Berikutan pengumuman panggilan semula yang dikeluarkan oleh Honda Motor Company mengenai inflator beg udara penumpang pada model Honda Accord, PROTON ingin mengumumkan mengenai servis baik pulih yang akan dilakukan untuk menggantikan peledak (inflator) beg udara penumpang untuk semua model Proton Perdana terkini.
Ini merupakan satu langkah berjaga-jaga kerana model ini merupakan model asal Honda Accord dan melibatkan kereta-kereta yang dikeluarkan dari tahun 2012 sehingga akhir Ogos 2018. Notis mengenai isu ini akan dihantar kepada semua pemilik.
Servis baik pulih ini adalah sebahagian daripada inisiatif global untuk kereta-kereta yang dilengkapi dengan beg udara Takata.
Semua tindakan yang diambil adalah selaras dengan Laporan Maklumat Kerosakan (DIR) terbaharu yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Keselamatan dan Traffik Lebuh raya Kebangsaan Amerika (NHTSA) yang memerlukan penggantian inflator beg udara bukan kering (non-desiccated).
Jumlah Proton Perdana yang terjejas adalah sebanyak 6,432 unit.
Syarikat ingin menekankan kepada semua pelanggan bahawa inisiatif ini tidak melibatkan mana-mana model Proton yang lain kerana beg udara yang digunakan dibekalkan oleh pembekal yang berlainan.
Kawalan ketat telah diambil untuk memastikan keselamatan para pelanggan, yang merupakan keutamaan bagi PROTON dan sebarang kesulitan mengenai perkara ini amatlah dikesali.
“Keselamatan pemilik-pemilik kereta kami adalah yang paling penting untuk PROTON.
Semua pemilik Proton Perdana akan dimaklumkan mengenai perkara ini dan mereka dinasihatkan menghubungi talian khidmat pelanggan PROTON untuk membuat temu janji penggantian beg udara penumpang pada kereta mereka.
Kereta yang dikeluarkan selepas 31 Ogos 2018 tidak terlibat dengan servis baik pulih ini dan pertukaran inflator beg udara ini hanya akan mengambil masa kira-kira satu jam serta tidak akan dikenakan apa-apa bayaran,” ujar Dato’ Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.
Pelanggan dinasihatkan untuk menghubungi talian khidmat pelanggan PROTON di 1-800-888-398 atau e-mel customercare@proton.com sekiranya terdapat sebarang pertanyaan dan bantuan.
PROTON sangat menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan di atas sokongan dan memberi jaminan bahawa pelbagai usaha sedang dijalankan untuk memastikan servis baik pulih ini diselesaikan secepat mungkin.