Volkswagen Group Malaysia baru-baru ini menganjurkan majlis pelancaran media bagi Polo Sedan 2014, German Engineered Malaysian Assembled yang turut disaksikan oleh rakan usahasama mereka, DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) di Pusat Konvensyen Setia City.
Melambangkan komitmen berterusan Volkwagen di dalam usaha untuk menyemai inovasi dan teknologi Jerman di dalam pasaran tempatan, pelancaran Polo Sedan 2014 hari ini menandakan usaha gigih syarikat untuk menembusi segmen pasaran yang lebih luas dan memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan kereta berkejuruteraan Jerman yang mampu dimiliki. Ia turut mencerminkan langkah kukuh yang dilaksanakan oleh Volkswagen untuk memperkembangkan portfolio produknya.
Berucap di majlis pelancaran media tersebut, Pengarah Urusan Kumpulan Volkswagen Group Malaysia, Dr Zeno Kerschbaumer berkata, “Pengenalan Polo Sedan 2014 adalah amat penting bagi Volkswagen kerana ia merupakan model kereta kedua yang dipasang di dalam negara bersama rakan usahasama kami DRB-HICOM.”
“Walaupun dipasang di dalam negara, Polo Sedan ini memiliki 100% DNA Volkswagen yang mewarisi kehebatan kejuruteraan automotif Jerman. Kami yakin bahawa Polo Sedan 2014 yang memiliki ciri tercanggih di dalam kelasnya ini akan berupaya membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk menikmati kecanggihan teknologi Jerman yang tiada tandingannya pada harga yang mampu dimiliki. Sokongan padu daripada rakan usahasama yang kami hormati, DRB-HICOM melalui pengunaan kompleks produksi automotif mereka pastinya akan memperkukuhkan lagi pencapaian kami ini,” ulas Dr Kerschbaumer selanjutnya.
Pelancaran media pada hari ini merupakan kemuncak penting selepas langkah permulaan yang kami ambil pada bulan Disember 2010, di mana Volkswagen dan DRB-HICOM menandatangani perjanjian usahasama untuk melaksanakan pemasangan kenderaan Volkwagen di Malaysia. Pada bulan March 2012, Volkswagen AG bersama-sama dengan DRB-HICOM secara rasmi melancarkan Volkwagen Passat yang merupakan kereta pertama yang dipasang di dalam Negara, peristiwa bersejarah ini memeterai akur janji yang dibuat oleh Volkwagen untuk menawarkan lebih banyak pilihan untuk semua rakyat Malaysia.
Kecekapan Pengunaan Bahan Api dan Tork yang Terbaik-dalam-Kelas
Dilengkapi dengan enjin suntikan petrol 1.6-liter 105PS 16-Multi-Point Injection (MPI) dan transmisi automatik 6-kelajuan Tiptronic, Polo Sedan 2014 menawarkan tahap pengendalian yang paling cemerlang dan tork yang tertinggi di dalam kelasnya yang mampu menghamburkan kuasa output maksima 153Nm pada 3800 rpm. Disamping tahap pemanduan yang mantap, kadar kecekapan pengunaan bahan api bagi enjin ini adalah amat menakjubkan – kadar pengunaan bahan api secara gabungan sebanyak 6.5 liter bagi setiap 100km, yang membolehkan pemandu mencapai jarak perjalanan sejauh 15.4km bagi setiap liter bahan api.
Merupakan satu-satunya kereta di dalam segmennya yang menawarkan pelbagai pilihan hubung rangkaian kepada pelanggan, Polo Sedan 2014 dilengkapi dengan sistem Radio RCD320 baru yang disokong oleh pelbagai pilihan bahasa, USB (dengan sambungan iPod), slot kad SD, sambungan AUX-in dan Bluetooth. Yang membezakan kereta ini dari pesaingnya yang lain, ialah kereta ini turut dilengkapi dengan ciri-ciri istimewa yang termaju dan bertaraf tinggi seperti sistem penghawa dingin automatik “Climatronic”, saluran keluar penghawa dingin di bahagian belakang dan tempat letak tangan bahagian tengah hadapan kereta boleh laras yang baru.
