Satu HATI. Honda Team Asia Sertai Perlumbaan Suzuka 8 Hours – Dibarisi Ahli Pasukan Warga Tempatan

Satu HATI Honda Team Asia (Kiri ke kanan) - Zaqhwan Zaidi, Dimas Ekky Pratama, Ratthapong Wilairot, dan Makoto Tamada.

Satu HATI Honda Team Asia (Kiri ke kanan) – Zaqhwan Zaidi, Dimas Ekky Pratama, Ratthapong Wilairot, dan Makoto Tamada.

Perlumbaan Endurance Suzuka 8 Hours “Coca-Cola” ke-40 bakal dilangsungkan dari 28 hingga 30 Julai depan. Perlumbaan itu dilihat dapat mengangkat nama Boon Siew Honda (BSH) di persada antarabangsa memandangkan beberapa ahli pasukan seperti pengurus, pelumba dan staf teknikal adalah warga tempatan.

Zulhelmi bin Ahmad yang juga Pengurus Pasukan Boon Siew Honda (BSH) Motorsports dilantik sebagai Pengurus Satu HATI. Honda Team Asia, Zaqhwan Zaidi sebagai penunggang, Muhammad Zarul Bin Sirat sebagai Ketua Mekanik dan Mohamad Redzuan Bin Kamis @ Johan sebagai Ketua Jurutera Data.

Penglibatan awal anak tempatan dengan BSH

Satu HATI. Honda Team Asia diwujudkan pada tahun 2012 dengan misi untuk membangunkan sukan permotoran di rantau Asia. Pada tahun pertama penubuhannya, pasukan tersebut mempunyai dua penunggang dari Jepun dan seorang dari Malaysia – Azlan Shah Kamaruzaman.

Makoto Tamada merupakan penunggang lagenda berpengalaman yang telah memenangi perlumbaan MotoGP pada tahun 2004. Di sinilah permulaan bagi anak muda dari Malaysia untuk bersaing dalam perlumbaan ketahanan (endurance) kelas dunia.

Penunggang Lagenda – Pengurus Pasukan – Makoto Tamada

Makoto Tamada adalah penunggang motosikal MuSASHi Boon Siew Honda dalam perlumbaan ARRC dan bermula dengan Satu HATI. Honda Team Asia pada tahun 2012. Pada 2014, Tamada memutuskan untuk menjadi Pengurus Pasukan Satu HATI. Honda Team Asia dan telah menguruskan pasukan berkenaan sehingga penganjuran Perlumbaan Endurance Suzuka 8 Hours “Coca-Cola” yang ke-39.

Sebagai Pengurus Pasukan, Tamada memulakan visi untuk mewujudkan sebuah pasukan Asia “tulen” yang melibatkan penunggang, mekanik serta pengurus dari negara-negara Asia.

Pada tahun ini, impiannya akan tercapai apabila beliau melantik Zulhelmi Ahmad dan pasukannya dari Boon Siew Honda Motorsports Malaysia untuk mengetuai dan menguruskan Satu HATI. Honda Asia Team bagi edisi ke-40 perlumbaan tersebut.

Anak muda Malaysia – Pengurus Pasukan –  Zulhelmi Ahmad

Pasukan Boon Siew Honda Motorsport (Kiri ke kanan - Ketua Jurutera Data, Mohamad Redzuan Bin Kamis, Pengurus Pasukan – Zulhelmi Ahmad, Ketua Mekanik – Muhammad Zarul Bin Sirat

Pasukan Boon Siew Honda Motorsport (Kiri ke kanan – Ketua Jurutera Data, Mohamad Redzuan Bin Kamis, Pengurus Pasukan – Zulhelmi Ahmad, Ketua Mekanik – Muhammad Zarul Bin Sirat

Zulhelmi bersama Ketua Mekanik, Muhammad Zarul Bin Sirat dan Ketua Jurutera Data,  Mohamad Redzuan Bin Kamis merupakan rakyat Malaysia pertama yang dilantik Makoto Tamada untuk mengetuai Honda Team Asia.

Pada 2002, Zulhelmi memulakan kerjayanya di perlumbaan Malaysian Cub Prix dan bersara sebagai penunggang profesional untuk BSH pada 2007.

Beliau kemudiannya menyertai BSH pada tahun 2010 sebagai Koordinator Pasukan Musashi Boon Siew Honda Racing dan telah dinaikkan pangkat sebagai Pengurus Pasukan pada 2016.

Kepimpinan dan bimbingan yang diberikan Zulhelmi telah membawa kepada kejayaan peringkat kejuaraan dan podium bagi penunggang tempatan seperti Khairul Idham Pawi, Zaqhwan Zaidi dan Azlan Shah Kamaruzaman.

Ketua Mekanik – Muhammad Zarul Bin Sirat

Muhammad Zarul memulakan kerjanya sebagai mekanik Motorcross Malaysia selama tiga tahun sebelum menyertai Boon Siew Honda pada 2009.

Dengan pengalaman melebihi 8 tahun sebagai mekanik, Zarul merupakan tulang belakang bagi penunggang MUSASHi Boon Siew Honda Racing Team dalam sukan bermotor dua roda seperti  Suzuka 4 Hours, ARRC 600 serta Suzuka 8 Hours.

Minatnya yang mendalam serta komitmen yang diberikan telah membawa penunggang tempatan seperti Emir Firdaus and Zaqhwan Zaidi ke peringkat juara.

Ketua Jurutera Data – Mohamad Redzuan Bin Kamis @ Johan

Mohamad Redzuan memulakan kerjaya sebagai mekanik Boon Siew Honda sejak tahun 2010. Dengan pengalaman yang dimiliki sebagai mekanik perlumbaan untuk sebuah pasukan persendirian dalam Malaysian Cub Prix, Redzuan telah menjadi salah seorang daripada ahli pasukan mekanik teras yang menyokong MUSASHi Boon Siew Honda Racing Team sejak 7 tahun lalu.

Seperti Muhamad Zarul, beliau telah menyertai pelbagai perlumbaan sukan bermotor dan membantu penunggang seperti Azlan Shah, Zambri Baba dan Zaqhwan Zaidi.

Program Pembangunan Bakat Muda

Sejak beberapa tahun lalu, BSH telah terlibat dalam pembangunan bakat muda sukan permotoran tempatan dengan menyediakan pelbagai platform bagi individu untuk berkembang dan mencapai kejayaan dalam kerjaya sukan permotoran.

Mempunyai pasukan tempatan yang bersaing di peringkat antarabangsa merupakan satu pencapaian yang amat dibanggakan BSH.

Selain Zaqhwan Zaidi, pelumba Asia lain yang mewakili pasukan Satu HATI. Honda Team Asia ialah Ratthapong Wilairot (TH), and Dimas Ekky Pratama (IND).

Mereka berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ke-8 pada perlumbaan endurance Suzuka pada tahun lalu.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.