Proton Satria Neo CPS 1.6MT Standard – RM50,951.50!

Proton Satria Neo CPS 1.6MT Standard 2013.06

Pada pelancaran Proton Persona SV di Shah Alam, Selangor baru-baru ini Proton turut mempamerkan kesemua model keluaran syarikat itu termasuk varian R3. Paling menarik ialah sesi pandu uji terbesar yang melibatkan hampir kesemua model Proton. Terdapat juga jualan penghabisan stok bagi alat ganti model-model terpilih.

Di tengah-tengah kemeriahan karnival tersebut turut dipamerkan ialah Proton Satria Neo CPS 1.6MT Standard. Sekali pandang, Satria Neo tersebut tidak mempunyai apa-apa perbezaan dengan Satria Neo lain di atas jalan raya. Namun apabila dilihat secara dekat, Satria Neo tersebut merupakan varian baharu yang tidak pernah dikeluarkan lagi sebelum ini.

Proton Satria Neo CPS 1.6MT Standard 2013.07

Versi asal Proton Satria Neo CPS 1.6MT ialah dengan aksesori penuh yang terdiri daripada peralatan interior seperti panel pintu, stereng dan kerusi yang dibalut kulit dan dilengkapi kit badan penuh dengan “trademark” spoiler tinggi.  Model itu menerima peningkatan seterusnya apabila R3 mengeluarkan versinya yang tersendiri dengan perubahan pada rim, kit badan, kerusi baharu dan kuasa enjin, unit tersebut hanya dikeluarkan di dalam versi terhad iaitu sekitar 150 unit. Model Proton R3 Satria Neo atau lebih dikenali sebagai Neo RS dijual pada harga sekitar RM79,000.00. Selepas kesemua unit terhad Neo R3 terjual, Proton memasarkan versi kedua Neo R3 dengan beberapa perubahan kandungan pakej yang membolehkannya dijual pada harga yang lebih mesra pengguna iaitu sekitar RM61,000.00.

Proton Satria Neo CPS 1.6MT Standard yang dipamerkan di Shah Alam nampaknya adalah varian terbaru Satria Neo CPS. Lebih menguatkan fakta tersebut ialah harga jualan rasmi bermula dari 1 November 2013. Model itu ditampilkan bersahaja tanpa aksesori varian CPS sebelum ini seperti kerusi, panel pintu dan stereng balutan kulit. Varian itu seolah-olah versi RS yang biasanya dijual kepada pelanggan yang ingin menggunakan kereta untuk perlumbaan tanpa memerlukan aksesori tambahan. Walau bagaimanapun, Satria Neo CPS Standard masih lagi mengekalkan ciri-ciri keselematan sedia ada seperti dua beg udara, ABS dan EBD. Tidak pasti sama ada Proton turut menawarkan versi transmisi automatik yang secara tradisinya mempunyai pasaran lebih besar.

Proton Satria Neo CPS 1.6MT Standard 2013.02

Untuk mereka yang gemarkan modifikasi, Satria Neo CPS Standard ini dilihat sebagai alternatif sesuai untuk diubah suai mengikut citarasa tersendiri atau dibiarkan standard sahaja sebagai kereta kedua untuk berulang-alik ke tempat kerja. Proton Satria Neo CPS 1.6MT Standard (Metalik) dijual pada harga RM50,951.50 (di atas jalan).

@muhd_gt

Muhammad

Kata Anda//