Pengeluar automotif nasional Proton Holdings Berhad telah melancarkan model Super Value (SV) terbaru iaitu Proton Persona SV. Model tersebut dilancarkan oleh Dato’ Lukman Ibrahim, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.
Dikuasakan oleh enjin 1.6 liter Campro IAFM, Persona SV ditawarkan di dalam dua varian iaitu manual dengan harga atas jalan bermula dari RM44,938 manakala versi automatik pula berharga RM47,938.
Kata Dato’ Lukman, seperti Proton Saga SV, Persona SV menawarkan kepada rakyat Malaysia sebuah kereta yang menawarkan nilai untuk wang seperti kualiti yang ditambah baik, praktikaliti, stail dan harga mampu milik.
“Kami mendapat sambutan hangat dengan Proton Saga SV dan kami berharap untuk menarik minat rakyat Malaysia sekali lagi dengan harga menarik Persona SV. Berita baiknya ialah selain daripada spesifikasi Persona standard, kelengkapan keselamatan telah ditambah dan ini menunjukkan komitmen kami untuk menawarkan kereta yang berbaloi untuk wang yang berkualiti dan paling penting selamat.”
“Pada masa yang sama juga, ini juga adalah komitmen kami terhadap usaha kerajaan dalam menurunkan harga kereta”, tambah beliau.
Peralatan standard Proton Persona SV ialah dua beg udara, empat brek cakera dan ABS dengan EBD. Persona SV boleh didapati di dalam tujuh warna iaitu Solid White, Bronze Garnet, Tranquility Black, Genetic Silver, Fire Red, Chiffon Green dan warna baharu iaitu Atlantic Blue. Persona SV mempunyai liputan waranti selama dua tahun atau 50,000km (yang mana dahulu).