Nov 08

Perodua Myvi Baharu – Padat Dengan Teknologi, Dari RM44K – RM55K

Perodua baru sahaja mengumumkan tempahan untuk Myvi baharu bakal dibuka bermula 9 November 2017. Myvi generasi ketiga ini tampil dengan pelbagai pembaharuan di mana 99.9 peratus rekaannya dibuat dan dibangunkan oleh anak tempatan di Perodua.

Selain tampil dengan rekabentuk revolusi di mana tiada lagi imej berkotak dan bulat seperti dua generasi sebelum ini, Myvi baharu juga telah menetapkan standard baharu dari segi kelengkapan keselamatan seperti empat beg udara untuk model asas dan sistem Advanced Safety Assist yang biasanya terdapat pada kereta premium.

Di bawah ialah spesifikasi utama pada Perodua Myvi baharu:

Reka bentuk

Rekaan badan atas Perodua Myvi 99.9 peratus direkabentuk oleh tenaga kerja Perodua. Konsep yang ditampilkan cenderung kepada gayaan sporti ala kereta Eropah. Daihatsu turut terlibat dalam projek ini tetapi lebih kepada perancangan, pengeluaran dan kejuruteraan.

Dari segi ukuran, Myvi ini lebih panjang, rendah dan lebar dari model terdahulu. Ukuran tandem (jarak di antara penumpang depan dan belakang ialah 973 mm memberikan ruang kelegaan kaki yang banyak.

Varian 1.5 High dilengkapi dengan skirt sisi, bampar dua tona warna dan spoiler belakang. Varian 1.3L dipasangkan roda aloi 14 inci manakala varian 1.5L pula dipasangkan roda aloi bersaiz 15 inci.

Kelengkapan

Kesemua varian Myvi dilengkapi lampu LED dengan fungsi Follow Me Home, ketinggian boleh laras, Smart Entry dengan Push Start dan kerusi belakang boleh lipat 60:40.

Varian 1.5 High dilengkapi dengan pembaca SmartTAG di mana pemandu hanya perlu memasukkan kad di slot terbina dalam papan pemuka dan terus memandu melalui lorong tanpa tunai di lebuh raya.

Kesemua varian Myvi turut dilengkapi dengan Eco Idle di mana enjin kereta akan dimatikan apabila kereta berhenti dan dihidupkan semula secara automatik apabila pedal brek ditekan.

Enjin & transmisi

Perodua Myvi baharu ini ditawarkan dalam dua sesaran enjin iaitu 1.3L dan 1.5L Dual VVT-i yang dikeluarkan di Kilang Enjin Perodua Daihatsu di Sendayan Negeri Sembilan. Enjin itu diiktiraf dengan status EEV di mana penggunaan minyak untuk enjin 1.5L ialah 20.1 km/l.

Enjin dari keluarga NR itu dipadankan dengan dua pilihan transmisi iaitu lima kelajuan manual untuk varian 1.3L atau empat kelajuan E-AT automatik untuk kesemua varian.

Sistem keselamatan canggih

Pertama kali dalam sejarah kenderaan Perodua dilengkapi sistem keselamatan canggih melangkaui standard kereta tempatan dan boleh dikatakan setara dengan jenama premium.

Varian paling premium iaitu 1.5 Advance dilengkapi teknologi keselamatan Advanced Safety Assist (ASA) yang terdiri daripada Pre-Collision Warning, Pre-Collision Braking, Front Departure Alert dan Pedal Misoperation Control.

Sistem ini beroperasi dari kamera yang dipasangkan di sebalik cermin pandang belakang.  Kesemua varian Myvi dilengkapi ABS dengan Electronic Brake Distribution (EBD) dan Vehicle Stability Control  (VSC).

Varian 1.5L dibekalkan dengan enam beg udara manakala varian 1.3L dibekalkan dengan empat beg udara.

Varian, harga* dan warna

Perodua Myvi serba baharu ini ditawarkan dalam dua pilihan sesaran enjin dan lima varian seperti berikut:

  • 1.3 Standard G (MT): RM 44,300
  • 1.3 Standard G (AT): RM 46,300
  • 1.3 Premium X (AT): RM 48,300
  • 1.5 High (AT): RM 51,800
  • 1.5 Advance (AT): RM 55,300

*Harga di atas jalan tanpa insurans

Warna:

  • Ivory White, Glittering Silver, Mystical Purple, Lava Red, Peppermint Green (1.3L sahaja), Granite Grey (1.5L sahaja)
Silakan kongsi:

Kata Anda//