Ucapan Tun Dr. Mahathir Mohamad Semasa Perasmian Kilang Kereta Nasional dan Pelancaran Proton Saga – Tahun 1985!

Tun Dr. Mahathir 2014.01

Berikut adalah ucapan Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri Malaysia semasa melancarkan kilang Kereta Nasional dan Proton Saga pada 9 Julai 1985.

Terdapat beberapa poin menarik di dalam ucapan beliau di dalam memberi lebih kefahaman mengenai projek kereta nasional. Antara perkara menarik ialah kilang yang dirancang untuk mengeluarkan 120 ribu unit kereta setahun dan pada masa yang sama tidak ada sebuah syarikat di dalam negara yang menjual kereta melebihi 23 ribu unit setahun untuk satu jenis atau model.

Pada 29 tahun lepas di kala negara masih tercari-cari tapak kemajuan, perkara tersebut merupakan suatu visi yang sangat besar dan mustahil.  Selamat membaca!

_________________________________________

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh; Yang Berhormat-Yang Berhormat; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian;

Saya mengucapkan terima kasih kepada Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (Proton) kerana menjemput saya merasmikan Pembukaan Kilang Kereta Nasional dan seterusnya melancarkan Kereta Malaysia yang pertama – PROTON SAGA.

Saya mengucapkan tahniah kepada PROTON kerana telah berjaya membina kilang dan mengeluarkan PROTON SAGA dalam jangkamasa yang begitu singkat.

2. Saya berasa bangga di atas kejayaan yang dicapai oleh Projek Kereta Nasional ini yang mana telah mampu membuktikan kebolehan rakyat dan seterusnya negara kita dalam bidang pembuatan kereta. Usaha yang gigih, penuh dedikasi serta sanggup pula menghadapi cabaran pasti akan mencapai matlamat yang dikehendaki.

Tuan-tuan dan puan-puan,

3. Di sini ingin saya jelaskan hasrat serta strategi Kerajaan bagi perusahaan otomobil ini. Yang pertamanya, bukanlah niat Kerajaan untuk menghancurkan peniaga-peniaga kereta yang ada. Tidak ada faedah bagi negara jika sesuatu perniagaan yang besar seperti pemasaran kereta tiba-tiba dimusnahkan. Hasrat Kerajaan memasuki bidang pembuatan kereta ini ialah supaya perniagaan ini akan berkembang dengan lebih pesat dan dengan ini peniaga baru dan peniaga kecil akan mendapat peluang memasuki bidang ini, sementara yang sudah maju, terus maju.

4. Untuk menentukan perusahaan dan perniagaan kereta ini berkembang, maka perkara yang penting sekali ialah kereta buatan Malaysia ini diterima oleh pembeli dan laris pula dijual. Tidak ada gunanya bagi peniaga kereta yang berminat menjadi pengedar kereta nasional jika tidak ada pembeli. Oleh itu, keutamaan bukanlah untuk menentukan bahawa sesiapa juga yang berminat menjadi egen atau ‘distributor’ diberi peluang. Tetapi yang pertama dan utama ialah menentukan kereta buatan Malaysia diterima baik oleh pasaran di dalam negeri dan mungkin juga di luar negeri. Cuma apabila kereta ini diterima baik dan laris dijual, maka baharulah peluang menjadi ejen atau penjual mempunyai makna. Tidak ada gunanya sama-sekali bagi mereka yang bermodal kecil, menjadi penjual kereta yang sukar dijual. Sementara yang bermodal besar boleh menanggung kerugian, yang bermodal kecil akan terus luput dan tidak mungkin berniaga lagi walaupun di bidang lain.

