HONDA MENGEKALKAN KEDUDUKAN NO. 1 DALAM SEGMEN KENDERAAN BUKAN NASIONAL PADA SUKU PERTAMA 2015

Honda Jazz My 2014.02

Honda Malaysia Sdn. Bhd. (Honda Malaysia atau Syarikat) pada 1 April lalu berkongsi prestasi terkini untuk suku pertama 2015 serta mengumumkan perubahan harga kenderaannya sempena pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Syarikat ini turut mengumumkan strategi bagi tahun 2015 untuk mengukuhkan lagi perniagaannya di Malaysia.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Encik Yoichiro Ueno berkata, “Untuk tahun 2015, TIV dijangka mencecah 697,000 unit dengan pertumbuhan sebanyak 4.6%. Sasaran jualan pada tahun ini ialah 85,000 unit dan kami melangkah ke tahun 2015 dengan pencapaian yang memberangsangkan. Kami telah berjaya menjual *21,563 unit dalam suku pertama 2015 (pertumbuhan sebanyak 37% berbanding tempoh sama tahun lalu) dengan bulan Mac mencatatkan jualan paling tinggi dalam sejarah dengan *9,000 unit. Dengan angka jualan yang kukuh ini, kami mampu mengekalkan kedudukan No. 1 untuk menerajui Segmen Kenderaan Bukan Nasional.”

Setakat ini, Honda Malaysia telah melancarkan dua model baharu pada tahun ini iaitu CR-V baharu dan HR-V serba baharu. HR-V serba baharu yang amat ditunggu-tunggu itu telah mencatat tempahan lebih 10,000 unit sejak ia dilancarkan dan menyebabkan tempoh menunggu menjadi semakin lama. Syarikat akan memaksimumkan pengeluaran HR-V dalam usaha memendekkan tempoh menunggu. CR-V baharu dan HR-V serba baharu kini menerajui segmen SUV diikuti model City, Jazz, Civic dan Accord yang menjadi peneraju dalam segmen masing-masing untuk bulan Januari serta Februari 2015.

Selain menyediakan produk – produk berkualiti, Honda turut berkongsi matlamat untuk tahun 2015 iaitu mahu menawarkan “Kecemerlangan Sepenuhnya” ke atas produk – produk dan perkhidmatannya dengan pelan utamanya untuk mengembangkan rangkaian pengedar serta meningkatkan kualiti servis dan menawarkan lebih banyak aktiviti yang inovatif dalam usaha mencapai aspek kepuasan pelanggan.

Kini, Honda mempunyai 75 cawangan 3S, 4 bilik pameran 1S dan 12 pusat BP dalam rangkaian pengedarnya. Bagi memenuhi keperluan pelanggan yang kian meningkat, Honda akan menambah 11 cawangan 3S dan 5 pusat BP, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pengedar kepada 90 dan 17 pusat BP menjelang akhir tahun ini. Selain itu, Bilik Pameran Konsep Baru akan dibuka di Bangsar, Bukit Bintang, Ampang dan Pulau Pinang. Identiti Korporat (CI) baru yang diperkenalkan pada tahun lalu akan diimplementasikan ke atas para pengedar sedia ada demi menawarkan keselesaan serta kemudahan terbaik kepada para pelanggan. Dalam usaha memberikan perkhidmatan yang sama kepada semua pelanggan di Malaysia, terutama di kawasan luar bandar dan Malaysia Timur, Honda turut mengumumkan bahawa pusat 3S baharu akan dibuka di kawsan seperti Pontian dan Teluk Intan. Honda juga akan membuka pusat servis satelit di kawasan tersebut.

Honda juga berkongsi perancangan mereka untuk Malaysia Timur yang akan menjadi salah satu fokus mereka pada tahun 2015. Honda mendapati perkongsian pasarannya di bandar-bandar utama dan metropolitan adalah tinggi, tetapi secara relatifnya agak rendah di kawasan luar bandar dan Malaysia Timur. Tambah Encik Ueno lagi, “Pertumbuhan ekonomi di Malaysia Timur baru-baru ini cukup signifikan dan kami percaya bahawa wujud potensi yang besar untuk Honda mengembangkan perniagaan di sana sekarang.” Untuk menyokong serta mengukuhkan operasi di Malaysia Timur, Honda akan memperkemaskan operasinya dengan membuka sebuah pejabat serantau, kemudahan latihan, pusat pengedaran dan gudang alat ganti.

Selari dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak 6% yang akan menggantikan 10% Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berkuat kuasa pada 1 April 2015, Encik Ueno berkongsi mengenai implikasinya terhadap perniagaan Honda. “Dalam industri automotif, perbezaan harga kereta tidaklah semudah seperti 10% tolak 6% kerana ia melibatkan banyak faktor. Perbezaan utama dalam pengiraan cukai adalah kelainan pada asas yang boleh dikenakan cukai pada SST dan GST. Sebagai contoh, SST berasaskan kepada nilai pengedaran sesebuah kenderaan dan ia kemudian dikenakan cukai sebanyak 10% tidak termasuk margin pengedar, kos pengangkutan, yuran pengendalian, aksesori serta kos-kos pengedaran yang lain sementara pengenaan cukai GST pula berdasarkan kepada harga jualan akhir kereta di atas jalan.”

Honda Malaysia mengumumkan bahawa model-model Pemasangan Tempatan (CKD) Honda seperti Jazz, City, Civic, CR-V, Accord dan HR-V akan mengalami penurunan harga sebanyak **RM500 sehingga RM2500. Pengurangan harga ini berdasarkan kepada ciri-ciri dan aksesori yang menyebabkan harga untuk setiap model dan varian tersebut berbeza. Secara keseluruhannya, penjimatan daripada pelaksanaan GST akan diberikan kepada para pelanggan Honda yang menyebabkan penurunan harga model-model CKD keluarannya.

Namun begitu, berdasarkan kepada pengiraan GST import, harga Odyssey yang merupakan model Import Sepenuhnya (CBU) akan mengalami sedikit kenaikan di antara harga **RM500-RM1000.

Tambah Encik Ueno lagi, “Harga alat ganti juga akan dikurangkan dengan purata sebanyak **3.7% untuk semua model. GST bagaimanapun akan ditambah ke dalam kos buruh. Tetapi, memandangkan harga alat ganti telah dikurangkan, kami menganggarkan kos keseluruhan penyelenggaraan akan turun sebanyak **2% – 4% bergantung kepada model.

Honda Malaysia percaya bahawa ia dapat mengekalkan momentum positifnya sejak tahun lalu. Dengan keadaan ekonomi Malaysia yang kukuh dan harapan pasaran akan stabil selepas pengenalan GST, Honda yakin bahawa pihaknya mampu mencapai sasaran jualan untuk tahun 2015 dan mencipta impak terhadap pertumbuhan Honda di Malaysia pada masa akan datang.

*Jangkaan jualan Mac 2015 / Termasuk jangkaan jualan Mac 2015
**Berkuat kuasa 1 April 2015
Harga boleh berubah tanpa notis pemberitahuan terlebih dahulu

Muhammad

Kata Anda//