Pandu uji Proton Ertiga – MPV kompak sepadan harga

Proton Ertiga dilancarkan pada penghujung November 2016 dan merupakan model keempat Proton yang dilancarkan pada tahun yang sama oleh pengeluar automotif nasional itu. Empat model dalam tahun yang sama bukanlah kerja yang mudah dan sebagai sebuah pengeluar kenderaan dengan output pengeluaran kecil mengikut standard global, kejayaan pelancaran keempat-empat model dalam tahun yang sama adalah pencapaian besar dan harus diberi perhatian.

Industri automotif adalah suatu yang kompleks, sesebuah model yang bermula dari kertas kosong biasanya mengambil masa 24 hingga 26 bulan (mungkin lebih) untuk tiba di bilik pameran. Kecuali pengeluar besar seperti Toyota, Honda, VW, GM dan Ford yang mempunyai produk dalam kesemua segmen kenderaan adalah sukar untuk sesebuah pengeluar bersaiz sederhana dan kecil untuk tampil bersaing.

Jadi bagaimana?

Berkongsi pelantar (platform) atau jenamakan semula kenderaan sedia ada. Terlalu mudah sebenarnya untuk mencari contoh pengeluar yang menggunakan kaedah ini dan yang paling menarik perhatian ialah apabila Mercedes-Benz bakal menggunakan Nissan Navara sebagai pikap mereka.

Menyedari keperluan untuk mengisi segmen yang masih belum terisi, Proton tidak duduk diam dan susulan jalinan kerjasama dengan Suzuki pada tahun 2015, kedua-dua syarikat itu telah bersetuju untuk mengeluarkan produk pertama di mana Suzuki memberi izin penjenamaan semula MPV kompak Ertiga.

Tidak perlu melalui proses biasa pembangunan produk dari sifar, keputusan itu adalah yang paling ideal supaya ia segera sampai ke pasaran.

Segmen

Proton Ertiga adalah MPV kompak dengan enam tempat duduk. Ia didatangkan dalam dua varian – Executive dengan transmisi manual dan automatik dan varian tertinggi Executive Plus Automatic. Harga Proton Ertiga bermula dari RM58,800 – RM64,800 di Semenanjung Malaysia.

Ia berada di bawah Proton Exora dan dalam segmen yang sama seperti Nissan Grand Livina, Perodua Alza dan terkini Honda BR-V. Di peringkat Asean, segmen B MPV adalah besar dan tidak hairanlah mengapa pengeluar ternama mempunyai produk untuk merebut saiz pasaran yang tersedia.

Di dalam negara, Perodua Alza mencatat jualan ribuan unit setiap bulan dan Nissan Grand Livina masih lagi dijual sejak mula diperkenalkan pada penghujung tahun 2007. Toyota Avanza pula sudah memasuki status legenda dan mungkin layak digelar Raja MPV Kompak.

Dari Shah Alam ke Pantai Redang, Selangor

Hanya menukar lencana tidak bermakna Proton mengambil jalan mudah kerana Ertiga telah diuji ke hulu dan ke hilir oleh juruteranya bagi memastikan model ini benar-benar sesuai untuk kegunaan tempatan. Ini boleh dikesan melalui pelbagai gambar Ertiga yang diuji bersama model baharu lain di atas jalan raya.

Sesi pandu uji pada awal Januari 2017 bermula dari Pusat Kecemerlangan Servis Proton (CoSE), Shah Alam ke Pantai Redang, Sekinchan, Selangor. Iya, ada Pantai Redang di Selangor dan ini kali pertama saya tahu dan melawatinya.

Jarak perjalanan pergi dan balik dari CoSE ke Pantai Redang ialah hampir 200km termasuk persinggahan di Bukit Malawati.

Laluan yang digunakan adalah campuran di antara lebuh raya, jalan negeri serta jalan kampung bagi menguji kelebihan dan kekurangan produk terbaharu Proton ini.

Luaran

Suzuki Ertiga menggunakan pelantar yang sama dengan Suzuki Swift. Iya, kedua-dua model itu berkongsi asas yang sama dan untuk Ertiga, saiznya diperbesarkan sesuai untuk kebolehgunaan MPV kompak. Di antara Suzuki dan Proton Ertiga pula tiada perubahan major kecuali lencana Proton dan bampar belakang yang menggunakan edisi pra-rupa baharu (sebelum facelift) Suzuki dengan lampu kabus bagi memenuhi keperluan undang-undang negara.

Seperkara yang menarik perhatian mengenai Ertiga ialah perkadaran (proportion) yang seimbang. Badan kereta tidak nampak canggung dan kelihatan harmoni walaupun ia diasaskan dari sebuah kereta super kompak. Ertiga nampak sesuai jika Proton mempunyai perancangan untuk mengeluarkan varian Activ seperti yang telah dipertontonkan melalui Iriz Activ dan Suprima S Activ dan seterusnya boleh menghentikan Proton Exora SP dengan kit badan yang seperti tidak kena dengan konsep asalnya.

