Percaya atau tidak, kerangka C12 Saga yang asal bertahan antara yang paling lama dalam sejarah pengeluaran kereta (selain Beetle dan Mini). Dikeluarkan pertama kali pada tahun 1985 dengan enjin “Orion”, diperbaharui dengan megavalve kemudian Iswara, kemudian LMSS dan LMST pada 2008.
Selama tempoh 23 tahun menggunakan 1 casis, enjin dengan sistem karburetor dan rim kompang, akhirnya Saga diperbaharui sepenuhnya pada 2008 dengan model yang digelar dengan nama BLM.
Ia diposisikan semula menjadi 1 saiz lebih kecil kepada segmen A. Nah, disinilah magik dibuat dalam kejuruteraan automotif moden di mana kereta 90-an segmen C hampir sama dengan dimensi dengan kereta segmen B untuk model hari ini. Hakikat yang sama bagi kebanyakan pembuat yang kini sensitif tentang kos pengeluaran dan meletakkan segmen C masing-masing lebih premium.
Bahagian belakang, seperti yang anda dapat lihat dalam beberapa spyshot sebelum ini merupakan pembaharuan yang saya kira agak “berani” bagi Proton yang cuba mengubah Saga dari sebuah Produk kereta keluarga kepada kereta separuh keluarga dan separuh sukan. Ibarat seluar jeans denim biru dengan benang coklat. Zaman dulu, selain Levi’s siapa saja yang berani kontraskan warna begitu?
Selepas diberikan penerangan tentang selok-belok pembangunan dan rekabentuk, kami dipelawa memandu sendiri di dalam trek ujian. Seperti biasa, kereta-kereta Proton adalah pakej tentang ketegaran kerangka, pengendalian dan titik penting bagaimana kereta sekecil ini cukup senang dikendali.
Secara peribadi, saya rasa tak perlu pun ujian sebegini kerana Saga adalah kereta famili, kereta kedua, atau kereta urban yang menjadi asas pengangkutan. Tak perlu diuji sampai tayar menjerit-jerit minta ekor kereta membuang tetapi tidak jadi juga sebab kereta ini kekurangan kuasa.
Ya. Walaupun ditala dengan set kepala selinder dan aci sesondol baru berteknologi VVT, rangkaian eksplorasi kebuk 1.3 liter ini sudah sampai ke tahap maksimanya. Sebaik pedal minyak ditekan, kereta termenung sebentar nak panjat RPM, kemudian, kuasa sampai dan kemudian di depan sudah ada selekoh. Trek ini terlalu pendek laluan lurusnya.
Saya juga cadangkan kepada pihak Proton untuk kereta keluarga seperti Saga adalah lebih afdal jika diuji di kawasan trek tengah di mana ada laluan berbonggol, berliku dan kon-kon sempit yang boleh disusun untuk menterjemahkan situasi pada dunia luar. Boleh tahu penumpang boleh tidur atau berjoget lambak bila lalui jalan Bentong-Raub misalnya.
Ia mungkin sebuah kereta yang dibeli oleh Gen X atau pembeli sebagai kereta kedua. Tidak seperti prospek Persona yang lebih sensitif, barangkali bakal pembeli Saga mereka tidak sedar pun betapa baiknya pengendalian kereta ini dibina. Selain 3 cagak enjin berbanding 4 sebelum ini, pengendalian diperkemaskan dan bar penstabil pada topang suspensi hadapan datang sebagai peralatan standard.
Rekaan papan pemuka kini lebih segar. Baru lah rasa bentuknya selari berbanding kelonsong bulat sebelum ini yang kelihatan sangat aneh (sekurang-kurangnya itulah yang saya rasa). Tiada elemen fancy, dashboard ini direka terus kepada fungsi.Tahap bunyi NVH telah diperbaiki. Terima kasih pada trio cagak enjin tadi. Tahap aerodinamik dipertingkatkan menerusi beberapa perubahan penting. Saya juga pada awalnya tidak perasan Saga baru ini mempunyai lengkok bumbung yang lebih aerodinamik, didakwa juruteranya antara elemen yang membantu mengurangkan seretan (coefficient drag – CD).
Antara fungsi lain yang diadaptasikan pada model ini ialah fungsi boleh lipat pada kerusi belakang. Indikator ECO DRIVE ASSIST pada semua varian dan diiktiraf dengan skor 4 bintang NCAP. Bagi model varian tertinggi, ia dilengkapi dengan bantuan elektronik ESC (Electronic Stability Control). Kapasiti but belakang kini ialah 420 liter.
Terdapat 4 varian 1.3L VVT yang diperkenalkan. Standard manual, Standard CVT, Eksekutif dan Premium. Harga jualannya bermula RM37,000 hingga RM46,000 dan ia sudah boleh mula ditempah pada hari ini. Proton Saga 2016 ini akan dilancarkan secara rasmi pada hari Rabu minggu hadapan (28/09/16).
Kredit artikel: Irwan/Bai Mekanika.com.my