Jaguar XJ Wajah Baharu Kini Di Malaysia – Harga Bermula Dari RM645 Ribu

image

Jaguar Land Rover (Malaysia) Sdn Bhd (JLRM) telah melancarkan sedan mewah bersaiz penuh Jaguar XJ yang berwajah lebih menarik di Malaysia hari ini, dengan memperkenalkan ciri baru menarik bagi pelanggan yang arif memilih.

Versi terbaru model kebanggaan Jaguar ini menggabungkan kecantikan, kemewahan anggun dan kuasa luar biasa dalam satu kenderaan yang tiada tandingan.

image

Sedan mewah XJ bersaiz penuh baru ini lebih menonjol dan menyerlah, dengan gril depan baru yang menawan, lantas mencetus penampilan yang lebih segak dan yakin.  Penampilan ini diperkukuh dengan lampu depan adaptif LED penuh bersama lampu kendalian siang ‘J Berganda’ tersendiri serta lampu belakang yang menarik perhatian.

Binaan aluminium penuh memastikan XJ lebih kuat, lebih tegar tetapi masih lebih ringan, menampilkan kereta yang lebih responsif, tangkas dan menjimatkan minyak.

image

Hasilnya, XJ baru menjanjikan pengalaman memandu yang lebih dinamik bagi pemandu yang serius. Malah, pengalaman lebih menarik bagi penumpang yang menaiki sedan mewah ini kerana kabin dibina untuk memanjakan penumpangnya, dengan ruang mencukupi untuk meregangkan kaki dan bersantai sambil menikmati hiburan yang disediakan oleh Sistem Bunyi Meridian Digital Surround 825W dengan 20 Speaker.

Bagi pasaran Malaysia, JLRM menawarkan XJ baru dengan jarak roda yang panjang bersama tiga pilihan enjin yang digandingkan dengan Transmisi Automatik Elektronik 8 Kelajuan yang dilengkapi Jaguar Sequential Shift™.

Pilihan enjin Petrol Cas Turbo 4 Silinder 240Ps 2.0-liter dijual pada harga daripada RM645,000. Pelanggan juga boleh memilih enjin Petrol Supercaj V6 340PS 3.0-liter yang dijual pada harga RM830,000 dan ke atas atau Diesel Cas Turbo 300PS 3.0-litre V6 yang ditawarkan pada harga RM800,000 dan ke atas. Harga yang dinyatakan adalah termasuk 6% GST tetapi tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans.

image

Setiap XJ baru disediakan bersama manfaat Jaguar Care, yang merangkumi waranti lima tahun/150,000km atau servis 80,000km (enjin 2.0-liter) atau 65,000km (enjin 3.0-liter) dan khidmat Bantuan Tepi Jalan Jaguar selama tiga tahun.

Pengarah Urusan JLRM Datuk Aishah Ahmad berkata dengan pelancaran kereta XJ serba baru, rangkaian Jaguar di Malaysia kini telah diperbaharui sepenuhnya.

“Kami gembira untuk menawarkan rangkaian lengkap model Jaguar terbaru yang bersaing dalam hampir semua kategori segmen sedan mewah premium di Malaysia. Pengguna kenderaan yang arif kini mempunyai pilihan membeli kereta mewah yang bukan sahaja kaya dengan warisan keunggulan, tetapi turut menawarkan pengalaman memandu yang luar biasa,” katanya.

image

XJ baru dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu paling pintar untuk menjadikan setiap perjalanan lebih selamat bagi penumpang kereta dan juga pejalan kaki.

Antara ciri utama termasuk Kawalan Kemajuan Semua Permukaan (ASPC), pengawal luncur kelajuan rendah yang membantu XJ baru menyesuaikan diri dengan situasi cengkaman rendah, tidak kira apa jua cuaca.  Ini membolehkan pemandu memberi tumpuan terhadap pemanduan. Sistem canggih ini juga mempunyai fungsi tarikan yang membolehkan XJ bergerak daripada keadaan pegun dalam permukaan licin dan juga fungsi penurunan bukti yang mengawal kelajuan kenderaan pada cerun yang lebih curam.

Kawalan Jarak Letak Kereta 360° direka secara unik untuk mengelakkan objek yang terletak berhampiran XJ dengan lima kamera diletakkan secara strategik di sekeliling kereta.

image

Satu lagi ciri ialah Sistem Pengesanan Sentuhan Pejalan Kaki.  Sistem ini menaikkan sedikit bonet XJ secara automatik apabila ia mengesan pertembungan dengan pejalan kaki, untuk mengurangkan kesan hentakan terhadap pejalan kaki dan mencegah sentuhan dengan komponen enjin.

Sementara itu ciri InControl Touch Pro membolehkan XJ meletakkan muzik, video, pelayaran dan semua alat kawalan penting di dalam kereta, termasuk sambungan Bluetooth, di hujung jari anda. Skrin sentuh 8 inci baru menggunakan pemproses Intel Quad Core untuk memaparkan grafik terkini serta tindak balas pantas kepada leretan dan sentuhan yang mirip telefon pintar. Selain itu, Paparan Panel Instrumen HD TFT 12.3-inci dengan tombol maya dan Pandangan Peta 3D penuh menyeronokkan lagi pengalaman memandu.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.