Mercedes-Benz S63 AMG Coupé: Made in Affalterbach

Mercedes-Benz S63 AMG Coupé 2014.02

S 63 AMG Coupé adalah produk terbaharu daripada Mercedes-AMG yang merupakan penala rasmi kenderaan dari Jerman itu. Garisan badan yang halus dan bergaya mempengaruhi permukaan luaran kereta yang nampak beremosi pada masa yang sama menonjolkan imej sporty dan mewah. S 63 AMG Coupé dibekalkan dengan enjin paling berkuasa di dalam famili enjin BlueDIRECT iaitu AMG 5.5 liter V8 biturbo berkuasa 585hp dengan tork setinggi 900Nm.

Tobias Moers, Pengerusi Lembaga Pengurusan Mercedes-AMG GmbH berkata “S 63 AMG Coupé merupakan sebuah lagi kereta AMG yang mengujakan di dalam segmen mewah. Mercedes-AMG meledakkan kuasanya pada tahun baharu ini dan model kami akan terus berada di landasan yang pantas pada tahun 2014”.

Mercedes-Benz S63 AMG Coupé 2014.03

S 63 AMG Coupé menampilkan gayaan yang selari dengan prestasi berkuasa yang dimilikinya. Ia membawa imej dominasi dan sensualiti Mercedes-Benz dan turut menjadi pentas pameran teknologi yang digunakan pada kereta itu. Wajah kereta didominasi oleh radiator bilah berkembar tiga dimensi (3D) AMG yang berwarna krom perak. Sama ada kereta sedang bergerak atau di dalam keadaan statik, logo AMG pada bilah itu memberi indikasi kereta itu berasal dari Affalterbach, Jerman iaitu lokasi ibu pejabat penala Mercedes-Benz. Sayap berbentuk A direka di bawah gril radiator dan corong udara 3D diwarnakan sepadan dengan badan kereta, merentangi apron depan dan paparan karakter A adalah signatur kenderaan AMG.

Splitter pada bawah bampar pula mengoptimumkan aliran udara untuk proses penyejukan dan peralatan itu yang normal untuk kereta lumba turut mengurangkan angkatan depan selain daripada memberi imbangan aerodinamik kereta. Pengasingan sayap A dan splitter depan menjadikan kereta lebih rapat ke bumi dan gayaan itu diulang semula pada panel sisi bawah AMG dan dengan garisan bawah badan memberi efek dinamik. Imej menangkap mata ditambah lagi dengan roda AMG manakala emblem V8 BITURBO menandakan kereta ini adalah sentuhan AMG. Pada bahagian belakang pula, ruang bampar sibuk dengan diffuser dan garisan krom perak adalah kitar semula sayap A di depan kereta. Muncung berkembar sistem ekzos AMG kemas disimpan di dalam perintang manakala outlet udara menegak pula berfungsi sebagai spoiler dan membantu di dalam aerodinamik kereta.

Mercedes-Benz S63 AMG Coupé 2014.06

AMG juga berjaya mengurangkan berat badan kereta ini sebanyak 65kg. Pengurangan itu dicapai menggunakan bateri ringan lithium-ion, roda forged aloi AMG dan sistem brek berprestasi AMG. Turut menyumbang ialah ‘kulit luar’ bahagian depan yang diperbuat dari aluminium. Berat kereta yang lebih ringan memperbaiki dinamik pemanduan dan mengurangkan penggunaan minyak manakala nisbah kuasa kepada berat jatuh lebih rendah iaitu 3.41 kg/hp. Dari segi prestasi, S 63 AMG Coupé mampu memecut dari sifar ke 99.7km/j di dalam masa 3.9 saat hingga 4.3 saat bergantung kepada varian model dan kelajuan maksimum yang dihadkan secara elektronik ialah 249.4 km/j. Selain dari itu, kereta ini mempunyai sistem ekzos AMG yang unik dengan bunyi yang berubah mengikut mode transmisi. Jika transmisi berada di dalam mode C (Controlled Efficiency) flap ekzos tertutup pada kebanyakan situasi yang menyembunyikan bunyi sebenar enjin biturbo itu dan segalanya berubah pada mode S (Sport) dan M (Manual) di mana flap ekzos dibuka awal dan lebih spontan terutama sekali jika pemandu menggasak dengan pemanduan yang lebih dinamik. Pada keadaan itu barulah suara sebenar kuasa AMG terserlah.

Mercedes-Benz S63 AMG Coupé 2014.04

Seperkara lagi yang menarik perhatian ialah enjin buatan V8 dan V12 buatan AMG dipasang dengan tangan dan ini tidak terkecuali dengan enjin 8 silinder biturbo S 63 AMG Coupé yang dipasang di fasiliti AMG di Affalterbach. Pemasang enjin yang berkelayakan tinggi ‘mencantumkan’ hasil tangannnya mengikut standard kualiti yang ketat berdasarkan falsafah ‘seorang individu, satu enjin’ dan lebih terperinci apabila setiap enjin mempunyai tanda tangan jurutekniknya!

Tayangan perdana Mercedes-Benz S 63 AMG Coupé dirancang dilakukan di New York pada April 2014 dan harganya pula sudah pasti sehebat kelas dan prestasi yang dimiliki dan kereta buatan AMG semestinya berada pada standard yang tersendiri!.

Newspress

Garaj Kosmo

@muhd_gt

Muhammad

Kata Anda//