Pandu Uji Nissan Teana 2.5 V6 FL + Blind Watch System

Nissan Teana FL BWS 2013.01

Saya pernah memandu uji Nissan Teana 2.5 V6 sebelum ini dan ianya pengalaman yang memuaskan hati. Dibandingkan dengan pesaing yang lain di dalam segmen D, konsep binaan Teana sangat berbeza. Jika rekabentuk pesaing lain seperti Honda Accord, Kia Optima, Hyundai Sonata dan Toyota Camry lebih tajam dan aerodinamik, Teana pula melawan arus dengan rekabentuk yang konservatif. Jika disoroti model segmen D terdahulu seperti Cefiro A31 ianya sangat berbeza kerana model itu lebih sporty dengan bumbung yang rendah, badan yang lebar dan yang paling popular hingga kini ialah pacuan roda belakang. Masakan tidak kerana model itu sebenarnya berkongsi platform dengan Nissan Skyline R32. Tahun berganti tahun, Cefiro semakin hilang sifat itu yang dizahirkan kepada model peganti seperti Cefiro A32, Cefiro A33 (Excimo & Brougham) dan kemudiannya Teana generasi pertama (J31) dan paling baharu generasi kedua (J32). Boleh jadi pasaran yang disasarkan Nissan kurang berminat dengan rekabentuk sporty dan mahukan imej yang lebih eksekutif dan mewah.

Nissan Teana FL BWS 2013.12

Di pasaran global, Teana dikenali dengan beberapa nama seperti Altima di Amerika Syarikat yang telah dipasarkan dengan model serba baharu. Sementara di China pula jenama Teana masih dikekalkan tetapi sudah dibuat wajah baharu (facelift) dan pada Mac lepas model baharu yang sama seperti Altima di Amerika Syarikat dilancarkan. Semasa berita Teana tempatan ingin dilancarkan semula saya menjangkakan model yang akan dikeluarkan sama seperti Teana wajah baharu pasaran China. Nampaknya Edaran Tan Chong Motor (ETCM) mempunyai pendapat lain dengan mengekalkan rekabentuk sama dengan model sedia ada tetapi dengan sentuhan minor seperti jeriji hadapan dengan bilah berwarna hitam serta aerokit yang lebih minimalis. Walaupun begitu, ada satu perubahan besar yang mendahului pesaing lain dengan penggunaan teknologi Blind Spot Warning System (BSW).

Nissan Teana FL BWS 2013.09

Bagaimana BSW itu berfungsi? Konsep penggunaanya sama seperti sistem amaran lorong lain iaitu memberi amaran jika terdapat sebarang objek yang berada di sisi kenderaan. Pemandu diberi amaran melalui nyalaan dua lampu kecil yang dipasangkan di tapak kanan dan kiri cermin sisi sama seperti lampu BLIS Volvo. Jika objek terlalu dekat dan pemandu tetap menukar lorong bunyi amaran pula akan dikeluarkan sebagai peringatan kali kedua. Teknologi BSW menggunakan dua sensor yang dipasangkan di sebalik bampar belakang dan akan mengimbas objek pada lingkungan titik buta yang tidak dapat dilihat oleh mata pemandu.Sistem amaran titik buta sebenarnya sangat berguna dan amat dialu-alukan jika ianya dijadikan syarat wajib untuk semua kenderaan di Malaysia. Iya, memandangkan sesetengah daripada pemandu kita yang lalai apabila menukar lorong sesuka hati dan paling utama sekali dapat memberi amaran apabila terdapat motosikal yang entah daripada mana muncul dan mencelah semasa memandu di dalam kesesakan jalan raya. Saya ucapkan tahniah kepada ETCM kerana prihatin dan berjaya memperkenalkan teknologi itu.

Nissan Teana FL BWS 2013.07

Selain daripada perubahan luaran yang minor dan teknologi BSW, Teana baharu juga didatangkan dengan warna interior baharu iaitu hitam berbanding warna beige sebelum ini. Walaupun warna beige sering dikaitkan dengan suasana mewah dan luas berbanding warna hitam yang lebih sporty namun perubahan itu dilihat sesuai sekali. Jika diimbas kembali ulasan model sebelum ini, saya tidak berkenan kerana warna beige tersebut yang menampakkan butang-butang di papan pemuka seperti plastik murah. Warna hitam yang baharu ini nampaknya berjaya mengurangkan imej murah dan dilihat lebih senada dengan imej mewah dan premium yang ingin dibawa Teana.

Nissan Teana FL BWS 2013.10

Satu lagi perkara yang ingin saya puji dan kongsi ialah tahap keselesaan Teana yang tinggi. Memandu atau menumpang kereta itu terasa seperti duduk di atas sofa yang bergerak di atas jalan raya. Jurutera Nissan memang handal di dalam bab ini, hentakan di jalan berlopak di serap dengan elok dan pada masa yang sama putaran stereng agak jitu untuk sebuah kereta yang besar. Daripada segi luaran pula saiz yang besar dan rekabentuk yang konservatif tetapi mewah pula begitu mendominasi jalan raya dan memang sesuai sangat jika dipanggil sebagai kereta besar pada masa pengeluar lain mengecilkan saiz kereta mewah mereka. Melihat dari luar terasa begitu banyak sekali besi yang digunakan oleh Nissan untuk mengeluarkan model ini. Dari segi mekanikal pula tiada apa yang berubah dengan pengekalan enjin 2.5 V6 CVTC yang dipadankan dengan transmisi CVT yang lancar.

Nissan Teana FL BWS 2013.14

Nissan Teana 2.5 V6 adalah sebuah kereta segmen D yang selesa dengan interior yang luas, luaran yang mewah, mempunyai keselesaan yang tinggi dan deruman enjin V6 yang mengasyikkan. Kesemua ciri-ciri tersebut disempurnakan lagi dengan interior berwarna gelap yang nampak eksklusif dan paling penting ialah teknologi BSW yang merupakan penanda aras baharu dan sudah menjadi arus perdana di dalam segmen D tempatan. Tidak kira sama ada profail pemiliknya tauke besar, pengurus atau berkeluarga ianya cocok belaka dan saya sebenarnya tidak kisah jika Nissan Teana 2.5 V6 dijadikan kenderaan rasmi kerajaan. Diperakui dan lulus!

@muhd_gt

Muhammad

Kata Anda//