Hyundai i10 2014: Gelombang Kedua Hyundai!

Hyundai i10 2013.07

Rasanya tidak perlu diulas panjang mengenai kehebatan kereta buatan Korea seperti Kia dan Hyundai kerana buktinya banyak boleh dilihat di atas jalan raya. Promosi yang dilakukan juga hebat dan paling penting produk yang mereka ada boleh jual, apa guna kalau promosi hebat tetapi produk yang ditawarkan lemah. Sesuatu yang pengeluar perlu dan sentiasa ingat ialah, produk yang bagus akan terjual dengan sendirinya. Melalui pemotongan kos anda mungkin boleh mencapai harga yang ideal namun kos yang dijimatkan itu akan ditimbal balas pula dengan kos pemasaran yang tinggi, paling merugikan apabila diskaun yang tinggi perlu dikeluarkan untuk melariskan produk. Sebab itu, kaedah pembelian tidak boleh asalkan paling murah sahaja tetapi perlu juga mengambil kira cita rasa pasaran, apa guna potong kos sana sini tetapi akhirnya dicemuh bakal pembeli atau pemiliknya bersumpah tidak akan membeli kereta daripada pengeluar yang sama lagi.

Hyundai i10 2013.06

Namun apabila senario itu berlaku bukanlah bermakna segalanya sudah terlambat, jika dikaji banyak model pengembalian keyakinan yang telah berjaya. Syarikat Jepun sendiri pun pada mula-mula memasuki pasaran global banyak dikritik pengguna tetapi mereka bangkit dan berdiri megah seperti yang kita lihat hari ini. Syarikat automotif Korea pun begitu bahkan formula sukses yang mereka gunakan hampir sama. Sekarang ini boleh dikatakan syarikat automotif Korea melancarkan gelombang kedua iaitu fasa meneruskan kejayaan. Pada gelombang pertama dahulu mereka melancarkan produk-produk yang segar dan konsep itu terus disinambungkan melalui generasi baharu. Hyundai i10 adalah salah satu generasi produk moden yang telah memasuki kitaran kedua dengan pelancaran model pengganti. Dilancarkan selepas lima tahun model lama berada di dalam pasaran, model itu dianggap sebagai ikon kemajuan Hyundai di dalam segmen kereta bandar dan memiliki peralatan dan ciri-ciri kereta segmen lebih tinggi.

Hyundai i10 2013.08

Model baharu itu mempunyai ukuran yang lebih luas dengan saiz ruang kaki pemandu dan penumpang berjumlah 1,890mm. Kapasiti bonet juga dapat ditingkatkan lebih dari 10% kepada 252 liter. Rahsia saiz yang lebih besar itu sebenarnya berpunca daripada penggunaan platform baharu yang mempunyai jarak roda 5mm lebih panjang. Suspensi belakang juga telah diubah kedudukannya untuk kawalan kereta yang lebih tepat untuk kesemua jenis permukaan jalan. Hyundai i10 baharu juga turut ditala untuk mempunyai dinamik pemanduan yang lebih baik dengan bunyi yang lebih rendah supaya standardnya sama dengan kereta segmen B.

Hyundai i10 2013.01

Berbeza dengan Kia yang terkenal dengan Peter Schreyer, Hyundai lebih merendah diri dengan perekanya. Pasukan pereka Hyundai Eropah yang diketuai oleh Ketua Pereka Thomas Bürkle telah berjaya menghasilkan bentuk yang dinamik menggunakan tema fluidic sculpture yang merupakan falsafah rekaan Hyundai bagi menyerlahkan ciri-ciri olahragawan (athletic) dan saiz luaran yang luas. Kia dan Hyundai sebenarnya mempunyai populariti silang iaitu Kia terkenal dengan perekanya tetapi tidak untuk falsafah rekaannya manakala Hyundai lebih terkenal dengan falsafah rekaan berbanding perekanya.

Untuk nadi kuasa pula, i10 bakal ditawarkan dengan dua opsyen enjin petrol bersesaran 1.0 liter dan 1.2 liter. Enjin 1.0 liter berkuasa 66ps dengan tork 94Nm manakala enjin 1.2 liter pula berkuasa 87ps dengan tork 120Nm. Dari segi chasis pula, sebanyak 29.2 peratus struktur menggunakan besi tegangan tinggi (HT steel) berbanding 9 peratus pada i10 generasi lama. Perubahan itu bukan sahaja mempengaruhi tahap keselematan kereta tetapi turut menambah baik bunyi, gegaran dan kekasaran (NVH). Peralatan dalaman i10 tidak kurang hebatnya apabila dilengkapi dengan kawalan suhu automatik, stereng kulit dengan pemanasan, kawalan krus (cruise control), Sistem Pengawasan Tekanan Tayar (TPMS), Kawalan Pengstabilan Elektronik (ESC) dan enam beg udara.

Hyundai i10 2013.05

Untuk pasaran Eropah, i10 baharu akan diproduksi di kilang Hyundai yang terletak Izmit di Empayar Uthmaniyah atau Turki. Untuk pasaran tempatan pula, mungkin model baharu itu akan mula dikilangkan pada tahun hadapan dan dengan rekabentuk yang meyakinkan rasanya tiada masalah untuk model itu dijual. Cuma produk penerus kecemerlangan itu perlu dikekalkan tahap harganya seperti sekarang atau lebih baik jika mampu untuk diturunkan lagi supaya boleh benar-benar bersaing dengan jenama tempatan.

Newspress

@muhd_gt

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.