Isuzu Malaysia Sdn Bhd baru-baru ini merayakan ulang tahun pertama pelancaran SUV keluarannya, Isuzu MU-X, dengan satu kelainan.
Buat julung kalinya, Isuzu Malaysia menganjurkan Pesta Memancing Isuzu MU-X di sebuah kolam memancing di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, untuk seramai lebih 50 tetamu VIP yang terdiri daripada pemilik SUV popular dengan 7 tempat duduk itu bersama keluarga mereka.
Pengarah Eksekutif Isuzu Malaysia Hajime Machimura berkata bahawa pesta yang menyeronokkan itu adalah cara unik untuk mengucapkan terima kasih kepada pelanggan yang memilih kenderaan gaya hidup yang terkenal daripada Isuzu.
Acara ini juga bertujuan untuk menggalakkan pemilik Isuzu MU-X menggunakan kepelbagaian keupayaan dan fungsi kenderaan mereka untuk merasai keseronokan menyertai kegiatan riadah di luar.
“Isuzu MU-X merupakan kenderaan yang sesuai bagi semua bentuk permukaan jalan yang membolehkan anda menikmati gaya hidup aktif tanpa kekangan ruang, keselesaan, keselamatan atau penjimatan minyak. Seperti yang digambarkan oleh slogan iklannya, ia benar-benar ‘bersedia untuk lebih’. Bagi kaki pancing, Isuzu MU-X menjadi kenderaan paling sesuai untuk mengharungi laluan mencabar menuju ke tempat memancing,” katanya.
Mereka yang menyertai Pesta Memancing Isuzu MU-X dapat mengalami keseronokan menangkap ikan mereka sendiri di kolam air masin seluas satu ekar yang dipenuhi lebih tiga tan ikan siakap, jenahak dan kerapu.
Pesta Memancing Isuzu MU-X menawarkan dua Hadiah Utama berupa set perkhemahan bernilai RM3,000 setiap satu daripada Coleman.
Hadiah bagi ikan paling berat dimenangi oleh Muhammad Nazirul Fikri bin Samsudin. Pemuda berusia 27-tahun dari Sungai Buloh ini berjaya menangkap seekor Kerapu Harimau seberat 4.6 kilogram dalam masa yang ditetapkan.
Azley Tsia dan Mohammad Azran kedua-duanya berjaya mengumpan tiga ekor ikan bulan. Mereka telah diisytiharkan sebagai pemenang bersama bagi kategori bilangan ikan paling banyak yang ditangkap.
Para pemilik yang hadir di acara memancing yang unik ini semuanya menyuarakan kepuasan dengan kenderaan Isuzu MU-X SUV masing-masing.
Mohd Shahrul Reswan bin Rahim, 37 tahun, Jurutera Jaminan Kualiti dari Subang, yang telah memandu Isuzu MU-X selama lima bulan berkata beliau mahukan sebuah kenderaan yang boleh menemaninya dalam lebih banyak pengembaraan.
“Isuzu MU-X adalah teguh, mempunyai banyak ruang, ekonomi dan stabil pada kelajuan tinggi. Saya tidak sabar-sabar untuk melakukan lebih lagi dengannya,” katanya.
Bagi pemilik perniagaan logistik berpangkalan di Lembah Klang, Matthew Sunel Martin, 66 tahun, beliau masih ingat betapa hebat Isuzu Trooper milik bapanya dan terdorong lagi apabila anaknya membeli sebuah trak pikap Isuzu D-Max.
“Saya sudah memiliki 4 trak pikap jenis lain dan mahukan sebuah SUV enjin diesel yang boleh dipercayai. Saya membuat keputusan membeli Isuzu MU-X kerana enjin dieselnya yang terbukti, keluasan dan keselesaan. Secara keseluruhan, ia memberikan nilai yang hebat dan memenuhi keperluan saya,” kata pemilik Isuzu MU-X berusia 2 bulan ini.
