Trak Iron Knight Volvo dan Teknologi I-Shift Dwi-Klac Kini Trak Terpantas Dunia – Catat Kelajuan 276km/j

T2016_0320

Iron Knight milik Volvo Trucks kini adalah trak terpantas di dunia di dalam dua kategori. Ia telah menewaskan rekod kelajuan dalam kategori 500-meter dan 1000-meter dengan permulaan pegun. Trak pemecah rekod tersebut dibina khas dari semua aspek kecuali enjin dan transmisi I-Shift Dwi-Klac.

Trak Iron Knight Volvo Trucks yang dipandu oleh Boije Ovebrink kini merupakan pemegang rasmi rekod kelajuan dalam kategori jarak 500- dan 1000-meter. Sepanjang tempoh pembinaan, sekumpulan pakar dari Volvo Trucks menggunakan kaedah yang inovatif bagi menggabungkan teknologi dan rekabentuk trak tersebut.

“Ini menunjukkan bahawa transmisi I-Shift Dwi-Klac kami mempunyai potensi yang amat besar dan ia tidak akan menghampakan anda di dalam keadaan ekstrem. Kotak gear yang digunakan di dalam trak tersebut merupakan kotak gear yang turut digunakan di dalam trak siri FH Volvo dan ini adalah satu yang amat kami banggakan,” kata Claes Nilsson, Presiden dan Ketua Operasi Volvo Trucks.

Dengan kelajuan purata 169 km/jam dan catatan masa sebanyak 21.29 saat, Iron Knight telah menewaskan rekod kelajuan antarabangsa bagi kategori jarak 1000 meter dari permulaan pegun. Ia turut menewaskan rekod sama bagi kategori jarak 500 meter, dengan kelajuan purata 131.29 km/jam dengan catatan masa 13.71 saat. Larian tersebut dijalankan di sebuah litar ujian tertutup di utara Sweden. Pada masa penerbitan artikel ini, rekod yang dicatat sedang dikaji semula oleh persatuan sukan permotoran antarabangsa FIA.

T2016_0323

“Pakar-pakar dari beberapa jabatan Volvo Trucks telah bekerjasama dengan rapat untuk membangunkan trak dengan prestasi yang tiada tandingannya. Selain enjin dan transmisi dari Volvo Trucks yang merupakan nadi Iron Knight, kami telah membina trak tersebut dari awal menggunakan tangan. Kejayaan kami dalam mendapatkan bukan hanya satu tetapi dua rekod adalah pencapaian yang menakjubkan,” kata Olaf Johanssn, juruteknik di Volvo Trucks.

Pemandu trak Iron Knight ialah Boije Ovebrink, yang memiliki lebih dari 30 tahun pengalaman dalam perlumbaan kereta dan trak. Beliau sebelum ini telah menewaskan lima rekod kelajuan dan telah dinobatkan sebagai juara European Truck Racing pada tahun 1994.

“Iron Knight Volvo Trucks boleh dirumuskan dengan satu perkataan: kesempurnaan. Ia kelihatan menawan dan kuasa yang dimilikinya tiada tandingan bila anda memijak pedal pemecut. Ini merupakan trak pemecah rekod ketiga yang pernah saya pandu, dan ini trak susulan yang lebih baik daripada Wild Viking dan Mean Green,” kata Boije Ovebrink.

Bagaimana ujian rekod tersebut dijalankan

Ujian tersebut dijalankan di “Skellefteå Drive Center”, iaitu bekas lapangan terbang berdekatan Skellefteå di utara Sweden. Rekod kelajuan diawasi dan diluluskan oleh persatuan sukan permotoran antarabangsa FIA. Ujian trak tersebut melalui dua arah laluan. Berdasarkan kedua-dua larian, masa purata dan kelajuan dikira. Keputusan rekod yang dikeluarkan oleh FIA adalah kelajuan purata dari kedua-dua larian tersebut.

T2016_0324

Trak Pemecah Rekod Volvo Trucks:

  • 2007: ‘Wild Viking’ (1600 kuasa kuda) menewaskan rekod dunia untuk jarak 0-1000 m dengan permulaan pegun, dengan kelajuan purata 158.8 km/jam.
  • 2010: Rekod bagi jarak yang sama ditewaskan oleh ‘NH D16’ (1800 kuasa kuda) yang mencatat kelajuan purata 166.7 km/jam.
  • 2011: Trak hybrid ‘Mean Green’ (gabungan enjin diesel dengan 1800 kuasa kuda dan motor elektrik dengan 300 kuasa kuda), mencatat rekod baru bagi jarak 0-500 dan 0-1000 meter dengan permulaan pegun, masing-masing dengan kelajuan purata 115.3 km/jam dan 152.2 km/jam.
  • 2012: ‘Mean Green’ bertanding dalam kategori 1000 meter dari kelajuan perlahan dan mencatat rekod baru dengan kelajuan purata 236.6 km/jam.

Fakta Trak Iron Knight Volvo:

  1. Dengan 2400 kuasa kuda, tork sebanyak 6000 Nm dan berat sebanyak 4.5 tan, trak Iron Knight mempunyai nisbah kuasa-kepada-berat melebihi 0.5 hp/kg.
  2. Enjin kedudukan tengah yang digunakan merupakan unit D13 yang telah diubahsuai dengan ketara, dengan ‘intercooler’ yang disejukkan dengan air dan empat ‘turbocharger’.
  3. Transmisi I-Shift Dwi-Klac mengekalkan penghantaran tork ketika pertukaran gear. Selain klac yang diperkuatkan (cakera dan plat tekanan diperbuat dari bahan tersinter/Terkumpul atau tertimbunnya zarah-zarah logam dengan memanaskannya ke suhu yang menghampiri titik leburnya.), Iron Knight menggunakan kotak gear sama yang dipasangkan kepada trak siri Volvo FH.
  4. Perkakasan elektronik dikurangkan sebanyak mungkin untuk mengurangkan berat kenderaan.
  5. Perisian trak telah diprogram semula bagi membolehkan prestasi yang tinggi.
  6. Aerodinamik bahagian kabin telah dioptimumkan yang diperbuat dari gentian kaca. ‘Side-skirt’ yang digunakan mempunyai ruang pengambilan udara yang besar untuk membekalkan enjin dengan udara sejuk.
  7. Semasa ujian pecutan, Iron Knight mencapai kelajuan tinggi sebanyak 276 km/jam.
Silakan kongsi:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.