BMW Group Malaysia jadi Rakan Automotif Rasmi Le Tour de Langkawi Malaysia 2017

BMW Group Malaysia dan Le Tour de Langkawi (LTdL) mengumumkan bahawa pengeluar kenderaan premium itu dilantik sebagai Rakan Automotif Rasmi perlumbaan Le Tour de Langkawi Malaysia bagi tahun 2017.

Berucap pada majlis pengumuman tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif LTdL, Emir Abdul Jalal berkata, “Pertandingan Le Tour de Langkawi berada di kedudukan paling tinggi dalam kalendar perlumbaan Jelajah Asia (Asia Tour) dengan status UCI 2.HC. Ia sama seperti pertandingan yang diadakan di China dan Jepun seperti Tour of Qinghai Lake, Tour of Hainan dan Japan Cup. Acara kami kekal menjadi perlumbaan berbasikal berperingkat utama di Asia.

Menurut Emir lagi, penganjur berbesar hati kerana BMW Group Malaysia menjadi Rakan Automotif Rasmi untuk edisi tahun 2017 dan berharap kerjasama baharu ini akan melonjakkan lagi prestij pertandingan tersebut.

Senada dengan Emir, Ketua Komunikasi Korporat BMW Group Malaysia, Sashi Ambi berkata, “Le Tour de Langkawi 2017 merupakan penyertaan pertama kami dalam acara pertandingan berbasikal paling berprestij di rantau ini. Kami di BMW Group Malaysia amat teruja dengan peluang ini. Kami juga berbesar hati untuk menjadi Penaja Jersi Putih kerana ia adalah anugerah buat Pelumba Terbaik Asia yang mengiktiraf bakat tempatan atau serantau dalam sukan ini.”

Jelas Ambi lagi, BMW Group Malaysia memandang kepada proses asas seperti mengenal pasti, membangun dan menyokong bakat yang sedang meningkat naik dan ingin turut menjadi sebahagian daripada kisah kejayaan bakat-bakat tempatan serta berkongsi kemenangan mereka dengan seluruh rakyat Malaysia. Pada masa yang sama sebagai usaha memberi inspirasi serta mencipta lebih ramai bakat merupakan satu hala  tuju yang ingin dilakukan oleh pengeluar kenderaan premium tersebut.

Muhamad Adiq Hussainie Othman – pelumba Malaysia pertama memenangi Kategori Pelumba Terbaik Asia sejak 1998

Contoh anak tempatan yang menyinar ialah penunggang kelahiran Terengganu, Muhamad Adiq Hussainie Othman yang akan kembali beraksi dalam Le Tour de Langkawi bermula 22 Februari hingga 1 Mac tahun ini.

Pada usia baru mencecah 26 tahun, ini merupakan penyertaan kali ke lapan berturut-turut Adiq bersaing dalam perlumbaan LTdL. Kali ini, beliau tampil untuk mempertahankan kejuaraan dalam Kategori Pelumba Terbaik Asia (Jersi Putih) yang dimenangu tahun lalu.

Adiq merupakan pelumba Malaysia pertama yang pernah menerima anugerah itu sejak ia dimulakan dalam edisi ketiga LTdL pada tahun 1998.

“Kesungguhan Adiq untuk mempertahankan jersi putih dan disokong oleh pasukannya, TSG menjadi salah satu tarikan utama pertandingan tahun lalu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif LTdL,  Emir Abdul Jalal. “Ramai rakyat Malaysia yang tersentuh dan mendapat inspirasi daripada prestasinya. Dengan ini, kami berbesar hati untuk membuktikan bahawa rakyat Malaysia boleh berjaya apabila bersaing dengan pelumba terbaik dari benua lain.”

