Terus-terang diakui bahawa saya bukanlah peminat Nissan Grand Livina. Saya sukar hendak memahami rasional mereka yang membeli kenderaan pelbagai guna (MPV) tersebut. Paling kronik, saya tidak boleh menerima penjenamaannya sebagai kenderaan MPV kerana rekabentuk Grand Livina yang lebih berat kepada wagon. Bukan apa, ruang tempat duduk ketiganya terhad serta akses penumpang yang sukar ditambah dengan ruang bagasi belakang yang hampir tidak wujud. Jika berjalan jauh dengan muatan penuh dan dengan sejumlah bagasi ternyata Grand Livina bukanlah kenderaan yang sesuai. Model yang dibangunkan untuk pasaran negara membangun itu lebih selesa untuk perjalanan jauh jika dinaiki empat penumpang dewasa dan kemudian kerusi baris ketiga dibaringkan untuk bagasi.
Namun begitu, di dalam situasi dunia sekarang ini tidak semua keluarga mempunyai anak ramai. Misalnya seorang rakan saya yang baru sahaja membeli Nissan Grand Livina. Profail keluarga beliau ialah mempunyai seorang anak kecil dan sekarang ini sedang menunggu kehadiran orang baharu. Barisan kereta yang pernah dimilikinya ialah Honda Civic EG (Bullet), Proton Wira VR4, Proton Waja Mivec dan sekarang ini memandu Nissan Skyline R31 (empat pintu) dan Daihatsu Charade Detomaso. Memandangkan Skyline dan Charade lebih kepada kereta berseronok maka Grand Livina dilihat sebagai seleksi yang paling tepat untuk beliau yang mempunyai keluarga kecil. Saya fikir begitu juga rasional ribuan keluarga lain di Malaysia yang memilih Grand Livina hingga menjadikan model itu MPV bukan nasional terlaris di Malaysia pada tahun 2010. Tidak semua mahukan MPV bersaiz penuh yang seperti bas mini tambahan pula memandu Grand Livina tidak berbeza sangat dengan memandu kereta sedan.
Tetapi adakah pemanduan seperti kereta sudah cukup untuk anak muda yang baru berkeluarga? Mungkin tidak dan oleh itu Edaran Tan Chong Motors telah pergi lebih jauh dengan menawarkan Nissan Grand Livina Tuned by Impul. Baru-baru ini saya memandu uji model itu dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu dan lebih manis ianya didatangkan dengan transmisi manual. Sewaktu mula-mula menjamah model dengan enjin 1.6 liter tersebut perkara pertama yang saya cuba ialah kekenyalan klacnya. Untuk memasukkan dan melepaskan gear, klac transmisi manualnya boleh disifatkan sederhana keras dan lebih sesuai untuk dipandu oleh si suami melainkan anda mempunyai isteri yang jenis tidak kisah. Perkara kedua yang menangkap saya ialah bunyi peredam ekzos. Memandangkan saya bukanlah penggemar bunyi ekzos riuh sekampung maka nota bunyi bass sederhana yang dikeluarkan oleh peredam ekzos Impul Blast II sudah memadai.
Pada awal pengenalan Grand Livina ramai yang mengeluh tentang warna ruang dalamannya yang berwarna cerah. Memandangkan model itu disasarkan untuk golongan berkeluarga jadi agak tidak logik menggunakan skema warna yang kesan kotornya sangat signifikan untuk dilihat. Daripada perspektif pereka pula, warna cerah memberi efek luas dan mewah dan walaupun begitu Nissan dilihat mendengar maklum balas pengguna dan langsung menukar tema warna model facelift kepada warna gelap. Walaupun suasana interior kini nampak lebih gelap dan kecil namun apa yang lebih penting ialah hasil ‘kerja seni’ anak-anak kecil tidak mudah kelihatan. Untuk ergonomik pula, butang-butang kawalan mudah dicapai cuma lebih menyenangkan jika dipasangkan set kawalan audio pada stereng yang sudah menjadi standard pada kebanyakan kereta sekarang ini. Kerusi pemandu dan penumpang depan dan barisan pula selesa walaupun dibalut hanya dengan fabrik. Cuma yang menjadi masalah ialah kerusi pemandu dan penumpang depan yang tidak dibekalkan dengan perehat lengan yang sepatutnya wajib ada untuk sebuah MPV.
