Proton Persona 2016 – Pandu Uji Dari KL ke Kuantan

Proton Persona 2016

Baru-baru ini, pihak media telah dijemput dalam satu sesi pandu uji Proton Persona 2016 yang diaturkan oleh pihak Proton. Laluan yang dipilih ialah dari pusat Kecemerlangan Proton di Shah Alam ke Bandar Kuantan.

Sebelum ini, kami pernah membuat laporan pengalaman pandu uji pertama Proton Persona 2016 di trek ujian Proton di kilang mereka Shah Alam. Sesi kali ini lebih komprehensif kerana ia dibuat dalam persekitaran sebenar.

Saya memilih varian CVT premium 1.6. Untuk rekod, 45 peratus jualan Proton Persona 2016 setakat ini datangnya dari model Premium. Malah sehingga artikel ini ditulis, sebanyak 8,000 unit tempahan telah diterima. Satu kejayaan di luar sasaran asal yang menetapkan hanya 3,000 – 4,000 unit sebulan. Persona ditawarkan dalam 3 varian utama iaitu Standard, Executive, Premium dan 1 varian SE (Premium Bodykit).

Kalau melihat pada susur galur sejarah, kita boleh gariskan produksi Proton dalam fasa yang berbeza.

Fasa 1 adalah sewaktu Proton jalinkan dengan Mitsubishi, Fasa 2 – bermula era baru casis sendiri dari Waja (enjin Mitsubishi 4G18P dan Campro SP4H) kepada Gen2/Neo dan Fasa 3 – Prevé, Suprima S dan Iriz.

Proton Persona 2016

Walaupun sudah lama tidak memandu Proton saya dapat rasakan perubahan yang sangat ketara sebaik sahaja masuk ke dalam kabin kereta ini. Kualiti pemasangan, pemilihan bahan dan fitmen bahagian dalaman nampak jauh lebih baik berbanding Proton zaman lama.

Saya kira Proton sudah mula pelajari kelemahan mereka dan memperbaiki pada setiap barisan produk baru yang dilancarkan. Tiada lagi kesilapan kecil seperti kedudukan suis yang pelik, material permukaan plastik yang nampak murah, sentuhan vinyl dan permukaan fabrik yang tidak kena dengan tema dalaman.

Proton Persona 2016

Walaupun menggunakan platform Iriz, ia bukanlah sekadar pemindahan teknologi. Persona ini telah diberi penambahbaikan dengan set pengendalian yang sangat Proton. Titik tengah sterengnya tetap, selisih putaran stereng kiri dan kanannya rasa cukup “ketat” menghasilkan pemanduan yang yakin untuk menukar arah samada pada kelajuan rendah atau tinggi.

Secara fizikal, Persona 2016 nampak tinggi tetapi pecutan keseluruhannya tidak menggambarkan langsung bahawa ia sebuah kereta “asas”. Ya, ini bukanlah produk premium seperti Prevé, Suprima S atau Perdana namun pengendaliannya cukup baik untuk sebuah sedan dalam kelasnya. Saya kira, susah untuk anda bezakan kualiti pemanduan sebuah Proton dengan mana-mana segmen kereta dalam kelasnya.

Proton Persona 2016

Mungkin saya berlebih-lebih bila bercakap tentang pengendalian, namun realitinya kereta penumpang dalam industri hari ini dibina tidak fokus dan sebetulnya mereka perlu ikut standard sebuah kereta yang sempurna. Ini tidak, nama sahaja jenama terkenal tapi bila selisih dengan van Hiace dalam kelajuan 100kmj pun dah kelam kabut bersilat pegang stereng.

Piawai kualiti pemanduan Persona ini sepadan dengan kuasa enjin yang dihasilkan oleh unit VVT terbaru. Gandingan VVT dengan CVT larasan terkini tidaklah menjadikannya sepantas CFE tetapi cukup untuk membawa Persona seberat 1.2 tan dengan selesa. Bergantung pada cara pemanduan anda, laluan KL-Karak boleh mewakili kebanyakan bentuk permukaan jalan di Malaysia.