Dominasi pelumba Eropah

Menurut Emir, sukan berbasikal ialah bidang yang didominasi oleh pelumba Eropah. Dengan kebanyakan permohonan penyertaan datang dari Eropah, Amerika dan Oceania, mungkin ada yang beranggapan pasukan dari Asia akan ketinggalan, tetapi perkara itu tidak berlaku. Katanya, “Para pegawai Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) selalu menyatakan bahawa sukan berbasikal berkembang lebih pantas di Asia berbanding benua lain di dunia. Kami berbangga untuk menjadi sebahagian daripada pergerakan ini. Oleh kami memberi keutamaan kepada pasukan dari Asia apabila hendak membuat pemilihan.”

Peluang bersaing dengan pelumba handalan

Pada Le Tour de Langkawi 2017, para pelumba Asia berpeluang untuk mencabar pelumba-pelumba WorldTour dan Grand Tours yang berpengalaman dari ranking Pro Continental seperti China, Jepun, Korea, Filipina, Indonesia, Singapura, Thailand, Hong Kong, Kazakhstan dan semestinya Malaysia.

Buat pertama kalinya juga dalam pertandingan ini, Thailand telah menyenaraikan sebuah pasukan benua iaitu Thailand Continental Cycling Team yang dianggotai oleh pelumba popular LTdL Malaysia, Loh Sea Keong. Beliau telah menyertai pertandingan ini sebanyak sepuluh kali dan menjadi satu-satunya pelumba Malaysia yang pernah berlumba dengan pasukan WorldTour, Giant-Shimano pada tahun 2014.

Pasukan baharu yang wajar diberi perhatian dalam pertandingan kali ini termasuklah Keyi Look Cycling Team dari China, Infinite AIS dari Singapura, Sapura Cycling Team dari Malaysia dan KFC dari Indonesia.

BMW, MINI dan BMW Motorrad sebagai pengangkutan rasmi

Sebagai Rakan Automotif Rasmi, BMW Group Malaysia menyokong Le Tour de Langkawi Malaysia 2017 menerusi rangkaian kenderaan BMW, MINI dan BMW Motorrad yang akan digunakan oleh Marshall dan para pegawai, selain bertindak selaku pengangkutan khas untuk pasukan yang bertanding sepanjang perlumbaan ini.

Pada majlis itu, BMW Group Malaysia menyerahkan barisan kereta dan motosikal yang akan digunakan dalam pertandingan kepada LTdL. Pengeluar kenderaan premium itu diwakili oleh Ketua Komunikasi Korporat BMW Group Malaysia, Sashi Ambi; Ketua MINI, Kidd Yam dan Ketua BMW Motorrad, Owen Riley.

Perlumbaan melebihi 1,200km

Dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia serta diuruskan Ciclista Sports Sdn Bhd,  edisi ke-22 Le Tour de Langkawi (LTdL) yang bermula pada 22 Februari hingga  1 Mac 2017 dijangka melibatkan perjalanan sejauh lebih 1,200km dengan melalui 8 peringkat.

Perlumbaan UCI 2.HC (kategori hors) itu sekali lagi dilihat sebagai salah satu acara paling besar dalam kalendar Siri Jelajah Asia UCI.

PEMENANG PERTANDINGAN PELUMBA TERBAIK ASIA DALAM ACARA  LE TOUR DE LANGKAWI:

1998: Tonton Susanto (INA)

1999: Hideto Yukinari (JAP)

2000: Wang Kam Po (HKG)

2001: Wang Kam Po (HKG)

2002: Tonton Susanto (INA)

2003: Tomoya Kano (JAP)

2004: Ghader Mizbani (IRA)

2005: Koji Fukushima (JAP)

2006: Hossein Askari (IRA)

2007: Ghader Mizbani (IRA)

2008: Shinichi Fukushima (JAP)

2009: Tonton Susanto (INA)

2010: Gong Hyo Suk (KOR)

2011: Rahim Emami (IRA)

2012: Alexandr Dyachenko (KAZ)

2013: Wang Meiyin (CHN)

2014: Mirsamad Pourseyedigolakhour (IRA)

2015: Tomohiro Hayakawa (JAP)

2016: Adiq Hussainie Othman (MAS)

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.