Seorang lagi pelanggan Isuzu MU-X yang berpuas hati ialah Syed Zafarullah Abdul Jaafar, 42 tahun, dari Rawang. Ketua Pegawai Integriti di Malaysia Airlines Berhad suka ciri penjimatan minyak dan binaan teguh kenderaannya yang berusia 6 bulan ini yang digunakannya setiap hari untuk kerja.
Penjimatan minyak dan keselesaan kenderaan meyakinkan ramai pelanggan wakil penjual Isuzu Lim Yok Woa memilih Isuzu MU-X SUV sebagai kenderaan pilihan mereka.
Peniaga berusia 67-tahun dari Temerloh ini seronok menyertai acara memancing kerana beliau menggunakan set joran dan ril PENN untuk hasil maksimum.
Sebagai jenama pakar rekreasi luar, Coleman menggunakan peluang itu untuk menggalakkan pemilik Isuzu MU-X berkhemah pada hujung minggu.
Menggunakan empat unit Isuzu MU-X serba guna sebagai ‘model’ utama, Coleman melengkapkannya dengan pelbagai peralatan yang menunjukkan bahawa perkhemahan kini suatu pengalaman yang boleh memberi keselesaan dan juga kemewahan.
Pemilik Isuzu MU-X mendapati bahawa dengan kombinasi kelengkapan berlindung, perabot dan peralatan yang betul, kemungkinan untuk merasai keseronokan perkhemahan di luar bersama keluarga dan kawan-kawan adalah tidak terbatas.
Isuzu MU-X adalah kenderaan semua permukaan jalan yang direka bentuk untuk membawa tujuh orang dewasa dengan selesa. Ia disasarkan kepada mereka yang mahu menikmati gaya hidup aktif tanpa kekangan ruang, keselesaan, keselamatan dan penjimatan minyak.
Menggunakan platform berasaskan Isuzu D-MAX yang mengagumkan, Isuzu MU-X mewarisi banyak keunggulan D-MAX termasuk rangka bertangga yang teguh, rangkaian pemacu versatil dan ciri-ciri keselamatan yang dinamik.
Dipasang dengan enjin diesel Sistem Geometri Boleh Ubah [Variable Geometry System (VGS)] 2.5 liter yang sangat menjimatkan minyak, Isuzu MU-X memberikan prestasi yang menjanjikan keselesaan dan kelancaran manakala sistem suspensi pegas gegelung keliling menampilkan palang siku berganda di hadapan dan reka bentuk 5-tautan di belakang, yang menambah kestabilan, keselesaan dan kesenangan pengendalian.
Di bahagian dalam, reka bentuk ruang pintar Isuzu MU-X mewujudkan persekitaran selesa untuk semua penumpang. Tempat duduk belakang boleh dilipat ke dalam pelbagai konfigurasi yang membolehkan pemilik menyesuai padan ruang mereka, sama ada untuk penumpang atau barang. Saluran pendingin udara di atas untuk kesemua tiga baris tempat duduk memastikan semua penumpang tiba ke destinasi dalam keadaan segar dan bersedia untuk tugasan atau pengembaraan mereka yang seterusnya.
Boleh didapati dalam versi 4×4 atau 4×2, Isuzu MU-X membawakan tahap keselamatan paling tinggi dalam kelasnya. Ciri-ciri keselamatan termasuk bantuan elektronik sebagai brek Anti-kunci (ABS) dengan Pengagihan daya Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA). Ia juga mempunyai Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) untuk memastikan anda dan keluarga anda selamat sepanjang perjalanan.
Versi 4×4 menggunakan sistem pacuan empat roda “Terrain Command” ciptaan Isuzu yang pintar dan dail berputar yang dipasang berdekatan pemilih gear untuk membolehkan pemandu menukar cara pemanduan dengan cepat dan selamat antara 2WD dan 4WD mengikut keadaan jalan. Ini boleh dilakukan pada kelajuan sehingga 100km/j, memastikan Isuzu MU-X mengekalkan kestabilan dan keupayaan hingga ke hujung jalan.
Selain itu, Isuzu MU-X membuktikan keunggulannya dengan memenangi gelaran Kereta Terbaik New Straits Times-Maybank bagi kategori SUV 4×4 terbaik pada 2015.