Patutkah Kerajaan Menyelamatkan Proton? Armin Baniaz Pahamin Berkongsi Pendapatnya.

Proton Hotline 2016.02

Dua tiga hari kebelakangan ini, Proton mendapat perhatian ramai susulan perletakan jawatan Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku pengerusi syarikat yang dipegang sejak dari tahun 2014. Ramai yang memberi pendapat, daripada menteri hinggalah orang kebanyakan. Ada yang kelihatan seperti mempunyai motif tertentu dan juga yang nampak jujur ingin membantu. Bagi mendapatkan pendapat dari orang yang ahli di dalam bidang ini, GearTinggi.com menterjemahkan semula artikel bahasa Inggeris Tuan Armin Baniaz Pahamin, Presiden Proton Edar Dealers Association Malaysia (PEDA) yang diterbitkan di dalam blog arminbaniaz.com. Berikut ialah artikel yang dikongsi dengan izin Tuan Armin.

_____________________________________________

Proton Edar Sdn Bhd (PESB) telah melantik Rohimee Shafie sebagai Ketua Pegawai Operasi (CEO) yang kesebelas. Kebanyakan ahli jawatankuasa PEDA telah bersama sejak daripada CEO PESB pertama lagi iaitu Dato’ Rashid Rahim (dahulunya dikenali sebagai USPD). Sebagai Presiden PEDA, saya telah berkhidmat dengan 6 daripada 10 mantan CEO dan berdasarkan jawatan sebagai ahli jawatankuasa, Naib Presiden dan Timbalan Presiden, saya telah berkerja dengan kesemua CEO PESB. Kami juga telah bekerja dengan mantan Pengarah Urusan Proton Holdings Berhad (Proton), Tengku Tan Sri Mahaleel, COO Bersama Proton, Dato’ Kisai Rahmat dan Dato’ Kamarulzaman Darus, Pengarah Urusan Proton, Dato’ Sri Syed Zainal Abidin, CEO Proton, Datuk Lukman Ibrahim dan Dato’ Harith Abdullah. PEDA mengalu-alukan dan menantikan untuk bekerjasama dengan Dato’ Ahmad Fuaad selaku CEO baharu Proton.

Tun Dr. Mahathir Pecah Tanah Proton 2015.01

Kami telah melihat pelbagai polisi yang telah merencatkan rangkaian pengedar dan juga beberapa polisi yang melonjakkan angka penjualan kenderaan Proton. Malangnya setiap kali CEO baharu dilantik, kami terpaksa mengulang semula polisi sama ada yang baik atau sebaliknya. Ironinya, keangkuhan dan keegoan turut datang bersama pada setiap kali perlantikan baharu. Walaupun pelbagai janji seperti untuk memberi lebih tumpuan kepada pengedar sewaktu DRB-Hicom mula-mula mengambil alih namun hakikatnya tidak begitu. Dengan penurunan jualan sehinggakan pengedar sukar untuk mencapai titik pulang modal, beberapa polisi diperkenalkan yang akhirnya menyukarkan lagi pengedar untuk membuat jualan.

Sejak DRB-Hicom mengambil alih Proton pada 2012, jualan kereta Proton menurun dari 141,120 unit pada 2012 kepada 138,753 unit pada 2013, 115,782 unit pada 2014 dan hanya 102,175 unit pada tahun 2015. Secara peribadi, saya tidak merasakan pengurusan ala DRB-Hicom berkesan di Proton. Tiada penurunan kuasa dan pembuatan keputusan mengambil masa yang lebih lama berbanding sebelum ini. Reaksi dan respon terhadap sentimen pasaran adalah lemah dan tidak perlulah saya sebutkan mengenai keupayaan penghantaran kenderaan kepada pelanggan. Produksi yang tidak sama dengan tempahan pelanggan turut menambah lagi masalah ketiadaan stok untuk dijual kepada pelanggan. Terdapat juga masalah komunikasi di antara pengurusan atasan dengan pengurusan pertengahan dan pengedar. Keputusan yang dibincangkan dan dipersetujui diantara PEDA dengan pengurusan atasan tidak dicatatkan dengan sempurna dan disampaikan kepada pengurusan pertengahan dan rangkaian pengedar. Penambahan 29 lagi pengedar Suzuki kepada rangkaian pengedar yang telah sedia sesak juga lebih menambah beban dari kebaikan.

