Volvo XC90 T8 Kini Di Pasang Di Malaysia – Negara Pertama Di Dunia Yang Di beri Hak Di luar Sweden

Volvo XC90 CKD.2016.08

Kerjasama Volvo dengan Malaysia sudah lama terjalin. Faktanya ialah, jenama dari Sweden itu telah mula memasang model 144S melalui Swedish Motor Assemblies sejak tahun 1967 lagi. Lebih menarik kilang pemasangannya terletak di Shah Alam dan merupakan fasiliti pengeluaran kenderaan tertua di dalam negara.

Sempena menyambut ulang tahun ke 50 di Malaysia baru-baru ini, Volvo Car Malaysia telah melancarkan model XC90 T8 Twin Engine yang di pasang secara terurai (CKD). Sekali lagi mencipta rekod, kenderaan Plug-in Hybrid Elektrikal (PHEV) itu yang pertama diberi kebenaran pemasangan di kilang luar Sweden susulan pelaburan yang besar dibuat oleh syarikat untuk menambah baik fasiliti di Shah Alam di dalam memenuhi piawaian platform baharu Volvo iaitu Scalable Product Architecture (SPA). Mengikut perancangan Volvo Car Malaysia, kilang di Shah Alam bakal menjadi hab ASEAN untuk Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) seperti yang digariskan Polisi Automotif Negara.

Setakat ini, XC90 T8 Twin Engine merupakan kenderaan tercanggih pernah dibangunkan Volvo Cars.

Volvo XC90 CKD.2016.05

Rekabentuk

XC90 baharu merupakan model pertama Volvo menggunakan bahasa rekaan baharu dengan wajah depan yang lebih menyerlah. Dalamannya pula lebih mewah dari model arus perdana Volvo sebelum ini dengan skrin sesentuh seperti sebuah tablet menjadikan fungsi kawalan secara virtual dan bebas butang. Perkakasan interior dibalut kulit Nappa dengan kombinasi kayu yang diperincikan secara halus. Tuil gear dibuat dari kaca kristal yang diperbuat oleh Orrefors(R), pembuat kaca terkenal Sweeden dan butang start/stop dan kawalan audio dengan potongan berlian.

Volvo sememangnya terkenal di dalam menghasilkan kerusi yang paling selesa dan untuk XC90, rekabentuk baharu kerusi yang lebih slim pula memberikan kelegaan kepada penumpang barisan kedua dan ketiga menjadikan XC90 sebagai kenderaan 7 tempat duduk penuh. Bentuk kerusi baharu adalah refleksi kepada tulang belakang manusia manakala pelbagai larasan pula membolehkan individu menyesuaikan kedudukan mengikut keselesaan ideal. Kerusi di barisan ketiga pula dikatakan dapat diduduki oleh penumpang dengan ketinggian sehingga 170cm.

Dinamik Kenderaan dan Enjin

XC90 dilengkapi casis serba baharu dengan suspensi depan double wishbone manakala suspensi pula diubahsuai secara elektronik melalui lima mod kawalan. Menjana kuasa SUV itu ialah enjin canggih yang mempunyai dua nadi utama iaitu supercaj dan turbo yang digabungkan dengan motor elektrik. Prestasinya ialah 407hp dengan 640 Nm tork dan mampu memecut dari pegun ke 100km/j di dalam 5.6 saat sahaja. Di dalam pemanduan normal, kenderaan menggunakan mod hibrid tetapi dengan hanya sentuhan suis, pemandu boleh mukar kepada mod bebas emisi dengan kuasa elektrik sepenuhnya sehingga jarak 40km dan apabila diperlukan akan kembali kepada kuasa kombinasi petrol dan motor elektrik.

Volvo XC90 CKD.2016.04

Sistem Sensus

Antaramuka Sensus merupakan di antara sistem kawalan termoden di dalam pasaran. Butang dan suis kawalan digantikan dengan sistem sesentuh pada skrin besar pada papan pemuka yang diintegrasikan dengan sistem kawalan stereng dan arahan suara. Instrumen digital dan paparan head up pula memberikan maklumat yang diperlukan pemandu. Khidmat pengumpulan data (cloud-based) memberikan nilai tambah kepada pemandu seperti restoran pada lokasi yang dituju, strim musik kegemaran dan keupayaan untuk membaca mesej secara bebas tangan.

Sistem Suhu 4 Zon

XC90 boleh dilengkapi dengan sistem kawalan suhu 4 zon dengan talaan berbeza pada barisan depan dan tengah. Penumpang barisan ketiga pula mempunyai unit penyaman sendiri untuk lebih keselesaan. Sistem penapisan udara CleanZone Volvo pula merupakan di antara paling cekap di pasaran yang kini dengan penambahan penapis gentian kaca baharu untuk memerangkap partikel yang kecil dan merbahaya dari udara luar.

Sistem Keselamatan dan Sokongan

XC90 baharu dilengkapi sistem paling lengkap dan sofistikated di dalam industri automotif. SUV itu dilengkapi dua teknologi pertama di dunia iaitu pakej perlindungan run-off road dan keupayaan untuk membrek secara automatik di persimpangan jalan.

Sistem run-off road berfungsi apabila kenderaan mengesan apa yang berlaku di hadapan dan mengetatkan tali pinggang depan untuk mengekalkan pemandu dan penumpang di dalam posisi mereka. Untuk mengelakkan kecederaan tulang belakang, kerusi dan rangka kusyen mampu menyerap tenaga apabila kereta terlibat di dalam kemalangan. XC90 juga merupakan kereta pertama di dunia dilengkapi sistem brek automatik apabila pemandu memasuki selekoh berdepan dengan kenderaan yang mendatang. Senario seperti ini adalah normal di dalam trafik bandar dan di simpang serta lebuh raya di mana had kelajuan lebih tinggi.

City Safety pula adalah pakej teknologi keselamatan Volvo seperti brek automatik yang kini merangkumi kenderaan, penunggang basikal dan pejalan kaki yang berdepan dengan kereta.

Volvo XC90 CKD.2016.02

Sokongan Automatik Semasa Trafik Perlahan

Sistem Adaptive Cruise Control dengan Pilot Assist pula membolehkan pemanduan menjadi lebih selamat dan selesa dengan fungsi semi-autonomous yang membolehkan kenderaan dipandu secara automatik mengikut kenderaan di hadapan di dalam trafik yang perlahan. Tingkat pecutan, brek dan stereng kini semuanya boleh dikawal secara automatik.

Memastikan pemandu berada di dalam kawalan dan mengundur di dalam ruang yang sempit, XC90 dilengkap 360° Surround View. Sistem itu membantu dengan menyatukan kesemua gambar kepada imej 360°. Sistem Park Assist Pilot pula membolehkan kenderaan masuk ke petak parkir secara automatik.

Volvo XC90 T8 Twin Engine CKD kini dijual lebih rendah dari model CBU sesuai dengan status EEV nya pada harga RM403,888.00 tidak termasuk insurans. Terdapat lima opsyen warna iaitu Ice White, Onyx Black, Saville Grey, Twilight Bronze dan Bright Silver.

Muhammad

One Comment

Kata Anda//