Proton Perdana 2.0 dan 2.4 Dilancarkan – RM113,888.00 dan RM138,888.00

Proton Perdana Exterior Background.2016.01

PROTON Holdings Bhd memperkenalkan Proton Perdana generasi ke-4 baharu, sebuah kereta yang dinanti-nantikan kemunculannya, berintegrasikan reka bentuk dinamik dan anggun bagi pemanduan yang menyeronokkan.

Bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Perdana baharu ini telah dilancarkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Hj Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, diiringi oleh YBhg. Dato’ Sri Syed Faisal Albar, Pengerusi PROTON dan YBhg. Dato’ Ahmad Fuaad Kenali, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

Pelancaran ini menandakan kembalinya PROTON ke dalam pasaran segmen D dengan varian 2.0 dan 2.4 yang menampilkan kereta sedan eksekutif yang sofistikated serta bergaya.

Proton Perdana Exterior Background.2016.03

“PROTON menghentikan pengeluaran Perdana pada tahun 2010 dan harapan orang awam untuk melihat Perdana baharu dikeluarkan telah mendorong kami menghasilkan kereta yang bergaya dengan tahap keselesaan tersendiri. Kami mengambil berat untuk memastikan kereta ini sedia dilancarkan kerana Perdana baharu ini melambangkan PROTON yang baharu – kami mahu menyediakan pengalaman yang baharu kepada para pelanggan di mana, Pelanggan Diutamakan. Perdana baharu ini juga melambangkan hasrat baharu PROTON untuk memberikan yang terbaik kepada pelanggan – lebih nilai untuk wang yang dibelanjakan bagi kereta dan perkhidmatan selepas jualan,” kata Dato’ Fuaad.

“Kami benar-benar bersyukur kerana mempunyai jumlah pengikut yang ramai dan menunjukkan minat yang mendalam terhadap Perdana baharu ini sebelum pelancaran dan kami menghargai semua maklum balas yang diterima. Kami tahu bahawa rakyat Malaysia ingin PROTON menjadi lebih maju dan kami tidak akan mempersiakan harapan mereka. Kami telah mengambil sedikit masa demi memastikan Perdana baharu ini bersedia untuk dilancarkan,” tambah Dato’ Fuaad.

Proton Perdana Interior.2016.10

“Sejak mula tempahan dibuka untuk Perdana generasi ke-4 yang baharu ini pada Februari 2016, kami telah menerima kira-kira 900 tempahan dari seluruh negara dan kami jangkakan untuk menjual kira-kira 3,000 buah kereta pada akhir 2016,” tambahnya.

Dibina oleh PROTON melalui kerjasama strategik bersama Honda Japan Ltd di bawah inisiatif perkongsian platform, Perdana baharu ini telah dipertingkatkan dari segi pengendalian kereta dan keselesaan. Di samping itu, PROTON juga telah membuat penambahbaikan dari segi estetik dan aerodinamik untuk memenuhi keperluan pasaran semasa.

Berharga RM113,888.00 dan RM138,888.00, bagi varian 2.0 dan 2.4, Perdana baharu 2.0 didatangkan dengan enjin SOHC 4 silinder 16 injap yang menghasilkan 154 kuasa kuda dan 189Nm tork, manakala bagi Perdana 2.4 pula didatangkan enjin DOHC dengan 4 silinder 16 injap yang menghasilkan 178 kuasa kuda dan 222Nm tork.

Proton Perdana Interior.2016.01

“Dengan menonjolkan ciri berkelas tinggi dan eksklusif serta anggun, ciri-ciri luaran yang aerodinamik, “sayap” jeriji depan PROTON yang tersendiri, lampu utama projector HID, gabungan lampu belakang LED, penghawa dingin dua zon, dan sensor parkir kereta depan belakang beserta kamera undur, serta ciri-ciri lain yang menjadikan kereta ini seronok dipandu. Di bahagian kabin pula, ruangan dalamannya diperhalusi dengan kerusi multi-kontur dan ruang kaki serta kepala yang luas,” tambah Dato? Fuaad lagi.

“Selain mempamerkan reka bentuk yang menawan, Perdana generasi ke-4 ini direka dengan mengambil kira aspek keselamatan. Ciri-ciri yang memudahkan pemanduan dengan suspensi wishbone bebas yang berganda di bahagian hadapan untuk meningkatkan daya cengkaman dan kestabilan yang lebih baik apabila membrek. Tidak kurang juga ciri-ciri keselamatan aktif dan pasif bagi memastikan perlindungan optimum untuk kedua-dua pemandu dan penumpang,” katanya.

Dengan sistem navigasi GPS dan maklumat hiburan PROTON yang terkini, Perdana baharu ini membenarkan pengguna mengoptimumkan dan menyesuaikan persekitaran pemanduan, menjadikan perjalanan lebih selesa dan yakin.

“Memasuki era baharu selepas 30 tahun, PROTON telah baharu-baharu ini mengumumkan pengalaman yang lebih baik untuk para pelanggan – lebih nilai kepada kereta kami serta pemanduan yang menyeronokkan dan jaminan keselamatan. Dari segi pengendalian yang lancar kepada keluasan dalaman dengan ciri-ciri tersendiri, Perdana baharu ini melambangkan PROTON yang baharu,” tambah Dato’ Fuaad.

Proton Perdana Exterior Background.2016.05

Warna terbaharu “Ruby Red” juga diperkenalkan kepada Perdana generasi ke-4 dengan lima warna lain seperti “Sterling Silver”, “Graphite Grey”, “Cotton White”, “Midnight Black” dan “Citrine Gold” yang boleh didapati untuk kedua-dua varian.

Perdana generasi ke-4 baharu boleh dilihat di semua bilik pameran PROTON Edar di seluruh negara dan ia boleh ditempah dengan RM1,000 deposit. Pandu uji kereta Perdana hanya boleh dilakukan di bilik pameran PROTON yang terpilih dan pelanggan dinasihatkan untuk menghubungi Talian Khidmat Pelanggan di 1 800 888 398 untuk maklumat lanjut mengenai cawangan PROTON yang terdekat bagi memandu uji Perdana generasi ke-4 baharu.

Di bawah ialah slaid luaran, interior dan spesifikasi Proton Perdana baharu.

 

This slideshow requires JavaScript.

Muhammad

Kata Anda//