Ia ada selekoh panjang, pendek, landai, mendaki, menuruni bukit dan seterusnya masuk ke Lebuhraya Pantai Timur. LPT? Ya, anda perlu ada kereta dengan suspensi sebuah kereta untuk bergerak laju di sini. Kalau pandu kereta sukan, baik lupakan. Dengan permukaan jalan tak rata, bertampal, ia perlukan konsentrasi jika memandu dengan laju tanpa melompat-lompat dan terhuyung hayang.

Proton Persona 2016

Kami singgah di pusat OKU di Felda Jengka 19, Pahang untuk menyerahkan sedikit sumbangan. Salah satu aktiviti kebajikan yang diprogramkan dalam sesi ujipandu kali ini. Di kawasan Felda dan jalan kampung, penumpang sebelah saya boleh tidur dengan selesa. Kereta ini menyerap hentakan, bonggol dan lubang jalan dengan cukup baik.

Dari Jengka ke Kuantan, kami bertukar kepada format pertandingan yang dikenali sebagai “Eco Challenge”, iaitu mencari kereta efisyen dengan catatan penggunaan bahanapi paling jimat. Setelah puas membelasah kelajuan tinggi, selekoh Karak dan laluan jalan kampung kami kini menguji tahap ekonomikal bahanapi.

Proton Persona 2016

Jadi berapa jimatkan penggunaan petrol Persona? Saya bersama Razlan dari Harian Metro menang ujian ini dengan catatan 5.4liter bagi setiap 100km. Purata kelajuan kami ialah 70-80km/j. Pemenang kedua dan ketiga dipisahkan hanya 0.1 liter pada kelajuan yang hampir sama.

Ini boleh diterjemahkan dengan frasa mudah. Pandu konsisten dan cermat, memang menjimatkan. Angka-angka ini biasanya hanya mampu dicatat oleh kereta berenjin hybrid. Sebagai perbandingan, rekod Toyota Prius (oleh pengeluar) ialah 4.5L/100km. Namun dalam dunia pemanduan sebenar menjangkau 5-6L/100km.

Proton Persona 2016

Pemanduan sehari 300km ini mungkin belum boleh diterjemah terus kepada realiti penggunaan seharian. Ya, lah bawa sehari sahaja, bukannya uji pandu jangka panjang. Tapi saya sedar tentang satu perkara bila bercakap dengan jurutera, pasukan pereka dan pengurusan tertinggi Proton.

Mereka mengambil serius setiap input yang kami beri. Dari kedudukan pedal brek dan minyak, perehat tangan, lampu DRL, bunyi tayar, suis roda stereng semuanya akan diperhatikan semula oleh pasukan pembina kereta ini.

Ia mungkin bukan sebuah kereta yang sempurna. Namun Proton telah melakukan sebaik yang mungkin untuk meneruskan legasi mereka membina kereta-kereta selamat yang seronok dipandu. Selesa, lincah, praktikal dan ekonomikal.

Anda tidak akan dapat beli kereta pada harga bermula RM46,000 dengan pakej seperti Persona 2016 ini. Tahun 90-an dulu mungkin ada tapi sekarang, bila faktor bahan api, ruang dan rekabentuk menjadi tunjang utama R&D sesebuah kereta, kereta-kereta penumpang “murah” moden tak lagi banyak yang seronok dipandu. Tidak ada sensasi memandu, sama macam naik LRT, beli tiket, naik, sampai dan turun ke destinasi.

Proton Persona 2016

Jangan percaya apa yang saya kata 100 peratus. Ada banyak faktor yang perlu anda pertimbangkan untuk membuat komitmen pinjaman jangkapanjang membeli sebuah kereta. Pergi ke pusat pameran dan cuba uji pandu Persona 2016 dan bandingkannya dengan pesaing lain kemudian baru buat keputusan.

Tepuk poket, tanya dompet!

Kredit artikel asal: Irwan/Bai Mekanika.com.my 

Silakan kongsi:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.