Proton Saga 2016 Dilancarkan – Harga Dari RM36.8K Hingga RM45.8K

proton-saga-2016-04

PROTON Holdings secara rasmi melancarkan Proton Saga 2016 1.3L (generasi ketiga) hari ini di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam, Selangor. Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin. Mula diperkenalkan pada 1985, Proton Saga berpegang teguh pada DNA-nya sebagai kereta rakyat bentuk sedan yang paling mampu dimiliki rakyat negara ini. Sejak beberapa tahun, model ini telah berkembang dari segi rekabentuk ringkas dan bersegi kepada rekabentuk baharu yang lebih moden dan bersifat kontemporari.

Saga 2016 didatangkan dalam 3 varian – Standard (MT & CVT), Executive dan Premium dengan harga bermula daripada RM36,800 hingga RM45,800 di Semenanjung Malaysia.

“Sejak pengenalan model pertama Saga 30 tahun lalu, kami telah mengharungi satu perjalanan jauh dalam sejarah pembuatan model ini. Pelbagai penambahbaikan, peningkatan dan penyempurnaan telah dilakukan dan kami percaya Saga 2016 ini bakal menjadi daya tarikan, terutama buat mereka yang mahu membeli kereta baharu atau sebagai kereta kedua. Kami telah menghasilkan rekabentuk yang bergaya, praktikal, berciri keselamatan, mudah dan selesa bagi sebuah kereta sedan mampu milik,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PROTON, Dato’ Ahmad Fuaad Kenali.

proton-saga-2016-03

Semua varian Saga 2016 dilengkapi enjin VVT 1.3L, menggantikan enjin IAFM yang digunakan generasi terdahulu. Penggunaan teknologi VVT memberikan peningkatan prestasi yang ketara dari segi pecutan dan penggunaan bahan api. Enjin VVT baharu ini menawarkan penjimatan bahan api serendah 12 hingga 14 peratus dengan mencatatkan penggunaan petrol 5.4L/100km berbanding 6.0L/100km sebelum ini pada varian MT, dan 5.6L/100km berbanding 6.3L/100km sebelum ini pada varian CVT, apabila dipandu pada kelajuan 90km/j. Saga 2016 ini juga dilengkapi ciri Bantuan Pemanduan Eco untuk membantu pemandu mengekalkan gaya pemanduan menjimatkan.

Dari segi prestasi dinamik, enjin baharu ini mampu mencapai kelajuan lebih baik bagi pecutan 0 – 100km/j untuk varian MT, iaitu 12.2 saat (0.8 saat lebih pantas), manakala 13.1 saat (1.4 saat lebih pantas) bagi varian CVT.
Pemilik Saga baharu turut berpeluang merasai suasana kabin lebih senyap kerana perubahan dilakukan pada 3-poin mounting enjin yang memberi kesan kepada pengurangan bunyi bising, getaran dan kekasaran (NVH).
Saga 2016 ini juga lebih panjang dan lebar, iaitu 4331mm atau 74mm lebih panjang, dan 1689mm atau 9mm lebih lebar, sekali gus menjadikan ruang kabin lebih selesa dengan tempat duduk belakang lebih luas. Ini memberikan keselesaan kabin lebih baik berbanding model terdahulu. Model ini turut direka dengan ruang bagasi lebih besar daripada 413L sebelum ini kepada 420L yang mampu memuatkan dua bagasi bersaiz sederhana dan dua bagasi bersaiz kecil.

proton-saga-2016-11

Sebagai sebuah kereta permulaan, Saga 2016 juga menawarkan pelbagai penambahbaikan lain untuk keselesaan dan kesenangan pelanggan. Ia dilengkapi 2 pengecaj USB di belakang, radio/CD/MP3, Bluetooth, 10 ruang simpanan, 2 pemegang cawan, 4 pemegang botol, pelaras ketinggian tempat duduk pemandu, pelaras stereng dan tempat duduk belakang boleh lipat untuk semua varian. Dalam penggayaan pula, Saga 2016 ini dilengkapi 2 lampu kombi belakang dan lampu kabus belakang, manakala varian Executive dan Premium dilengkapi ciri-ciri lebih bergaya seperti spoiler dan rim aloi.

Selaras penekanan PROTON mengenai keselamatan, Saga 2016 telah meningkatkan ciri-ciri keselamatan yang melayakkan semua varian mendapat penarafan keselamatan 4-bintang ASEAN NCAP berbanding 3-bintang sebelumnya. Semua varian dilengkapi 2 beg udara di hadapan, ISOFIX dan tambatan atas (top tether) serta sensor keliling. Bersama struktur badan lebih kukuh, Saga baharu ini mencatatkan peningkatan penarafan Perlindungan Penumpang Dewasa (Adult Occupant Protection, AOP) dan Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (Child Occupant Protection, COP). Sementara itu, varian Premium dan Executive menawarkan ciri-ciri keselamatan menyeluruh seperti Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBD), dan Bantuan Brek (BA), manakala Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Kawalan Traksi (TC), Bantuan Daki Cerun (HHA) dan kamera belakang boleh didapati dalam varian Premium.

proton-saga-2016

“Walaupun sebuah sedan tahap permulaan, Saga baharu mampu memenuhi keperluan rakyat Malaysia masa kini. Bersama kawalan dan pengendalian Proton yang tersendiri, ditambah pula keselesaan kabin yang dipertingkat, ia menjadi bukti bahawa model mampu milik ini tidak berkompromi dalam memberikan keseronokan pemanduan. Seperti model kami yang lain, jangan hanya mengambil kata-kata positif kami. Cuba sendiri memandu uji Saga 2016 dan rasai perubahan yang telah dilakukan,” tambah Dato’ Fuaad.

Sehingga kini, lebih 2 juta Saga terjual seluruh dunia dan pelbagai anugerah dimenangi sepanjang tahun di Malaysia dan Great Britain. PROTON yakin bahawa Saga baharu ini akan terus membawa kejayaan seperti model terdahulu demi menyediakan kereta mampu milik buat pelanggan kami.

Tempahan dan pandu uji Saga 2016 kini dibuka di semua cawangan Proton Edar seluruh negara. Alamilah perubahan Proton Saga baharu – sedan mampu milik dengan nilai terbaik untuk wang. Kunjungi bilik pameran Proton untuk sesi pandu uji.

Berikut ialah harga Proton Saga 2016:

STANDARD
+RM36,800 (MT)
+RM39,800 (CVT)

EXECUTIVE
+RM42,800 (CVT)

PREMIUM
+RM45,800 (CVT)

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.