Menguji pemanduan dan pengendalian adalah perkara yang paling saya gemari. Jurutera-jurutera Impul telah mengubah pakej sistem suspensi standard dan digantikan dengan set penyerap hentak dan spring Impul yang merendahkah Grand Livina sebanyak 25mm. Melengkapkan pengubahsuaian ringan tersebut ialah roda aluminium Impul Aura SX-10 bersaiz 17 inci yang diimport dari Jepun. Roda-roda tersebut dipadankan dengan tayar Goodyear Eagle F1 GSD3 bersaiz 205/45 R17. Pakej suspensi dan tayar tersebut berjaya mengubah karakter pemanduan Grand Livina dari rasa stereng yang ringan kepada lebih ideal sewaktu kelajuan tinggi. Set suspensi dan spring pula banyak membantu dalam dinamik pemanduan di mana MPV tersebut tidak rasa terapung-apung pada kelajuan tinggi dan kurang olengan menjadikan pemandu lebih yakin untuk mengambil selekoh. Kuasa yang dibekalkan oleh enjin HR16DE pula secukup rasa, cuma untuk mengekstrak kuasa yang lebih, pemandu harus rajin bermain pedal minyak supaya puncak kuasa dilontarkan dari satu gear ke satu gear dan dibantu pula oleh bunyi peredam ekzos menjadikan pengalaman tersebut suatu nikmat yang mengasyikkan. Cuma untuk ‘blip’ pedal responnya kurang terasa dengan lengahan tindak balas yang mungkin dipengaruhi oleh teknologi Drive-by-Wire.
Secara kesimpulannya, pakej talaan Impul pada Grand Livina ini boleh dikatakan bergerak dengan harmoni. Kesemuanya berjalan dengan sempurna dan saya fikir Jurutera yang terlibat di dalam projek ini berjaya mencapai keseimbangan di antara kenderaan keluarga dengan prestasi. Walaupun sporty tetapi masih ada sifat kekeluargaan dan sebaliknya. Cuma apa yang saya mahukan ialah sedikit sahaja lagi kuasa dari enjin untuk rasa yang lebih bertenaga. Mungkin Grand Livina 1.8 dengan CVTC adalah jawapannya. Apa yang saya nampak ialah Grand Livina talaan Impul amat sesuai sekali untuk mereka yang mempunyai konflik dalam membuat keputusan iaitu mereka yang memerlukan kenderaan keluarga dan pada masa yang sama sukakan prestasi dan imej sporty. Rasional tersebut mudah untuk saya fahami.
Garaj Kosmo
@muhd_gt
12 comments
Skip to comment form
ruang bagasi belakang yang hampir tidak wujud
hahahha….betol3x
untuk menghilangkan rasa delay pedal minyak kerana teknologi DBW itu maka anda haruslah menginstall SprintBooster utk mendapatkan kenikmatan tak terlampau itu kehkehkeh
ayat diatas qiquote dari ayat ini –> ‘Cuma untuk ‘blip’ pedal responnya kurang terasa dengan lengahan tindak balas yang mungkin dipengaruhi oleh teknologi Drive-by-Wire.’
:0)
pd hemat aku livina ni adalah kompak mpv sama lebih kurang alza dianya kelas dan kateori..livina ni ruang dalam nya sempit..kurus..pada pemerhatian aku selalunya org yg beli livina ni sebab takmo exora sbb proton takmo avanza dan innova sebab bumping..bajet below 100k.. nak amik wish, stream recond bajet x lepas..apatah lagi mpv premium spt mazda 8, estima, odyssey, alphard, vellfire, merc. R280.
maka itu sebab la livina ni mpv pling laris kategori non nasional.
hemat aku juga livina ni kureng sesuai dipandu oleh lelaki kerna body dan designya mcm keperempuanan..
utk enjin cvtc 1.6 atau 1.8 aman2 aja, tidak terlalu underpower..sebelum ini livina diiklankan dan diwar2 oleh etcm sbg mpv tetapi pemanduan bak sedan…bila aku bawa takde rasa mcm sedan pun..tetapi agak baik jika dibanding dgn avanza..
jika mahu mencari mpv pemanduan bak sedan adalah honda odyssey RB3 Absolute mmg terbaik dan mantopp..207hp bebp enjin ivtec2.4 (bila tuan tanah nak test drive mpv odyssey ni)
ekon sejuk tak??
saya ni baru usya2 grand livina tapi tak pandai pasal spec keta nih…. n bila baca komen2 kat atas rasa berbelah bagi plak untuk choose livina. bnyk pro n cons nye. n now kompius lg untuk beli mpv below than 100k… mana satu le yg ok pasal slalu travel kl- perlis. anak 2 … any ideas?
nak tanya biasa kalau servis livina 1.8, apa yang diaorang tukaq, bukan apa nak tau bajet
saya pun plan nak ambik gran livina ,
tapi kat market banyak 2nd car livina… milage pun dlm below 50k
hati dah berbelah bagi,….
pilihan masing2. livina ni mmg sesuai bg mereka yg ada keluarga kecil, jimat minyak dan merasa pakai kereta luar negara.
dah pakai 2 tahun model 1.8l (A), suspension terbaik….confident sgt2 dlm pemanduan…minyak(2.10RM / L) Asetar – KL (highway) dlm 60-70 ringgit, bergantung cara pemanduan.
SAYA DAH PAKAI 10 TAHUN..MILEAGE DAH 180KM…BARU TUKAR PLUG COIL DAN ABSOBER,,LAIN LAIN OK JER
Sy dh pakai almost 13 tahun, mileage 220,000km. Dah tukar radiator, engine mounting full set, lower/upper arm, plug coil, Absorber Tein & spring. Pakai TCW super booster kasik power sikit?. Mine is Livina 1.8