Nissan IDx Freeflow dan Idx NISMO: Imbasan Nostalgia Nissan

Nissan IDx 2013.02

Pada 20 November lepas di Pameran Kenderaan Tokyo, Jepun, Nissan telah mempamerkan kepada umum model konsep yang mengejutkan ramai peminat kereta iaitu IDx Freeflow dan IDx Nismo. Kedua-dua model konsep itu walau pun masih di peringkat kajian namun begitu mengujakan apabila ianya mengimbas kembali model klasik Datsun Bluebird 510 SSS. Jika benar Nissan ingin mengeluarkan IDx maka model itu akan menyertai barisan kereta moden dengan elemen retro seperti MINI Cooper, VW Beetle dan Toyota GT86.

IDx Nismo dan IDx Freeflow menunjukkan keupayaan Nissan dalam menggunakan kaedah pembangunan produk yang baharu dan inovatif bagi memenuhi keperluan pelanggan muda dan berinteraksi dengan mereka dalam mengeluarkan kereta yang mereka mahu. Pendekatan dalam pembangunan kereta memerlukan input daripada konsumer dan ianya direka untuk menarik perhatian generasi digital yang lahir selepas tahun 1990 dan turut mengambil pendapat mereka dalam proses pembangunan. Nissan berpendapat pendekatan ini akan digunakan untuk pembangunan kereta pada masa akan datang dan hubungan baharu di antara Nissan dan pelanggannya.

Akronim IDx sebenarnya merujuk kepada perkataan identification atau memberi maksud perkara-perkara yang bersifat individual pada kereta konsep itu manakala akronim x pula merujuk kepada pemboleh ubah yang mewakili nilai-nilai baharu dan impian yang dilahirkan melalui komunikasi. Berinteraksi dengan generasi muda telah mengajar Nissan benda-benda baru di dalam aspek kreativiti di mana hasil akhir kedua-dua model kereta konsep adalah daripada input generasi muda. Setiap satu model konsep itu mempunyai karakter yang kuat dengan perbezaan impresi yang ketara. Apa yang Nissan peroleh daripada interaksi dengan golongan muda ialah kehendak mereka yang mahukan kereta dengan ciri-ciri ringkas dan original untuk sebuah kereta iaitu yang tiada pengaruh lama, berasakan perkadaran yang ideal dan kedudukan lurus kereta dengan bentuk tiga kotak. Ringkasnya rekabentuk IDx adalah kereta dengan tiga bahagian iaitu enjin, penumpang dan bonet belakang.

IDx Freeflow

Nissan IDx 2013.07

Model konsep IDx Freeflow adalah refleksi input golongan muda yang turut merekabentuk kereta iaitu mereka yang bercitarasa semula jadi dan tinggi dalam kesemua aspek dalam kehidupan harian. Bahagian interior kereta empat penumpang itu dipilih daripada peralatan yang bergaya tetapi berfungsi dan selesa untuk merasai suasana seperti di ruang tamu di mana pemilik dan rakan-rakannya boleh beristirehat. Stereng yang ringkas pada papan pemuka ditemani oleh meter kelajuan konsep moden manakala jam analog pula menambahkan lagi suasana selesa dan tenang. Lebih menarik, kerusi dan sesetengah peralatan dibalut dengan denim untuk memberi suatu kebebasan berbanding kereta-kereta masakini.

Walaupun bersaiz kompak iaitu dengan panjang hanya 4.1 meter, 1.7 meter lebar dan 1.3 meter tinggi, IDx Freeflow tampil menonjol dengan rekabentuk luar seperti bumbung yang seolah-olah terapung dan berbentuk bulat yang merupakan antara ciri kreatif kereta itu. Warna yang dipilih pula ialah gabungan putih dan flax iaitu bayangan coklat muda seperti individu yang memakai baju-t berwarna putih dan seluar chinos dan diserlahkan dengan aksesori berwarna perak atau tali pinggang. Efek luaran diserlahkan lagi dengan roda besar bersaiz 18 inci berwarna krom. Untuk janaan kuasa pula, IDx dikuasakan oleh enjin yang ekonomikal berkemungkinan bersesaran 1.2 liter atau 1.5 liter yang dipadankan dengan transmisi CVT.

IDx Nismo

Nissan IDx 2013.04

Suatu yang menarik dengan IDx Nismo ialah golongan muda yang terlibat dalam memberi input ialah mereka yang membesar dengan permainan konsol yang penuh dengan kereta-kereta lama dari seluruh dunia. Mereka mempunyai keinginan untuk merealisasikan pengalaman maya itu ke ke dalam dunia harian. Tidak hanya dipengaruhi oleh kereta lumba, IDx Nismo dilahirkan daripada ilham untuk menghasilkan kereta dari masa lepas dan masa kini bagi menampilkan sesuatu yang cool atau menarik. Kereta konsep itu mengambil kira warisan kereta lumba klasik Nissan dengan bentuk berkotak yang ringkas dan digabungkan dengan perincian baharu. Hasilnya adalah sebuah kereta yang tampil dengan rekabentuk malar segar dan berada di kedudukan tersendiri.

Nissan IDx 2013.05

Dengan penghasilan model konsep IDx ini menunjukkan bahawa trend rekabentuk kereta lama dan moden semakin mendapat tempat di kalangan pengeluar kereta. Mengeluarkan kereta dengan konsep seperti itu bukan mudah kerana ianya mempunyai pasaran yang kecil dan tersendiri. Walau pun begitu, kereta dengan gayaan lama dan moden mempunyai pengikutnya yang tersendiri tambahan pula rekabentuk kereta sekarang ini tidak semuanya menepati citarasa ramai orang di mana masih ada yang kekal setia dengan kereta lama mereka. Jika benar kereta konsep ini dihasilkan pasti ramai orang lama yang senyum lebar dan berterima kasih kepada Nissan.

Newspress

@muhd_gt

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.