5. Kilang ini dirancang untuk mengeluarkan sehingga 120,000 buah kereta setahun. Tidak ada syarikat di Malaysia yang menjual lebih daripada 23,000 buah kereta setahun untuk satu jenis atau model. Kerana ‘economies of scale’, jikalau kereta Malaysia tidak dapat dijual dengan banyaknya, kerugian yang besar akan melanda syarikat PROTON. Kita yakin, jika pengurusan penjualan dibuat dengan baik, maka kita dapat menjual semua kereta yang dirancang untuk dikeluarkan tiap-tiap tahun. Ini bermakna jumlah kereta yang akan dijual akan meningkat kepada satu angka lebih tinggi daripada yang dipasarkan sekarang. Ini juga bermakna bahawa mereka yang berminat menjadi wakil pengedar akan mendapat peluang dan peluang ini mereka akan dapat apabila penerimaan oleh pengguna sudah ditentukan. Jika pada ketika itu pengedar yang baru mengalami kerugian, tidak ada siapa yang boleh disalahkan, melainkan diri sendiri.

6. Dasar Ekonomi Baru tetap akan diamalkan oleh PROTON. Sekali lagi buat permulaan, semasa risiko adalah tinggi, Kerajaan akan menjadi pemegang amanah bagi bumiputera melalui HICOM. Saham Kerajaan adalah yang terbesar. Apabila sahaja perniagaan sudah maju, saham-saham Kerajaan akan diedarkan kepada bumiputera melalui saluran-saluran yang telah ditentukan. Bagi mereka yang berpendapat bahawa seratus-peratus saham hendaklah dikhaskan kepada bumiputera, saya ingin mengingatkan bahawa perniagaan bukan selalunya untung. Perniagaan juga kerap mengalami kerugian. Jika bumiputera memiliki seratus peratus syarikat PROTON atau EON, jika ia rugi, bumiputera akan rugi seratus peratus. Dalam perniagaan, orang yang bijak dan pintar biasanya berkongsi dengan orang lain, terutama apabila keuntungan belum tentu akan dapat diperolehi.

Tuan-tuan dan puan-puan,

7. Keputusan Kerajaan untuk melaksanakan program perindustrian berat di negara ini adalah bertujuan untuk memperluas dan mengukuhkan asas perindustrian negara dalam usaha untuk mencapai taraf sebagai sebuah negara perindustrian. Meskipun negara kita baru sahaja menceburi bidang perindustrian, ianya akan berjaya dengan sepenuhnya sekiranya kita sanggup bekerja keras, berdisiplin dan mengurus dengan cekap dan jujur.

8. Pada hari ini, negara kita melangkah setapak lagi ke hadapan ke arah pembangunan perindustrian. Kilang Kereta Nasional dan pengeluaran PROTON SAGA adalah bukti kesanggupan kita untuk mencapai objektif-objektif pembangunan perindustrian negara.

9. Kejayaan Projek Kereta Nasional membawa erti yang besar terhadap ekonomi negara kita. Ini akan membawa banyak kemajuan kepada industri kereta di Malaysia. Projek ini dengan keupayaan yang lebih besar akan dapat menikmati faedah ekonomi daripada pengeluaran yang lebih besar. Dengan alat kelengkapan yang moden serta tenaga pekerja yang terlatih di PROTON, mutu dan daya pengeluaran dapat dipertingkatkan. Di samping itu, ia juga akan dapat meninggikan lagi teknologi, pengetahuan dan kemahiran dalam bidang kejuruteraan.

10. Di samping kita berbangga dapat mengeluarkan kereta sendiri, projek ini akan menjadi nadi penggerak bagi pertumbuhan dan pembangunan industri sampingan. Melalui projek ini industri membuat komponen boleh mencapai taraf kemampuan kejuruteraan dan penyerapan teknologi yang lebih tinggi. Di samping itu juga, sektor pembuat komponen akan membuka peluang-peluang pelaburan dan pekerjaan. Industri kereta juga menggalakkan pembangunan industri sampingan yang lain seperti industri logam, industri berasaskan getah dan plastik.

11. Di sini saya ingin menyeru kepada industri komponen kereta supaya mempertingkatkan lagi mutu dan kecekapan pengeluaran mereka supaya ianya bukan sahaja dapat membekalkan pasaran tempatan malahan hendaklah juga dapat menembusi pasaran luar negeri. Usaha-usaha hendaklah dibuat dalam bidang kemajuan barangan atau ‘product development’ supaya mutu barangan yang dikeluarkan oleh pengeluar-pengeluar tempatan sentiasa dijaga. Selain daripada itu industri-industri komponen hendaklah juga melabur dan memberi perhatian yang berat kepada usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan. Dengan cara ini industri-industri tersebut bukan sahaja dapat mengeluarkan barangan yang bermutu tetapi juga dapat mengikis sikap negatif di setengah-setengah kalangan orangramai terhadap apa juga barangan yang dibuat di negara ini.