Selain itu, bukaan pintu penumpang luas dan mudah untuk keluar masuk, berat pintu juga ringan dan jelas ia direka untuk praktikaliti.

Interior

Kecuali kereta mewah atau eksekutif, rata-rata kenderaan mampu milik menggunakan tema warna gelap. Walau bagaimanapun Suzuki memilih warna Beige bagi memenuhi dua objektif iaitu untuk nampak luas dan menyambut ceria penumpang. Memandangkan Ertiga pada asalnya dibina untuk pasaran Indonesia dan India maka boleh difahami kenapa opsyennya berbeza dengan selera rakyat tempatan.

Ini tidak menjadi masalah besar memandangkan Ertiga sudah lama berada di pasaran luar dengan pelbagai aksesori tersedia. Kelengkapan seperti balutan kerusi sudah pun ditawarkan di kedai-kedai aksesori tempatan dengan harga yang berpatutan. Hanya menunggu masa sahaja sebelum para pemilik Proton Ertiga menzahirkan kreativiti mereka dan menular di media sosial. Tapi tolonglah, bukan dengan imej tayar belakang terkopak melampau.

Suzuki memberi fokus penuh pada kualiti binaan, dalaman Ertiga tidak terasa murah atau seperti kereta yang dipotong bajetnya. Reka bentuk papan pemuka serta kulit pintu dan material yang digunakan nampak ‘standard’ manakala binaan kerusi yang kemas pula selesa menyokong badan.

Kerusi barisan kedua juga sama selesa dengan bahagian depan dan boleh dilaras supaya penumpang barisan ketiga tidak berasa sempit dalam ruang yang terhad. Mungkin ada yang mengadu ruang kaki penumpang barisan ketiga tidak besar mana namun ia adalah normal untuk kenderaan dengan saiz ini. Barisan terakhir itu dilihat lebih sesuai untuk kanak-kanak dan menjadi bonus apabila terdapat keperluan untuk menggunakannya.

Apa yang menarik perhatian ialah tempat duduk Ertiga mempunyai saiz yang tebal seperti kereta penumpang tahun 80an dan 90an. Fabriknya nampak berkualiti dan menurut Proton walaupun ia berwarna Beige namun tahan dicuci. Kualiti yang ada pada Ertiga harus dipuji memandangkan trend kenderaan kompak semasa ialah ruang dioptimumkan melalui binaan kerusi yang dinipiskan.

Iya, nampak luas dan lega namun keselesaan penumpang terpaksa dikompromi. Apa yang diguna pakai pada Ertiga ini bertentangan dengan falsafah pengeluar lain dan diyakini ia dapat memberi pengalaman perjalanan selesa untuk perjalanan jauh.

Mengenai ruang bagasi pula, tiada yang mengujakan dari sebuah kenderaan tujuh tempat duduk walaupun bersaiz besar seperti Toyota Vellfire mahu pun yang kompak seperti Ertiga ini. Ruangnya terhad jika kesemua ketiga-tiga baris tempat duduk digunakan. Jika hendak membawa barang yang banyak, lipat sahaja kerusi barisan ketiga atau pemilik mungkin perlu memasang kotak barangan di atas bumbung.

Nadi kuasa

Apabila Suzuki memperkenalkan model Swift baharu, antara yang menarik perhatian ialah penurunan sesaran enjin dari 1.5L kepada 1.4L. Enjin K14B DOHC VVT yang digunakan pada Swift generasi baharu turut diguna semula pada Ertiga ini. Enjin itu berkuasa 92 ps pada 6,000 rpm dengan tork 130 Nm pada 4,000 rpm yang dipadankan sama ada dengan transmisi manual 5 kelajuan atau automatik 4 kelajuan.

Enjin tersebut juga cekap bahan api dengan bacaan di atas kertas iaitu 5.7L/100km untuk transmisi manual dan 6.0L/100km untuk transmisi automatik. Angka tersebut melayakkan Ertiga menerima pengiktirafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) oleh kerajaan.

BACA LAGI:

Proton Ertiga 1.4 Dilancarkan – RM58.8K Hingga RM64.8K

Pandu Uji Singkat Proton Ertiga

Pengalaman Pemanduan

Sesi pandu uji kali ini adalah yang paling singkat dianjurkan oleh Proton iaitu lebih kurang 5 jam sahaja. Walaupun tidak lama namun seleksi jalan raya yang pelbagai membolehkan Ertiga diuji dengan poin-poin penting.

Sewaktu Suzuki melancarkan Swift baharu, saya agak khuatir dengan keputusan pengeluar itu untuk menggunakan enjin bersesaran 1.4L yang lebih kecil berbanding sesaran 1.5L seperti sebelumnya. Lebih naik hairan apabila enjin yang sama turut digunakan pada MPV kompak ini.

