VW Vento Baharu Dilancarkan! Dari RM79,888 – RM93,888

image

Volkswagen Malaysia telah memperkenalkan Volkswagen Vento baharu, sedan yang serba lengkap bagi menggantikan Polo Sedan.

Vento bermaksud “angin” dalam bahasa Itali dan Portugis di mana ianya merupakan bukti sebenar nilai dan kejuruteraan Jerman yang bertaraf dunia. Vento dihasilkan untuk pemandu yang mahukan prestasi terbaik tanpa perlu mengorbankan aspek keselamatan.

Vento yang dipasang tempatan ditawarkan dalam tiga varian; Trendline, Comfortline dan Highline.

image

Vento Highline dikuasakan oleh enjin TSI bersama pengecas turbo dan pancitan bahan api yang memenangi anugerah. Bersesaran 1.2 liter, ia mampu menjana kuasa 105PS. Dipadankan dengan kotak gear DSG 7 kelajuan bersama tork maksimum 175Nm, Vento ialah sedan yang memiliki tork paling tinggi dalam kelasnya.

Walaupun berupaya menawarkan kualiti pemanduan dan prestasi, penggunaan bahan api hanya 5.5l bagi setiap 100km.

Vento Highline turut diberi penarafan 5 bintang oleh ASEAN NCAP kerana ciri keselamatan yang dimilikinya, termasuklah Electronic Stability Control.

Varian Comfortline dan Trendline 1.6L hadir bersama transmisi automatik enam kelajuan bersama fungsi Tiptronic dengan kuasa 105PS, tork maksimum 153NM dan penggunaan bahan api sekitar 6.5l bagi setiap 100km.

image

Dari segi penampilan, Vento menyerlahkan DNA rekaan Volkswagen yang menggabungkan aspek bentuk dan fungsi dengan sempurna.  Gril krom dan garis sisi bergaya, digabungkan dengan postur yang mantap nyata memberikan Vento gayaan luaran yang kontemporari dan elegan.  

Menurut Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia, Armin Keller, Vento ialah sedan yang memiliki segalanya – prestasi, keselamatan, reka bentuk dan inovasi. “Kami berbesar hati untuk memperkenalkan Volkswagen Vento ke pasaran tempatan. Sebagai model Volkwagen terkini yang dipasang tempatan oleh rakan kami DRB-HICOM, Vento akan memainkan peranan penting dalam strategi kami untuk menjadikan kenderaan Volkswagen lebih mudah diakses dan mampu milik buat rakyat Malaysia. Dengan pengenalan beberapa varian, kami percaya ada kereta yang sesuai untuk keperluan setiap orang.”

image

Selari dengan komitmen Volkswagen untuk membina kereta yang lebih kukuh dan selamat, Vento baharu dibina menggunakan kimpalan laser yang merupakan ciri standard pada semua kenderaan Volkswagen. Inilah bukti kecanggihan kejuruteraan automotif Jerman.

“Vento ialah sedan paling laris di negara-negara lain seperti India, Rusia dan Amerika Latin. Kami yakin dapat mengulangi kejayaan tersebut di pasaran Malaysia” tambah En Keller. 

Vento baharu ditawarkan pada harga RM79,888* untuk Trendline, RM86,888* untuk  Comfortline dan  RM93,888* bagi Highline. Lima warna menarik disediakan – putih (Candy White), merah (Flash Red), perak (Reflex Silver), kelabu (Carbon Steel Grey) dan hitam (Deep Black).

Muhammad

Kata Anda//