Honda Malaysia Melancarkan Odyssey 2014: Dua Minggu Selepas Pelancaran di Jepun!

KLIMS 2013.04

Dua minggu selepas dilancarkan di Jepun, Odyssey Generasi ke-5 kini dilancarkan di Malaysia pada Khamis minggu lalu!

Kenderaan pelbagai guna (MPV) premium ini memenuhi permintaan pasaran Malaysia dengan reka bentuk tersendiri dan menonjol, berkuasa, ruang yang luas dan selesa, kecekapan bahan api dengan ciri-ciri keselamatan canggih. Odyssey pertama kali diperkenalkan kepada dunia pada 1994 dan Malaysia pada 2002.

Bercakap pada majlis pelancarannya, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, En.Yoichiro Ueno, berkata, “Mengotakan janji untuk membawa keseronokan kepada pelanggan kami, Odyssey Baharu ini akan memberikan pakej lengkap bagi pasaran MPV kelas tinggi. Dibina daripada konsep reka asal, Odyssey Baharu menawarkan kualiti premium terkini, menggabungkan ruang lebih luas dan keselesaan bagi penumpang di ketiga-tiga barisan tempat duduk dengan kelancaran perjalanan yang tiada tandingan.’’

Honda Odyssey 2013.04

Odyssey Baharu dikuasakan oleh enjin yang baru dibangunkan dengan Teknologi Earth Dreams 2.4L DOHC i-VTEC (175PS dan 225Nm) dan transmisi CVT. Enjin ini menawarkan output, kuasa kilas dan kecekapan bahan api yang lebih baik berbanding enjin model sebelum ini. Dalam mendapatkan penggunaan bahan api yang ekonomikal, mod ECON dan fungsi bantuan (Assist function) turut dilengkapkan di mana Mod ECON memastikan pemanduan cekap bahan api sementara fungsi bantuan menukar warna meter daripada putih kepada hijau bagi memberi petunjuk pemanduan ekonomi.

Odyssey Baharu menggunakan “Platform Lantai Ultra-Rendah” yang baru dibangunkan menjadikan kabin luas seperti MPV bersaiz besar. Bumbungnya lebih tinggi dan lantai lebih rendah menjadikan ruang dalaman lebih luas hasil daripada platform baharu itu. Dengan pusat graviti rendah dan sistem gantungan dipertingkatkan, platform baharu menjadikan pengendalian lebih stabil dan menyeronokkan serta pemanduan yang lancar. Penumpang akan teruja dengan reka bentuk ruang dalaman yang bergaya apabila melangkah masuk menerusi pintu gelonsor berkuasa.

SONY DSC

Ciri Masuk Pintar (Smart Entry) dengan Butang Penghidup Enjin (Push/Start Button) membolehkan pemandu dan penumpang memasuki Odyssey (EXV) dengan mudah dan menghidupkan enjin hanya melalui satu tekan pada butang. Memandu dan mengendalikan Odyssey Baharu juga mudah melalui radius pusingan 5.4m. Tiang badan Odyssey telah diubah dan memberikan MPV premium ini gambaran lebih langsing, memaksimumkan permukaan cermin dan meningkatkan tahap visual.

Menawarkan tempat duduk Premium Captain Cradle Seats with Ottoman yang pertama bagi Honda dan kerusi boleh ubah kepada 3 versi juga yang pertama bagi Honda untuk kerusi barisan kedua, penumpang Odyssey Baharu boleh menikmati keselesaan moden seolah-olah suite hotel mewah. Terdapat juga ruang kaki lebih luas untuk penumpang barisan kedua hasil daripada penggunaan lantai rendah. Menambah keselesaan dan kemewahan untuk kedua-dua pemandu dan penumpang, kerusi Odyssey (EXV) serba baharu dilengkapi dengan balutan kulit. Kesemua kerusi dalam Odyssey Baharu direka bentuk dengan keselesaan penuh untuk semua 7 penumpang bagi menikmati ruang dalaman MPV premium ini yang luas.