Mampukah enjin 1.4L VVT itu membawa badan kereta yang lebih berat dengan penumpang yang lebih ramai?

Sesaran enjin Ertiga lebih kecil berbanding Perodua Alza (1.5), Nissan Grand Livina (1.6 dan 1.8) atau Honda BR-V (1.5).

Suzuki tidak suka-suka membuat keputusan itu. Sewaktu memandu uji Proton Ertiga, kuasa dibekalkan enjin 1.4L tidak terasa lemah malah bersesuaian manakala transmisi automatik pula cekap memainkan peranannya untuk memerah dan mengheret MPV kompak itu. Walaupun angka 1.4L itu nampak kecil dan tidak bermaya untuk sebuah MPV kompak namun prestasinya melebihi jangkaan.

Ertiga tidak terasa lembab dan malu-malu untuk bergerak malah seperti kereta kebanyakan. Dalam pemanduan normal, enjin terasa senyap dan apabila mendaki atau memotong dengan agresif nadi kuasa Ertiga berusaha keras melalui bunyi yang jelas memasuki kabin namun ia tidak menjadi masalah besar kerana saya tidak menjangkakan prestasinya seperti kereta premium buatan Asia atau Eropah.

Merupakan sebuah MPV mampu milik namun tahap kedapan suara di atas permukaan jalan yang elok kedengaran baik sekali. Ada juga tempoh bila mana geseran tayar dengan permukaan jalan terasa bising tetapi ia bukan berpunca dari kualiti binaan Ertiga kecuali permukaan jalan raya tempatan yang teruk.

Pengendalian

Dari segi pengendalian pula, jurutera Suzuki benar-benar mencerap jalan raya benua Asia yang mencabar. Dengan tayar yang tebal dan talaan suspensi sedia ada, Ertiga tidak rasa keras tidak tentu hala dan agak berjaya melakukan tugasnya dalam menyerap hentak lopak dan lubang yang secara tiba-tiba ‘melintas jalan’ atau permukaan jalan raya beralun seperti ombak menghempas pantai. Adakalanya terasa juga terhentak dan kasar tetapi ia khusus untuk keadaan jalan yang tidak masuk akal.

Apabila bergerak laju di atas lebuh raya, Ertiga terasa stabil dengan bunyi angin yang boleh diterima serta bersesuaian dengan kelasnya. Stereng juga semakin memberat dan stabil dalam kelajuan membelah lebuh raya seterusnya memberi keyakinan kepada pemandu.

Cuma pusingan stereng juga terasa sedikit berat semasa bergerak dari keadaan statik atau bergerak perlahan. Ia agak berat jika dibandingkan dengan standard pengeluar Asia lain.

Pemanduan dan pengendalian Ertiga boleh dikatakan memadai asalkan ia tidak dipandu untuk mengejar titik keluar selekoh (Apex) atau pun digunakan untuk perlumbaan ‘time attack’ dan seumpamanya.

Prestasi brek juga boleh diharap untuk memperlahankan atau memberhentikan MPV ini sewaktu kecemasan.

Ertiga sudah cukup sesuai untuk membawa penumpang atau memenuhi gaya hidup pemilik yang aktif.

Kesimpulan

Keputusan Proton untuk mengguna pakai model Suzuki ini boleh dikatakan betul bagi mengisi vakum yang lama tidak terisi. Ini adalah normal dan sudah menjadi amalan lazim industri, jika tidak masakan pengeluar kereta premium seperti Mercedes-Benz ingin mengguna semula Nissan Navara. Itu belum lagi jika dikaji peralatan dalaman pengeluar yang mempunyai pakatan bersama.

Segmen ini penting kerana wujudnya permintaan berdasarkan jumlah jualan pesaing lain tambahan pula gaya hidup pengguna sudah berubah. Ada yang mahukan MPV tetapi tidak mahu besar sangat. Ada yang memerlukan sedan tapi ruangnya perlu besar.

Apa pun masih ramai pengguna yang perlukan kereta sebagai alat mobiliti berbanding untuk status atau kehendak. Asalkan menepati keperluan mereka dan tidak memeningkan kepala dari segi bayaran bulanan dan penyelenggaraan itu sudah memadai.

Proton juga tidak perlu pening kepala memikirkan segala rencah dan pelaburan untuk membina produk ini dari kertas kosong. Asalkan produk boleh jual dan ada pihak yang boleh bekerjasama, mengapa tidak?

Laba dari produk ini boleh digunakan untuk survival Proton dan dilaburkan semula bagi menghasilkan model keluaran sendiri yang semakin pantas mengejar standard global.

Inilah dunia perniagaan yang perlu berpijak di bumi nyata. Cuma lebih manis jika Proton dapat menjelmakan semula Ertiga mengikut DNA mereka dan semestinya pengeluar automotif nasional itu lebih dari mampu, setidak-tidaknya dari segi kemampuan kejuruteraan.

Berikut ialah 12 gambar luaran dan dalaman Proton Ertiga:

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.