Ciri-ciri keselamatan yang tercanggih di dalam kelasnya
Sepertimana semua kenderaan Volkswagen yang lain, tahap keselamatan yang tinggi merupakan satu kewajipan bagi Polo Sedan 2014. Ia dilengkapi dengan dua beg udara hadapan dengan tambahan dua beg udara sisi, pemasangan Intelligent Crash Response System (ICRS) dan tingkap “anti-pinch” di kesemua empat pintu, menjadikan kereta ini sebagai satu-satunya kereta di dalam kelasnya yang menampilkan tahap keselamatan yang paling canggih.
Polo Sedan 2014 didatangkan dengan tali pinggang keledar 3-point untuk penumpang bahagian belakang, penambat tempat duduk kanak-kanak (sistem ISOFIX), sistem penggera anti-kecurian dan sistem brek anti-kunci (ABS).
Pemanduan & Kawalan
Polo Sedan 2014 memiliki tahap prestasi membrek dan kawalan yang tinggi, lantas memberikan tahap pemanduan yang terbaik di dalam segmennya. Kereta ini kurang berayun dan mempunyai jarak membrek yang lebih pendek, menjadikan ia lebih stabil dan mudah dikawal serta mempertingkatkan tahap keselamatan dan keyakinan pemandu dan juga penumpang.
Bahagian Luaran
Polo Sedan 2014 memiliki reka bentuk yang menawan dan menampilkan jaluran lengkungan yang halus dan indah di seluruh badan kereta, mempamerkan DNA Volkswagen yang sejati. Kereta ini didatangkan dengan rim aloi Riverside 15 inci, kemasan krom pada jeriji depan, dan penampan angin bahagian hadapan dan belakang dan disekeliling lampu kabusnya dengan lampu halogen boleh laras..
Di dalam elemen penggayaan pula, sinaran lampu hadapan halogen kini dipertingkatkan dengan kemasan putih yang menyeluruh berbanding kemasan hitam di dalam kereta CBU.
Kedudukan logo telah diolah semula – kini terdapat nama Volkswagen yang jelas kelihatan pada bahagian kiri lampu, dan logo Polo pula telah dipindahkan pada bahagian berlawanan but kereta. Kereta ini juga dilengkapi dengan wiper tempoh berselang.
Polo Sedan 2014 boleh diperolehi di dalam 5 variasi warna yang berbeza; White, Flash Red, Pepper Grey, Reflex Silver dan Deep Black.
Bahagian Dalaman
Menampil pengalaman mewah jenama Volkswagen yang terkenal, Polo Sedan 2014 yang selesa ini didatangkan dengan pakej dalaman berwarna krom (warna krom disekeliling radio, suis lampu, panel dan saluran AC dan juga pada jaluran stereng). Satu-satunya kereta di dalam segmennya yang memiliki ciri eksklusif, kereta ini turut menawarkan stereng pelbagai fungsi yang dilengkapi dengan kawalan luncur, tingkap kuasa automatik pada kesemua empat pintu dan mempunyai tombol gear serta pemegang brek tangan bersalut kulit yang memberikan pengalaman pemanduan yang mengujakan dan menyeronokkan.
Polo Sedan 2014 memiliki tempat duduk belakang boleh lipat 60:40, tempat duduk pemandu dan penumpang dengan ketinggian boleh dilaras, upholsteri fabrik ‘Livon’ bagi tempat duduknya, paparan pelbagai fungsi, kunci pintu kuasa, stereng kuasa, radio RCD320 dengan empat pembesar suara serta stereng boleh laras teleskopik.
Pada bulan April 2012, Volkswagen Group Malaysia melancarkan Polo Sedan yang diimport sepenuhnya pada harga RM99,888. Polo Sedan 2014 yang dipasang di dalam Negara, berharga RM85,888 boleh didapati melalui semua pengedar Volkswagen bermula pada 1 November 2013