Toyota C-HR: SUV Kompak Dengan Rekabentuk Coupé

Toyota C-HR, SUV kompak dengan rekabentuk baharu Toyota yang lebih agresif telah dilancarkan di Jepun pada 14 Disember lepas. C-HR dibina menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang merupakan sebahagian dari program Toyota dalam transformasi rekaan kenderaan bagi mencapai matlamat syarikat untuk menghasilkan kereta yang lebih baik. Toyota C-HR menggunakan platform yang sama dengan Prius generasi keempat.

Memandangkan kereta ini untuk pasaran global, ia telah diuji di pelbagai negara dan bentuk permukaan jalan. Ujian suspensi misalnya dibuat di jalan raya awam Eropah bagi mendapat talaan yang baik. Prestasi pemanduan pula dibentuk berdasarkan tiga konsep iaitu Response, Linearity dan Consistency.

Lebih mengujakan apabila Gazoo Racing yang merupakan jabatan talaan Toyota menyertai dan menamatkan perlumbaan 44th 24 Hours Nürburgring menggunakan C-HR pada Mei 2016.

Sekali pandang, sukar untuk menafikan rekabentuk C-HR yang agresif. Sememangnya SUV kompak ini dibina dengan tumpuan khusus pada rekabentuk yang diberi nama Sensual Speed-Cross. Apakah definisi tiga konsep tersebut?

Sensual merujuk kepada perincian yang menarik perhatian, Speed merujuk kepada modulasi (boleh ubah), langsing dengan badan dan kabin yang anggun. Cross pula bermaksud suspensi yang berkuasa untuk SUV.

Secara umumnya, gaya bahasa C-HR menggunakan tema struktur sebentuk berlian. Bentuk tiga dimensi berlian diterjemahkan melalui rekaan badan yang berbentuk-bentuk dan kontra di antara permukaan lain. Paling menyerlah ialah arca roda yang mengembang dan menarik perhatian.

Untuk pasaran Jepun, Toyota C-HR ditawarkan dengan enjin 1.2 Turbo dan 1.8 Hybrid sama seperti model Prius. Berdasarkan maklumat yang diberikan Toyota, versi 1.2 Turbo boleh bergerak sejauh 15.4km dengan seliter petrol manakala model hibrid pula sejauh 30.2km per liter.

Pengeluaran emisi kedua-dua model juga 75% lebih rendah berbanding Piawaian Emisi Ekzos 2005 di Jepun dan melayakkan SUV ini menerima pelepasan cukai seterusnya menjadikannya sebagai kenderaan mesra alam.

Ciri-ciri Utama Toyota C-HR

  • Prestasi pemanduan yang responsif susulan teknologi TNGA.
  • Gayaan yang menyerlah di bawah bahasa rekaan Toyota yang unik iaitu Keen Look dan Under Priority.
  • Rekaan dalaman yang menarik perhatian dengan permukaan canggih dari segi tekstur, bentuk dan warna. Panel kawalan pula mempunyai pelbagai meter di tengah dan dipaparkan menghadap pemandu di mana susunannya diletakkan selari bagi memudahkan operasi pemanduan.
  • Toyota Safety Sense P – teknologi penghindaran pelanggaran untuk kesemua varian.

Pengeluar Jepun sememangya cenderung untuk menamakan SUV mereka dengan huruf singkatan dan C-HR adalah merujuk kepada Coupe High Rider. Nama yang berterus-terang dan merujuk terus kepada rekabentuk SUV kompak ini.

Untuk pasaran tempatan, masih belum ada pengesahan dari UMW Toyota Motor (UMWT) namun khabarnya mereka sedang membuat kajian untuk model ini. Untuk makluman, UMWT sedang membina kilang baharu di Bukit Raja, Klang yang bernilai RM 2 bilion. Kilang ini menggunakan teknologi moden dan produksi pertama dijangka pada awal 2019.

Di pasaran Jepun, harga varian 1.2 Turbo 4WD bermula dari RM96,593.14 manakala varian 1.8 2WD Hybrid pula dari RM101,532.29.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.