UMW Toyota Bina Kilang Baharu Di Bukit Raja, Klang – Nilai Pelaburan Sebanyak RM2 Bilion

image

Untuk menjual kenderaan perlu ada kapasiti pengeluaran. Untuk mencapai sasaran perlukan perancangan yang terperinci. UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) yang merupakan pengedar dan pengeluar eksklusif kenderaan Toyota dan Lexus nampaknya mempunyai pelan besar untuk masa depan apabila mengumumkan pelaburan sebanyak RM2 Bilion melalui pembinaan kilang pengeluaran kedua di Kawasan Perindustrian Bukit Raja, Klang.

Kilang pembuatan kereta penumpang itu akan melengkapi sebuah lagi kilang milik UMWT iaitu Assembly Services Sdn Bhd (ASSB). Kilang baharu diperlukan susulan Toyota menjangkakan bahawa kecenderungan akan lebih meluas pada masa depan.

Berapakah saiz kilang baharu tersebut? 670,000 meter persegi. Kos bernilai RM2 Bilion itu merangkumi tanah, bangunan dan peralatan di mana pembinaan akan bermula pada separuh kedua tahun ini. Kilang itu akan mengeluarkan kereta penumpang termasuk kenderaan cekap tenaga (EEV) yang ditetapkan oleh kerajaan dengan produksi pertama pada awal 2019. UMWT mensasarkan untuk mengeluarkan 50 ribu unit kenderaan buat permulaan dan akan ditingkatkan bergantung kepada permintaan pasaran.

image

Kilang baharu akan dilengkapi teknologi termaju pengeluaran bagi mencapai matlamat utama Toyota untuk membangunkan kilang “Simple, Slim and Flexible” di seluruh dunia. Ianya bakal mempunyai 5 ciri-ciri utama iaitu Kualiti Tinggi, Lebih Efisyen, Skil Pekerja Lebih Tinggi, Mesra Pekerja dan Mesra Alam Sekitar.

UMWT positif bahawa kilang baharu ini akan menyumbang kepada pembangunan industri automotif Malaysia dan menyokong Polisi Automotif Nasional yang menggalakkan produksi kenderaan tempatan. Untuk kilang sedia ada pula, UMWT akan memindahkan sebahagian lajuran produksi kereta penumpang ke kilang baharu. Kilang itu juga akan diperbaharui dengan kenderaan komersil sebagai produk utama.

Dengan fasiliti pengeluaran yang digabungkan, UMWT bakal mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 90 ribu hingga 100 ribu unit setiap tahun. Selain dari itu, Toyota Boshoku UMW yang merupakan syarikat kerjasama di antara UMWT dan Boshoku Corporation bagi mengeluarkan kerusi dan komponen interior untuk Toyota turut akan berpindah ke kilang baharu nanti.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.