12. Menyentuh bidang penyelidikan dan pembangunan, saya gembira kerana PROTON telah menitikberatkan perkara ini dengan menubuhkan Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan sungguhpun PROTON masih muda usianya. Penekanan kepada penyelidikan dan pembangunan adalah amat penting kepada kemajuan industri negara kita. Kebanyakan daripada syarikat-syarikat di negara ini kurang memberi perhatian kepada aspek penyelidikan dan pembangunan kerana faedahnya, biasanya mengambil masa yang lama. Saya berharap syarikat-syarikat perkilangan yang lain dapat menyontohi PROTON dengan menjalankan kegiatan penyelidikan dan pembangunan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

13. Sepertimana yang kita maklum, Kerajaan telah melancarkan kempen Membeli Barangan Buatan Malaysia. Tujuan utama kempen ini ialah untuk meningkatkan pembelian barangan tempatan dan seterusnya akan mengurangkan barangan yang diimpot. Bayaran yang berkurangan ke atas impot akan mengurangkan aliran keluar tukaran asing. Pengaliran keluar tukaran asing yang berkurangan akan menjadikan imbangan bayaran negara bertambah kukuh. Di sini, saya merasa bangga kerana pengeluaran PROTON SAGA ini sangat tepat pada masanya.

14. Saya juga ingin menyeru kepada semua rakyat negara ini supaya menyokong projek ini dengan membeli kereta PROTON SAGA. Kereta ini adalah setaraf dengan kereta-kereta yang dibuat di luar negeri.

15. Kerajaan sedar bahawa syarikat pemasangan kereta tempatan merasa terjejas dengan perlaksanaan Projek Kereta Nasional. Di sini, ingin saya menjelaskan bahawa Kerajaan telah memberi peluang kepada syarikat-syarikat pemasangan kereta yang ada supaya sama-sama memberi sokongan dengan menjual kereta PROTON SAGA apabila ianya dipasarkan tidak berapa lama lagi. Langkah ini diambil bukan sahaja untuk mengurangkan kesan terhadap syarikat pemasangan kereta tetapi juga adalah untuk menentukan supaya terdapat rangkaian wakil-wakil jualan di setiap tempat di negara ini. Dengan cara ini, adalah mudah bagi pengguna-pengguna membeli kereta-kereta PROTON SAGA. Kejayaan pemasaran adalah amat penting kepada kejayaan Projek Kereta Nasional. Kita mestilah melibatkan semua kaum dalam usaha mengendalikan penjualan kereta PROTON SAGA ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

16. Perlu ditegaskan di sini bahawa walau apa sekalipun objektif, strategi dan program-program yang dirancang dan diatur, kejayaan tidak akan tercapai sekiranya orang ramai tidak menyokong usaha-usaha itu. Dalam hal ini saya berharap Projek Kereta Nasional ini akan mendapat sokongan dan mencapai kejayaan dan seterusnya mencatatkan negara Malaysia sebagai sebuah negara pengeluaran kereta di dunia.

17. Beberapa buah negara telah menunjukkan minat untuk mengimpot PROTON SAGA. Ini membuktikan bahawa negara-negara asing mempunyai keyakinan terhadap negara kita sebagai pengeluar kereta sendiri. Saya berharap PROTON dapat mengekspot kereta buatan Malaysia tidak lama lagi.

18. Akhirnya, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada PROTON kerana menjemput saya ke majlis ini. Dengan ini, saya dengan sukacitanya membuka Kilang Kereta Nasional dan seterusnya melancarkan Kereta PROTON SAGA dengan rasminya.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sumber: http://odeeyusaini.wordpress.com/tahun-1985-pembukaan-rasmi-kilang-kereta-nasional-dan-pelancaran-proton-saga/

Silakan kongsi:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.