Perodua Melancarkan Pusat 3S Pertama Bernilai RM40 Juta.

Perodua 3S 2015.01

Perodua baru-baru ini melancarkan Pusat 3S (Jualan, servis dan alat ganti) pertama di Seksyen 19, Petaling Jaya. Pusat 3S itu merupakan sebahagian daripada program transformasi kepuasan pelanggan yang bermula pada tahun 2011. Pusat 3S yang dikenali sebagai Perodua Sentral merupakan penanda aras baharu untuk Perodua di dalam khidmat selepas jualan.

“Pusat baharu ini akan menetapkan standard dan penanda aras baharu untuk kesemua outlet kami di dalam negara dengan fokus kepada kepuasan pelanggan.”

“Ianya akan menjadi pencetus kepada usaha kami di dalam mengukuhkan jenama dan kedudukan di dalam pasaran domestik di samping meningkatkan kehadiran kami di dalam kawasan serantau,” kata Datuk Aminar Rashid Salleh, Presiden dan CEO Perodua.

Menurut beliau, penambah baikan ini merupakan hasil daripada kajian selama 5 tahun di dalam inisiatif transformasi untuk menjadi kompetitif di peringkat global. Transformasi tersebut dikenali sebagai “Transformasi Produksi”, Transformasi Produk”, Transformasi Pembelian dan R&D dan “Transformasi Kepuasan Pelanggan”.

Menurut Datuk Aminar, tiga lagi inisiatif transformasi sedang dijalankan dengan Perodua Axia sebagai model pertama di bawah transformasi produksi.

“Fasiliti baharu ini akan mempunyai café Perodua yang tersendiri di dalam bilik pameran yang menawarkan hidangan istimewa yang bakal menarik perhatian orang ramai untuk datang berkunjung,” kata Datuk Aminar.

Pusat 3S itu yang berharga RM40 juta untuk dibina mempunyai 2 tingkat parkir tingkat bawah (184 petak parkir), bilik pameran, 37 ruang servis, 2 tingkat pusat jualan dan khidmat lepas jualan dan satu tingkat untuk ruang acara.

Menurut Datuk Aminar, Perodua sedang berusaha untuk membina Pusat 3S serupa di pasaran terpilih seluruh negara bagi memastikan transformasi menyeluruh di dalam meningkatkan kepuasan pelanggan.

Muhammad

Kata Anda//