Saga SV Bantu Lonjakkan Jualan Proton dan Suprima S Kini Dijual Di Indonesia

Proton Saga SV 2013

Disokong oleh jualan Exora, Persona, Prevé, Suprima S dan khususnya Saga SV, prestasi jualan Proton pada suku ketiga 2013 melonjak 27 peratus berbanding suku yang sama pada 2012. Bukan setakat itu, prestasi suku ketiga juga meningkat 42 peratus berbanding suku kedua sebelumnya.

Peningkatan jualan itu disumbangkan oleh Proton Saga SV yang dilancarkan pada Jun lepas. Model itu mencatat peningkatan jualan sebanyak 72 peratus berbanding suku kedua 2013. Pengenalan Saga SV menepati permintaan pasaran yang ingin memiliki kereta pertama yang murah dan famili kecil serta solusi pengangkutan yang murah untuk pelajar institut pengajian tinggi. Dalam tempoh empat bulan, lebih 22,000 unit Saga SV telah didaftarkan di atas jalan raya.

“Saga SV telah menerima sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat dan sangat menghargai sokongan rakyat Malaysia. Kami percaya Saga sentiasa mempunyai tempat di dalam hati dan minda rakyat dan dengan pakej yang ditawarkan seperti skor 3 bintang rating keselamatan ASEAN dan harga yang sangat kompetitif iaitu bermula dari hanya RM33,438, Saga SV akan terus menjadi pilihan konsumer untuk sedan asas,” kata Encik Hisham Othman, Ketua Pegawai Operasi (Komersil) Proton.

Sementara itu, Suprima S turut banyak menarik minat yang kuat daripada pelanggan sejak pelancarannya pada bulan Ogos dan pada penghujung Oktober Proton telah melancarkan model itu di Indonesia. Untuk pasaran eksport pertama model itu, Suprima S hanya ditawarkan di dalam versi Premium dengan pelbagai peralatan standard seperti Proton Infotainment yang berasaskan sistem operasi Android, lampu penunjuk belakang LED, DRL, Hill-Hold Assist dan Park Assist dengan sensor parkir depan. Sistem keselamatannya pula terdiri dari enam beg udara, tingkap kuasa anti perangkap, ABS dan ESC dengan Traction Control.

Proton Suprima S Indonesia

“Dengan pengenalan Suprima S di Indonesia, kami berharap untuk menawan hati dan minda penggemar kereta dan meyakinkan warga Indonesia bahawa Proton komited bagi memenuhi permintaan pelanggan dan terus menawarkan pelbagai produk yang memberi keseronokan memandu dan kepuasan dan paling penting kereta yang selamat, berkualiti tinggi dan bernilai untuk wang,” kata Encik Hisham.

Serentak dengan pelancaran itu juga, Proton turut memperkenalkan Proton Exora Star FL, yang merupakan varian baharu MPV Exora yang didatangkan dengan lampu depan, lampu belakang, bampar depan dan belakang baharu.

Harga jualan Proton Suprima S di Indonesia ialah IDR275 juta di atas jalan dan satu lagi berita yang dikongsi Encik Hisham ialah Proton bakal memperkenalkan sebuah model baharu di dalam tempoh enam bulan akan datang.

Silakan kongsi:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.