Toyota Yaris 2011: Lebih Garang, Lebih Segak

Toyota Yaris 2011.03

Di antara Toyota Vios dan Yaris ternyata Vios lebih laris. Puncanya adalah mudah, Vios jauh lebih besar serta lebih mampu milik berbanding Yaris yang diletakkan pada laras harga premium. RM90 ribu untuk sebuah kereta kompak adalah mahal untuk golongan kebanyakan tambahan pula pelbagai opsyen model lain yang boleh dimiliki. Tetapi tidak untuk negara jiran yang menawarkan laras harga berbeza seperti Indonesia di mana Yaris lebih mudah untuk dilhat di atas jalan raya berbanding di Malaysia. Agaknya disebabkan harga premium itu jugalah Honda meletakkan harga yang super premium untuk Jazz dan hasilnya model itu juga jarang-jarang dilihat dipandu di atas jalan raya. Apa pun secara peribadinya dibandingkan dengan Vios saya lebih sukakan Yaris yang tampak lebih comel dengan gayaan Eropah. Harus tahu, Yaris direka di studio Toyota ED2 di Perancis manakala Vios pula direka di Jepun.

Kini Yaris sudah masuk generasi ketiga yang merupakan jelmaan Toyota Vitz yang dilancarkan di Jepun pada penghujung tahun lepas. Yaris baru tampil dengan rekaan yang lebih berani, tajam dan dinamik tanpa menyingkirkan prinsip asalnya iaitu kompak pada luaran, luas pada dalaman yang merupakan pegangan utama sejak model generasi pertama diperkenalkan pada tahun 1999. Dezi Nagaza, ketua pereka menggambarkan Yaris baru dengan luaran yang “berminat” seperti yang boleh dilihat pada bahagian depan serba baru dengan gabungan lampu horizontal dan slim serta ruang pengambilan udara yang dalam dan rendah seterusnya menggambarkan Yaris sebagai sebuah kereta dengan posisi yang lebar dan bergraviti rendah.

Toyota Yaris 2011.02

Pada profail sisi, garis bahu seperti Yaris generasi kedua masih dikekalkan cuma kali ini ianya lebih curam manakala bentuk Y yang merupakan signatur Yaris pula diubah bagi menyesuaikan dengan konsep baru generasi ketiga ini. Perincian lain yang dibuat ialah lampu sukuan yang lebih besar manakala tiang A dianjakkan ke depan seterusnya menjadikan cermin hadapan lebih kurus dan curam. Tingkap belakang pula rata menggunakan cermin tunggal tanpa pembahagi dan hasilnya sisi kereta tampak lebih ringkas dan kemas. Pengunjuran [overhang] depan dan belakang yang lebih pendek, peningkatan 50mm pada jarak titik roda serta arca roda yang lebih menonjol pula memberikan Yaris imej yang lebih sporti. Secara keseluruhan, Yaris baru 100mm lebih panjang daripada model sebelumnya dan walaupun begitu, radius pusingannya kekal pada 4.7m. Lebar Yaris baru tidak berubah tetapi pengurangan tinggi sebanyak 20mm kepada 1,510mm menyumbang kepada penampilan kereta yang lebih rendah manakala pekali seretannya [Cd] adalah 0.287.

Toyota Yaris 2011.01

Peralatan interior turut menerima banyak perubahan segar dan moden dengan matlamat menjadikannya sebagai ruang kokpit untuk pemandu. Meter yang diposisikan pada tengah papan pemuka pada model sebelumnya dipindahkan ke belakang stereng selari dengan garisan mata pemandu dengan sudut yang lebih tegak dalam membantu posisi pemanduan yang lebih meyakinkan. Garisan horizontal yang keras pada papan pemuka pula memberi efek kelebaran kabin iaitu 30mm daripada model sebelumnya. Untuk model paling premium, bumbung panorama pula dipasangkan standard. Bagi menambah keluasan, bahagian belakang kerusi depan dinipiskan seterusnya memberi lebih ruang untuk penumpang belakang dengan luas sebanyak 645mm. Idea serupa turut digunapakai pada kerusi belakang menjadikan kedalaman load space kepada 710mm. Luas kapasiti kargo pula adalah sebanyak 347 liter dan 768 liter apabila kerusi dibaringkan. Dan untuk menjadikan mobiliti memasukkan barang lebih mudah, bonet belakangnya 20mm lebih lebar daripada model generasi kedua.

Toyota Yaris 2011.04

Kereta sebegini adalah kepakaran Toyota. Versatil serta mesra pengguna dan paling penting payah untuk rosak. Harganya jualan semula pula tidaklah securam air terjun malahan sangat stabil. Walaupun rekaan sesetengah model massa Toyota tidaklah menarik mana bahkan dianggap sebagai membosankan namun itu tetap tidak menghalang jualan tinggi yang dicatat setiap bulan. Jualan Vios langsung tidak boleh disaingi oleh Honda City walaupun model itu nampak lebih menarik dan sesuai untuk orang muda. Jika dirujuk di dalam Wikipedia, Vios baru digelar sebagai Dugong tetapi persepsi itu tidak menghalang orang ramai daripada memilikinya. Bahkan ada juga yang mendakwa Perodua Myvi laris kerana ianya adalah Vios versi Perodua yang paling murah boleh dimiliki. Jika Vios model baru mengambil pengaruh gayaan Yaris ini saya pasti pendapat sesetengah orang yang mengatakan rekabentuk Toyota adalah membosankan akan berkurangan. Malahan saya sendiri pun turut ketar kaki dan akan bertaubat daripada mengkritik Toyota!

Kredit: Newspress

-Mak/d Uia-

Muhammad

16 Comments

  1. Vios baru digelar sebagai Dugong, masa mula2 2008 dulu keluar orang panggil Vios helikopter.

  2. Kereta ini sungguh comel lagi bergaya. Sesuai untuk di bandar.
    *Abah, belikan acik satu bah? (O-O)

  3. Vios J (basic), RM7x,xxx dh bleh dapat. CC cuma 1500 aje, tapi jenama toyota ni besar. Kualiti adalah sesuatu yang kita bolehharapkan dari jenama toyota. Saya lebih prefer Vios berbanding mana2 kereta Proton. walau Inspira sekalipun.

  4. Gua minat sungguh dgn Yaris tp biler bab rege yg buat gua fikir 10 juta kali… mahei nak mampuih

  5. perghh…ni kete2 engineer ngn anak2 muda yg ayahnye beruang..
    owhh..silap…berwang…hihih

    org mcam gua ni yg hanya mengecop sawit,hanya mmpu mkan buah tamar…syukur2…

  6. kalau diantara Yaris dan Vios G Limited baru… sememangnya Vios G Limited pilihan saya… sekarang ni pon tengah kumpul duit untuk berli Vios G Limited… lagipun Yaris hanya boleh beli kat Langkawi sahaja…

Kata Anda//