Proton Perdana 2016.01

Jurang hubungan di antara pengurusan PESB dan PEDA juga semakin melebar dan pada Februari lepas kami telah memohon untuk berjumpa dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Nampak seperti beliau seorang sahaja penggerak yang bersemangat di dalam Proton. Minat, visi dan kesungguhan beliau untuk memastikan kejayaan Proton adalah suatu contoh teladan. Perletakan jawatan beliau sebenarnya adalah satu kerugian besar buat Proton. Terdapat pengurusan kanan Proton dan PESB yang hanya sekadar menjalankan tugas dan tidak mempunyai kesungguhan yang sama seperti Tun Dr. Mahathir dan pengedar yang sanggup menghabiskan duit simpanan semata-mata untuk kekal relevan di dalam perniagaan ini. Pengedar yang objektif utamanya untuk membuat keuntungan telah menghentikan perniagaan kerana keuntungan yang sedikit pada masa kini. Yang tinggal hanyalah pengedar sejati yang tetap setia dan percaya kepada Proton.

Kerajaan sepatutnya menyediakan geran kepada Proton asalkan Tun Dr. Mahathir menerajui syarikat automotif nasional ini. Sebarang geran yang diberikan kepada Proton dengan eksekutif kanan sebagai peneraju bakal menerima nasib yang sama seperti sebelum ini. Proton memerlukan peneraju yang bersemangat seperti Tun Dr. Mahathir dan pemimpin seperti Dato’ Seri Syed Zainal Abidin yang memberikan inspirasi berbanding menghukum rangkaian bisnes. PESB memerlukan ketua seperti Dato’ Maruan Said yang fokusnya bukan pada perkara lain tetapi memaksimumkan keuntungan.

Proton Perdana 2015.02

Patutkah kerajaan menjamin keluar Proton? Jawapan yang popular ialah TIDAK PERLU tetapi apa yang telah MITI gagal berikan ialah impak kewangan berganda yang Proton telah sumbangkan kepada ekonomi negara sejak penubuhannya pada tahun 1982. Tiada apa yang tidak kena pada model bisnes Proton kecuali orang yang menguruskannya. Tengku Mahaleel telah mengumpul lebih dari RM4 bilion wang simpanan untuk Proton. Proton telah kehilangan kedudukan nombor satu di bawah Dato’ Azlan dan COO bersama Dato’ Kisai Rahmat dan Dato’ Kamarulzaman Darus yang menggantikan Tengku Mahaleel apabila beliau disingkir. Proton hampir berjaya semula di bawah Dato’ Sri Syed Zainal Abidin.

Rangkaian pengedar telah bersama Proton pada zaman susah dan senang, semasa pemilik kereta Proton boleh menyuarakan 10 aduan di dalam hanya senafas hinggalah pada masa sekarang di mana hanya 1 aduan diterima dari 10 pembeli kereta. Pengedarlah yang berada di lapangan menerima hamburan pelanggan dek kerana kualiti yang teruk, peralatan yang cacat daripada pengilang dan tempoh menunggu yang lama kerana kelemahan produksi.

Nasib pengedar patut diberi perhatian selayaknya oleh kerajaan dan pengurusan baharu Proton. Kami percaya, kerajaan patut mempunyai wakil di Proton dan PESB jika kerajaan ingin memberikan geran atau bantuan kewangan. Banyak perkara harus dilakukan di bahagian produksi dan rangkaian pengedaran.

Artikel asal: Should the Government Bail Out Proton?

***Pengarang komited menerbitkan semula artikel mengikut maksud yang hendak disampaikan dan sekiranya terdapat terjemahan yang tidak tepat ianya adalah tidak disengajakan. GearTinggi.com mengucapkan terima kasih kepada Tuan Armin di atas keizinan beliau untuk menerbitkan semula artikel ini. Semoga bermanfaat. 

Muhammad

Kata Anda//