Honda Gold Wing, CB500F, CB500X, CBR500R – 2013!

Dua tahun kebelakangan ini industri motosikal berkuasa tinggi tempatan semakin meriah. Ledakannya bermula dengan penjualan Kawasaki ER-6 dan Ninja 250 yang masing-masing ditawarkan pada harga kompetitif, iaitu sekitar RM30 ribu dan RM18 ribu. Susulan itu, beberapa model motosikal yang sebelum ini tidak terjangkau oleh kebanyakan rakyat dipasarkan dengan stratergi harga yang lebih masuk akal. Harga-harga tersebut boleh ditawarkan kerana ianya dipasang di negara Asean dengan duti cukai yang lebih rendah. Selain daripada itu, kemudahan pinjaman peribadi juga adalah salah satu faktor yang diperhatikan sebagai punca ledakan motosikal berkuasa tinggi. Walau bagaimanapun, fenomena ini bukanlah suatu yang baharu kerana musim motosikal berkuasa tinggi pernah melanda negara sekitar tahun 90 an. Pada waktu itu, Kawasaki juga yang bertanggung jawab, diyakini masih ramai yang mengingati model seperti ZZR, Vulcan dan Ninja. Jenama lain tidak kurang hebatnya seperti Yamaha Virago dan Honda Shadow. Kemudiannya pengeluar motosikal nasional iaitu Modenas juga ingin tumpang sekaki dengan memperkenalkan model Jaguh bersesaran 175 cc.

Pada tahun 2013, dijangka pasaran motosikal berkuasa tinggi akan lebih meriah. Jika 2012 boleh dianggap sebagai tahun Kawasaki maka pada tahun ini, pengeluar jenama lain akan memberi saingan yang lebih sengit. Honda misalnya telah mengumumkan sejumlah model baharu antaranya Gold Wing F6B, CB500F, CB500X dan CBR500R. Model-model tersebut telah dirangka untuk merebut bahagian pasaran peminat motosikal berkuasa tinggi.

Honda Gold Wing F6B

Siapa yang tidak kenal dengan Honda Gold Wing? Motosikal ini antara puncak tertinggi (selain Harley Davidson) di dalam segmen motosikal cruiser atau easy rider. Tidak sempurna jika Gold Wing hanya dikategorikan sebagai berkuasa tinggi malah perlu ditambah label mewah dihujungnya. Sama ada untuk menjelajah antara negeri atau merentasi dunia motosikal ini mempunyai pelbagai ciri-ciri sokongan yang diperlukan. Enjin yang menguasakannya bersesaran 1832 cc enam silinder yang didatangkan dengan teknologi suntikan bahan api. Enjin tersebut adalah satu keunikan Honda di mana bentangan silindernya melintang dan berdepan seterusnya menjadikan titik gravitinya rendah. Rekabentuk tersebut dengan rangka aluminium dan sistem suspensi yang sofistikated membolehkan Gold Wing F6B senang untuk ditunggang. Bahagian motosikal yang diwarnakan hitam dengan garisan yang panjang dan rendah pula memberi imej agresif. Beg tepi yang besar, pelana gayaan penembak dan sistem audio premium pula memberi nilai tambah kepada motosikal itu. Honda Gold Wing F68 didatangkan dengan dua varian iaitu standard dan deluxe dengan dua warna iaitu merah atau hitam. Pembeli juga boleh memilih pelbagai lagi aksesori yang ditawarkan Honda. Harganya bermula dari USD19,999 untuk model standard dan USD20,999 untuk model deluxe.

Honda CBR500R

Jika diikutkan, permintaan motosikal mewah seperti Gold Wing tidaklah setinggi mana di tempat kita. Pasaran besar berada di dalam kategori motosikal sport seperti Honda CBR500R. Dengan pengenalan model itu, dakwa Honda, mereka telah mendefinisikan semula motosikal kelas pertengahan dan menambah keterujaan penunggang yang mencari motosikal yang menyeronokkan dengan nilai tinggi. Motosikal ini katanya dibangunkan untuk mereka yang mahu menaik taraf daripada model asas seperti CBR250R dan juga penunggang yang lebih berpengalaman untuk merasai kelincahan dan berat yang ringan yang terdapat pada CBR500R. Motosikal itu dikuasakan oleh enjin suntikan bahan api 500cc parallel-twin DOHC. Fairing CBR500R diinspirasikan daripada dua model Honda iaitu CBR600RR dan CBR1000RR. Badan yang aerodinamik pada motosikal itu memboleh aliran udara diuruskan dengan berkesan untuk tunggangan yang lebih selesa selain daripada pekali seretan yang rendah dan penyejukan enjin yang efektif. Chasis dengan suspensi belakang tunggal Pro-Link(R), fork 41mm, rim 17 inci, cakera roda brek depan berukuran 320mm dan cakera roda brek belakang berukuran 240mm pula menyempurnakan pakej yang ditawarkan Honda. Honda CBR500R standard ditawarkan pada harga USD5,999 manakala model ABS pula pada harga USD6,499.

Honda CB500F

Model motosikal naked CB500F jika kena pada harga mampu memberi saingan utama pada Kawasaki ER6N. Ianya bukan sahaja membawa imej bergaya malah prestasi dan juga versaliti sama ada untuk kegunaan harian atau pun bersiar-siar. Profailnya yang langsing dan posisi duduk yang neutral membolehkan penunggang berasa selesa sementara suspensi Pro-Link Honda dan fork bersaiz 41mm menyumbang kepada tunggangan selesa dan pengendalian yang lincah. Opsyen warna untuk model standard ialah Hitam atau Putih Mutiara manakala warna tunggal untuk model ABS ialah Hitam. Model standard ditawarkan pada harga USD5,499 manakala model ABS pada harga USD5,999.

Honda CB500X

Model ini pula dilihat mampu memberi saingan kepada Kawasaki Versys. Dakwa Honda, model ini bukan sahaja sekadar tunggangan yang bagus malah mempunyai pelbagai ciri-ciri versaliti. Ketinggian cermin depan boleh dilaras manakala tangki minyak dengan kapasiti besar pula direka untuk posisi tunggangan tanpa rintangan. Handle yang lebar pula membantu penunggang untuk input yang lebih mudah. Pembeli turut ditawarkan pelbagai aksesori tulen Honda untuk sentuhan peribadi pada motosikal. CB500X bukan sahaja sesuai untuk mengembara malah juga untuk tunggangan harian. Warna yang ditawarkan ialah Hitam Metalik Matte untuk model standard dan ABS. Harganya pula masih belum ditentukan dan akan diumumkan kelak.

Honda News

@muhd_gt

ps: USD1.00 = RM3.04

Muhammad

2 Comments

  1. Gua terkenang masa on the way dari Chicago ke Mackinaw Michigan melalui tasik Huron sekumpulan Honda Gold Wing menderum pantas atas jalan raya dengan pelbagai aksesori.. masa tu la gua start minat motor2 gedabak ni.. sound system dia tak usah cakap laa boleh lawan sama bunyi ejoz motor tu.. mmg cowboy lah masa diroang susur ikut lake dgn matahari terbenam.. gua pulak isap marlboro .. sib baik tak tunggang kuda..hehehe

  2. fenomena terbaru yg lama telah diperkatakan oleh editor MK..
    wa cukup minat dengan ER6 tu.. org ckp moto mcm alien…

Kata Anda//