Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah melancarkan SUV Volkswagen Tiguan serba baharu. Dipasang di kilang DRB-HICOM di Pekan, Tiguan serba baharu ditawarkan pada harga yang sangat menarik iaitu RM148,990 untuk varian Comfortline dan RM168,990 bagi model Highline.
Selaku finalis anugerah World Car of the Year, Tiguan serba baharu sudah menerima banyak anugerah. Sejak diperkenalkan di peringkat global, ia telah menerima banyak pengiktirafan. Ini termasuklah memenangi Anugerah Reka Bentuk Jerman 2017 dan Anugerah Inovasi di bawah Anugerah Plus X yang cukup berprestij.
SUV dengan jualan lebih 2.8 juta unit
Tiguan merupakan SUV Volkswagen yang paling berjaya dengan lebih 2.8 juta unit telah dijual sehingga kini di seluruh dunia. Direka dengan sangat terperinci dari awal hingga ke milimeter terakhir untuk menawarkan ruang kabin yang luas dan fleksibel, Tiguan serba baharu sememangnya mampu menarik minat para pemandu serta keluarga mereka. SUV ini merupakan teman yang ideal untuk menjalankan urusan harian sama ada kerja atau peribadi.
Enjin 1.4L TSI dengan transmisi DSG jenis basah
Tiguan menggabungkan enjin enjin TSI pengecas turbo bersesaran 1.4L dengan kotak gear jenis basah direct shift (DSG) 6-kelajuan untuk memberikan kuasa impresif iaitu 150PS dan tork 250Nm di antara 1,500 hingga 3,500rpm.
Ia menawarkan pecutan mengagumkan, dari 0 hingga 100km/j dalam masa hanya 8.9 saat dengan catatan penggunaan bahan api sekitar 6.7l/100 km.* Tahap penggunaan bahan api yang luar biasa ini membolehkan Tiguan serba baharu menerima persijilan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).
Sistem infotainmen dan tema pemanduan
Sistem infotainmen pada Tiguan serba baharu memberikan ketersambungan yang luas dan navigasi mudah kepada pemandu. Sistem Active Info Display interaktif dan boleh diubah itu hadir bersama thin-film transistor (TFT) berwarna beresolusi tinggi bersaiz 12.3 inci bagi menggantikan panel instrumen tradisional.
Terdapat enam tema dan mode berbeza yang telah ditetapkan untuk memenuhi keperluan pemandu – Classic, Mode Eco, Driving Assistance Mode, Mode Penggunaan Bahan Api (Fuel Consumption Mode) dan Mode Navigasi.
Ciri-ciri lain yang ditawarkan termasuklah rangkaian pilihan ketersambungan menerusi satu paparan skrin sentuh berwarna bersaiz 8 inci. Unit utamanya turut menyokong kamera undur, menu kenderaan yang lengkap dan sistem infotainmen.
Ciri-ciri keselamatan
Tiguan serba baharu dilengkapi pelbagai ciri keselamatan seperti enam beg udara, Electronic Stability Control (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Brake Assist (BA), Multi-collision Brake, Intelligent Crash Response System (ICRS), Electronic Parking Brake (EPB) serta hill-hold control.
Memahami pentingnya keselamatan buat si kecil, Tiguan serba baharu hadir bersama ciri anti-pinch pada tingkap kuasa serta cagak ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak.
Ruang dalaman
Pelbagai ciri estetik dan fungsi diketengahkan ke dalam Tiguan serba baharu. Misalnya kemasukan tanpa kunci KESSY, stereng multi fungsi dibalut kulit, paddle shifter untuk penukaran arah yang lebih mudah, cermin pandang belakang anti-silau, kawalan jelajah dan Park Assist.
Tiguan serba baharu hadir bersama tempat duduk upholsteri kulit ‘Vienna’, perehat tangan yang boleh dilaras ketinggiannya serta corong pendingin hawa untuk penumpang belakang.
Tidak ketinggalan, tempat duduk kulit 12 talaan untuk pemandu serta sistem pendingin hawa “Climatronic” dengan kawalan suhu tiga zon untuk keselesaan semua penumpang. Penumpang belakang boleh menggunakan meja boleh lipat yang mampu diposisikan pada empat sudut berbeza.
Tiguan serba baharu juga dilengkapi lampu ambien yang menyala pada garis pintu dan kemasan sisi untuk ruang kabin yang lebih cerah.
Luaran
Dengan dimensi yang lebih panjang, lebar dan rendah berbanding model terdahulu, Tiguan serba baharu mempunyai reka bentuk yang dinamik serta perkadaran tersendiri.
Tiguan serba baharu dipasang dengan rim aloi “Kingston” bersaiz 18 inci, lampu utama LED adaptif dan lampu belakang LED. Ciri ini mampu meningkatkan lagi tahap pandangan pemandu dalam apa jua kondisi cuaca. Bagi memberi lebih kemudahan, Tiguan juga didatangkan dengan pintu but belakang elektrik.
Waranti pengeluar selama 5 tahun
Tiguan serba baharu didatangkan bersama jaminan pengilang dan bantuan di tepi jalan selama 5 tahun.
Warna
Lima warna ditawarkan – putih (Pure White), hitam (Deep Black), biru (Atlantic Blue), perak (Tungsten Silver) dan kelabu (Indium Grey).
Promosi App Connect pada harga RM699
Untuk tempoh terhad, ciri App Connect ditawarkan sebagai pilihan dan dipasang pada pada varian Tiguan Highline pada harga pengenalan RM699. App Connect terdiri daripada tiga teknologi yang membolehkan anda menggunakan aplikasi di dalam telefon bimbit pada sistem infotainmen. Ia disokong oleh Android Auto, Apple Carplay dan Mirrorlink. Harga asalnya ialah RM1,099.
Galeri gambar Volkswagen Tiguan 2017: