Terowong Genting Sempah Dibuka Seperti Biasa Pada Tahun Baru Cina dan Thaipusam

genting-sempah-2017-01

ANIH Berhad ingin memaklumkan Terowong Genting Sempah dibuka seperti biasa pada Jumaat, 20 Januari hingga Isnin, 13 Februari 2017 sempena cuti musim perayaan Tahun Baru Cina dan Thaipusam. Pengumuman ini adalah tambahan kepada kenyataan media yang dikeluarkan sebelum ini berkenaan jadual kerja-kerja penyelenggaraan terowong selama 60 hari bermula 10 Januari.

Ia selaras dengan arahan kerja oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) yang tidak membenarkan sebarang kerja-kerja penyelenggaraan pada musim perayaan.

Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof berkata, tarikh penangguhan seketika kerja dalam terowong ini adalah bagi memberi ruang kepada pengguna untuk pulang ke kampung sempena cuti perayaan, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan di lebuh raya.

“KKR dan ANIH Berhad bersependapat bahawa kerja-kerja penyelenggaraan di dalam Terowong Genting Sempah ini perlu dilakukan mengikut jadual yang telah ditetapkan dan pada masa yang sama mengambil kira kepentingan pengguna jalan raya.

“Justeru, dengan adanya jadual kerja ini, pengguna diharap lebih peka dan dapat merancang perjalanan khususnya pada musim cuti perayaan,” katanya.

BACA: Terowong Genting Sempah Ditutup dari 8 pagi Hingga 5 petang – Laluan Kontra Selama 60 Hari Bermula 10 Januari

Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Bentong, Dato’ Seri Liow Tiong Lai pula positif dan yakin dengan langkah-langkah yang akan dilaksanakan oleh ANIH Berhad dalam pengurusan trafik seterusnya mengurangkan masalah kesesakan ketika pelaksanaan kerja-kerja tersebut.

“Sebagai Ahli Parlimen Bentong dan Menteri Pengangkutan, saya melihat ANIH Berhad telah mengambil kira pelbagai langkah yang perlu dalam pelaksanaan kerja-kerja tersebut, khususnya keselamatan dan jangkaan kesesakan pada cuti musim perayaan nanti,” katanya.

Sementara itu, Pengarah ANIH Berhad, Dato’ Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein berkata, mulai 10 Januari ini, laluan kontra akan diaktifkan dari Isnin hingga Khamis sahaja, iaitu daripada jam 8 pagi hingga 5 petang.

“Laluan dalam terowong akan dibuka semula seperti biasa dari jam 6 petang hingga 7 pagi. Jadual ini akan berterusan selama 2 bulan.

“Walaubagaimanapun, kita akan menangguhkan kerja-kerja tersebut dari 20 Januari (Jumaat) hingga 13 Februari (Isnin) bagi memberi laluan sempena cuti panjang perayaan Tahun Baru Cina dan Thaipusam,” katanya.

Muhammad

Kata Anda//