Honda Civic Type R Kini Di Pasaran – RM320K, 60 Unit Sudah Ditempah!

Penantian akhirnya berakhir buat mereka yang mahu memiliki kereta hebat ini. Honda Malaysia secara rasmi melancarkan All-New Civic Type R, model Honda yang paling berkuasa pernah diperkenalkan di Malaysia.

Model ini telah berjaya menarik perhatian ramai setelah berjaya dinobatkan sebagai kereta pacuan roda depan (FF) terpantas di Litar Nurburgring di Jerman iaitu 7 minit 43.80 saat pada April 2017.

Pada majlis pelancaran yang diadakan di Malaysia Autoshow 2017, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Encik Toichi Ishiyama berkata, “Di Honda, kami komited untuk menawarkan produk yang bernilai tinggi dan juga maju dalam teknologi untuk memberikan kegembiraan kepada pelanggan kami. Tetapi kami juga bangga memastikan kami mengekalkan nilai asas teras dalam semua produk kami yang merangkumi unsur-unsur ‘Fun to Drive.’

“Civic Type R adalah model global yang bukan hanya membawa teknologi kereta yang paling canggih, tetapi juga membawa DNA Honda Racing Spirit & ‘Fun to Drive’. Inilah yang menjadikan Honda unik – kami berusaha memastikan semua model kami memberikan keseronokan pemanduan kepada para pelanggan kami, “tambah Encik Ishiyama.

Type R ialah model ikonik perlumbaan dan prestasi Honda dengan reputasi sejak 25 tahun lalu. Ciri-ciri pembangunannya ialah prestasi dinamik dan mekanikal ringkas untuk mencapai prestasi terbaik di jalan raya dan trek perlumbaan.

Civic Type R akan dikuasakan oleh enjin 2.0L VTEC Turbo yang menawarkan output tinggi 310PS dan torsi maksima 400NM. Enjin prestasi tinggi ini dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan.

Tiga mod pemanduan yang ditawarkan pada Civic Type R membolehkan pemandu merasai prestasi dinamik yang berbeza dalam pelbagai persekitaran memandu.

Mod COMFORT, SPORT dan + R memberikan prestasi seperti perlumbaan dan keselesaan kereta pemanduan harian. Mod pemanduan ini mengawal Adaptive Damper System (ADS), Drive-by-Wire throttle (DBW), Electronic Power Steering (EPS), Vehicle Stability Assist (VSA), sistem cengkaman dan brek.

Civic Type R telah dibangunkan dari platform Honda Civic Hatchback dengan ketegaran rangka badan yang tinggi.

Pada bahagian dalaman, model ini dilengkapi stereng balutan kulit bentuk D (flat bottom) dan kemasan Titanium Silver,  kerusi sport ringan dengan jaluran hitam merah, dan panel papan pemuka gentian karbon.

Setiap Civic Type R didatangkan dengan plat nombor bersiri yang diletakkan di konsol tengah sebagai salah satu lambang eksklusf model ini.

Untuk paparan meter pula terdapat beberapa pencahayaan  dan bacaan seperti respon pedal dan input brek, Turbo Boost Meter, REV Indicator, G-Meter Display dan masa pusingan (lap time) bergantung pada mod pemanduan yang telah dipilih melalui suis pada konsol.

Dari segi keselamatan, Civic Type R dilengkapi Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Sistem Pengunci Anti-Kunci (ABS), Kawalan Cengkaman, Electronic Brake Distribution (EBD) dan Garis Panduan Dinamik. Model ini juga dilengkapi dengan ISO Fix dan sejumlah enam beg udara.

Civic Type R diimport dari kilang Honda di Swindon, United Kingdom sementara enjinnya dihasilkan di Anna, Ohio (Honda of America Manufacturing Inc).

Waranti untuk Civic Type R adalah 5 tahun dengan jarak perbatuan tanpa had dengan selang servis setiap  10,000 km di mana-mana 20 Pengedar Sport Honda di seluruh negara.

Honda Civic Type R ditawarkan dalam warna Championship White pada harga RM320,000 (tidak termasuk insurans). Dalam tempoh sebulan lalu, Honda Malaysia telah menerima 60 tempahan dan menariknya melepasi sasaran awal 30 unit sebulan.

Mereka yang berminat boleh berkunjung ke mana-mana 20 Pengedar Sport Honda untuk melihat dan membuat tempahan Civic Type R ini.

Orang ramai juga boleh melihat Civic Type R di Malaysia Autoshow 2017 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) yang sedang berlangsung sehingga Ahad ini.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.