Honda Odyssey 2013.01

Ruang barangan di belakang adalah satu lagi ciri yang menonjol pada Odyssey Baharu. Ruang yang dipertingkatkan itu membolehkan penyimpanan beg-beg tanpa menjejaskan keselesaan kesemua 7 penumpang. Keluar masuk dari Odyssey Baharu juga mudah kerana lantainya dan tempat berpijak pada pintu belakang yang rendah. Lantai yang rendah turut memudahkan untuk mengisi dan mengambil barangan dari belakang.

Menyokong pemanduan selesa dengan panel operasi intuitif dan paparan pemuka terbaru, Odyssey Baharu didatangkan dengan paparan audio jenis sentuhan yang boleh disambungkan kepada telefon pintar. Para pengguna boleh menggunakan telefon pintar menerusi paparan audio, atau menghantar gambar atau data muzik dari telefon pintar ke paparan audio, dan memainkan muzik kesukaan mereka menerusi pembesar suara Odyssey.

Honda Odyssey HMSB 2013.05

Odyssey Baharu didatangkan dengan ciri-ciri keselamatan canggih yang menawarkan ketenangan minda kepada pemandu dan penumpang. Struktur badan Advanced Compatibility Engineering (ACE) memberi perlindungan kepada pemandu dan penumpang yang turut mengurangkan kerosakan kepada pemandu lain. Odyssey Serba Baharu dilengkapi dengan 6 Beg Udara yang terdiri daripada Beg Udara i-SRS Dwi Hadapan dan Beg Udara i-SRS Sisi dipasang pada kerusi barisan pertama dan Beg Udara Tirai Sisi (SCAB) dipasang di barisan pertama hingga ke barisan ketiga. MPV mewah ini mengutamakan keselamatan untuk semua dengan Kawalan Kuasa-G (G-CON).

Odyssey Baharu (EXV) juga menawarkan satu lagi teknologi yang pertama untuk Honda dari segi keselamatan pemanduan iaitu – Informasi Sudut Buta (Blind Spot Information) berserta Pemantau Trafik Bersilang (Cross Traffic Monitor atau CTA). Informasi Sudut Buta memberi amaran kepada pemandu dengan bunyi beep apabila terdapat kenderaan dari sudut tidak nampak semasa menukar lorong. CTA pula memberi amaran bunyi apabila mengesan kemungkinan pelanggaran dengan kenderaan yang datang dari arah bersilang ketika mengundurkan MPV.

Honda Odyssey HMSB 2013.07

Varian EXV juga didatangkan dengan sistem kamera pelbagai sudut yang memaparkan pelbagai sudut luas bagi memberikan bantuan di jalan sempit dan simpang dengan pandangan terhad untuk memberi lebih visual mengenai kawasan sekitar. Operasi parkir Odyssey EXV juga mudah dengan Sistem Bantuan Parkir Pintar (Smart Parking Assist System) yang secara automatik mengesan had garisan kotak parkir dan membantu Odyssey Serba Baharu ke dalam kotak parkir.

Odyssey Baharu ditawarkan dalam dua varian, gred tinggi EXV dan gred standard EX. Odyssey Serba Baharu ditawarkan dalam 4 warna White Orchid Pearl, Super Platinum Metallic, Crystal Black Pearl dan Glamorous Mauve Pearl.

Honda Odyssey 2013.06

Disokong oleh rangkaian 70 pengedar Honda di seluruh negara, Odyssey Baharu didatangkan dengan waranti 5 tahun tanpa had perbatuan dan rutin servis setiap 10,000 km bagi memberikan pengalaman pemilikan terbaik. Sebagai tambahan, pemilik Odyssey Serba Baharu layak untuk menikmati 6 servis upah percuma yang diselang seli dengan servis berbayar.

Odyssey Baharu memberikan pakej penuh kualiti premium untuk menawarkan pilihan tiada tandingan bagi rakyat Malaysia yang mahukan keselamatan, kemewahan dan ruang luas dalam sesebuah MPV. Honda Odyssey EX dijual pada harga RM228,000.00 manakala Odyssey EXV berharga RM248,000.00.

Muhammad

Kata Anda//