap di Malaysia. “Kami juga amat berbangga untuk mengumumkan kandungan tempatan (local content) bagi Vios Serba Baru ini dipertingkatkan daripada 15% sejak kami memulakan pemasangannya pada 2003 kepada hampir 50% bagi versi terbaru ini,” jelas Datuk Ismet Suki. Beliau turut menekankan bahawa langkah ini sebagai sokongan UMW Toyota Motor kepada usaha kerajaan bagi mempromosi penggunaan sumber tempatan dalam industri berkenaan.

Beliau juga turut menjelaskan dengan lebih lanjut berkaitan populariti Vios. “Penjimatan minyak yang tiada tandingan, keselesaan pemanduan dan tentunya prestasi keseluruhan model ini adalah selangkah dihadapan berbanding pesaing-pesaingnya,” ujar Datuk Ismet Suki. Dengan purata jualan tahunan yang konsisten, hampir 30,000 unit, Vios ternyata berjaya memenangi hati pemandu di Malaysia.

“Saya juga secara peribadi ingin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan-pelanggan Toyota di atas sokongan yang diberikan bagi membolehkan kami mencapai tahap seperti sekarang ini. Pandangan pelanggan kami adalah sangat penting. Kami terus-menerus akan mendengar maklumbalas dan memenuhi keperluan mereka, serta akan terus mencari pendekatan terbaik untuk melangkaui jangkaan mereka. Ini terbukti seperti yang terdapat pada indeks kaji selidik JD Power di mana kami mencapai SS1 No. 1 (Sales Satisfaction Index),” tambah beliau lagi.

Toyota Vios Serba Baru menawarkan pakej menarik, dengan alur rekaan dinamik bagi reka bentuk luaran, kabin yang lebih luas dengan ruang dalaman diberi sentuhan rekaan serba baru. Ia dilengkapi juga dengan spesifikasi yang dipertingkat, seperti sistem masukan pintar dengan butang penghidup enjin (Smart Entry & Push Start Button), lampu utama projektor, akustik penghadang angin, paras lampu utama berperingkat serta ciri-ciri keselamatan yang mencerminkan komitmen Toyota untuk memenuhi keperluan pelanggan dan pada masa sama mengekalkan kedudukan Vios sebagai model Toyota paling popular di Malaysia.

Datuk Ismet juga meyakinkan pelanggan bahawa Toyota Vios Serba Baru ini turut didatangkan dengan tanda harga yang cukup menakjubkan. Toyota mengumumkan TIADA kenaikan harga bagi varian terlaris, Vios 1.5J dan hanya melakukan penyelarasan minimal dilakukan bagi varian-varian lain (Vios TRD Sportivo, 1.5G dan 1.5E). Harga atas jalan bagi Vios Serba Baru termasuk insurans bermula RM73,200 hingga RM93,200 bagi varian dengan spesifikasi lengkap.

“Kesimpulannya, walaupun kami mengambil sedikit masa untuk memperkenalkan model terbaru Vios ini, kami yakin yang kami sudah melakukan sehabis daya untuk menjadikannya sebuah penantian yang berbaloi,” tambah Datuk Ismet Suki.

Majlis penuh makna itu turut dihadiri oleh Pengerusi UMW Toyota Motor, Tan Sri Asmat Kamaludin, Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Datuk Takashi Hibi, Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ismet Suki, Pegawai Pengurusan, Toyota Motor Corporation, Japan, Hiroyuki Fukui dan Timbalan Ketua Jurutera Vios Serba Baru, Takatomo Suzuki.

Silakan kongsi:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.