Jika diperhatikan di dalam segmen mewah, rata-rata pelanggan akan memilih model keluaran BMW, Mercedes, Audi dan MPV popular Toyota Vellfire. Lihat sahaja di dalam garis masa media sosial, kebanyakan individu terkenal memiliki model itu sebagai kenderaan harian. Sekali-sekala akan terlihat Mini Cooper, Range Rover atau VW atau Ferrari atau Lamborghini atau McLaren atau pun yang terkini Mustangs. Model-model yang dinyatakan itu adalah refleksi kepada pencapaian status bisnes atau kareer yang menjadi.
Di sebalik jenama mewah tersebut, ada satu pengeluar yang sudah lama bertapak di dalam negara di mana kilang produksinya di Shah Alam, Selangor yang sudah memulakan operasi sejak tahun 1967 lagi. Tidak lain tidak bukan ialah Volvo yang berasal dari Sweden. Syarikat itu mempunyai sejarah yang panjang, bertukar dari satu pemilik ke satu pemilik namun falsafahnya yang mementingkan keselamatan tetap tidak berubah. Harus tahu, Volvo adalah pereka tali pinggang keledar tiga poin dan ianya tidak memerlukan sebarang royalti dibayar kepada pengeluar itu oleh kerana hasrat syarikat yang ingin menyebar kebaikan teknologi seluas-luasnya.
Tetapi adalah natural untuk anda memenangi sesuatu dan pada masa yang sama terlepas sesuatu. Kenderaan Volvo dimuatkan dengan pelbagai jenis teknologi keselamatan, dari pasif hingga ke aktif sehinggakan saya rasa itu sahaja kerja juruteranya. Walaupun begitu, faedah keselamatan tidak dapat ditonjolkan secara langsung atau kerap melainkan anda terselamat dari kecelakaan jalan raya. Apa yang senang dihargai secara langsung ialah rekabentuk, prestasi, keselesaan dan khidmat lepas jualan. Jadi apabila anda mempunyai sebuah syarikat yang menjual teknologi keselamatan, bagaimana pula anda dapat menyaingi syarikat mewah lain seperti Mercedes, BMW dan Audi?
Di situ terletak kekurangan dan kelebihan Volvo. Apabila banyak sumber dan tenaga dihabiskan untuk teknologi keselamatan, aspek seperti perincian premium, prestasi dan pengendalian secara langsung atau tidak terpaksa dikurangkan untuk memberi laluan kepada fokus syarikat. Melalui pengalaman memandu uji beberapa buah kenderaan Volvo moden, terakui bahawa teknologi menyelamatkan nyawa Volvo menggagumkan tetapi jenama itu belum mampu menyaingi jenama premium Eropah selain daripada sistem keselamatan. Volvo mempunyai idea ke arah itu namun tidak kesampaian dan tidak memadai. Meletakkan dari sudut pandang, BMW adalah sinonim sebagai kenderaan pemanduan dan prestasi, Mercedes dengan imej mewah manakala Audi pula memberi alternatif untuk mereka yang mencari kelainan di antara kedua-dua jenama tadi. Jadi, di manakah posisi Volvo? Model-model baharu sedang dan akan memberi jawapan kepada persoalan ini.
Tranformasi Volvo boleh dikatakan jelas di bawah penguasaan Ford, dengan falsafah rekabentuk yang kontemporari serta nadi kuasa moden selain mengekalkan identiti keselamatan Volvo. Di situ, sudah jelas ke mana arah tuju Volvo namun menggunakan nadi kuasa yang dibekalkan Ford tidak memadai. Ianya terasa seperti sebuah Ford yang lebih mahal dan dinamik pemanduan pula jauh ketinggalan berbanding BMW. Fasa itu masih belum memadai untuk menyaingi jenama premium lain. Volvo bertukar tangan lagi, kali ini dari Ford kepada syarikat China iaitu Geely pada tahun 2010. Transformasi Volvo tetap diteruskan dengan falsafah rekabentuk Design Around You yang diterjemahkan pada model baharu V40. Di bawah pemilikan baharu, Volvo nampak bebas untuk menentukan nadi kuasa dan hasilnya ialah teknologi Drive-E yang dibangunkan sendiri.
Di pasaran tempatan, Volvo Car Malaysia (VCM) telah memperkenalkan teknologi canggih Drive-E pada model terkini XC60, XC90, V40 dan S60 T6 – model yang saya diberi peluang untuk dipandu uji baru-baru ini. Sebelum mengambil kereta itu, saya tidak pasti apa yang hendak dijangka memandangkan saya pernah memandu uji S60 T5 dan V60 T4 sebelum ini. Jika diimbas, dua perkara yang saya kagumi ialah sistem keselamatan, kuasa dan ketangkasan transmisi PowerShift. Cuma apa yang buat saya teruja kali ini ialah nadi kuasa Drive-E menggunakan dua teknologi iaitu gabungan supercaj dan pengecas turbo selain transmisi 8 kelajuan.
Rekabentuk Luaran
Mengambil kereta di parkir VCM adalah momen pertama saya dengan S60 facelift baharu. Bahagian depan kereta menerima lampu utama, bonet dan bampar baharu. Ianya nampak lebih atletik ibarat muscle car yang digabungkan dengan selera ringkas Sweden. Menambah lagi keterampilan S60 T6 ialah roda aluminium 18 inci Ixion dan peresap belakang R-Design. Spoiler bonet belakang yang ringkas pula menambah keanggunan kereta. Di dalam lautan Mercedes, BMW dan Audi, penampilan sedan dari Sweden ini adalah suatu yang menyegarkan dan membuktikan Malaysia tidak kekurangan jenama mewah yang tidak tipikal. Warna Ember Black yang digunakan pada model pandu uji menyerlahkan S60 sebagai objek yang jelas dan sesuatu.
Rekabentuk Dalaman
Interior S60 T6 segar dengan warna hitam yang mendominasinya. Mengikut pemerhatian peribadi, warna Beige lebih sesuai pada Mercedes dengan perincian yang tersendiri manakala hitam yang digunakan pada S60 T6 ini lebih harmoni pada imej dan prestasi yang ingin ditampilkan Volvo. Suasana dalaman S60 T6 baharu terasa segar dan setahap lebih berbanding model sebelum ini. Ianya kemas dan ringkas dan canggih melalui meter digital sepenuhnya (Adaptive Digital Display) dengan tiga mod iaitu Performance, Eco dan Elegance. Informasi untuk kegunaan pemandu tidak terhad pada paparan meter malah lebih banyak fungsi talaan dan bacaan pada meter digital di papan pemuka. Di situ anda boleh menetapkan pelbagai fungsi tetapan kenderaan seperti sistem keselamatan, Drive-E, multimedia, navigasi sehinggalah mod stereng. Kerusi pemandu dan penumpang depan adalah tipikal Volvo, menyokong badan pada poin yang penting dan standard untuk kereta di dalam segmen ini ialah sistem larasan elektrik. Seperkara mengenai jenama dari Eropah ialah mereka mempunyai definisi keselesaan tersendiri terutama sekali untuk kerusi penumpang belakang. Berbeza dengan kerusi dari pengeluar Asia yang empuk dan menenggelamkan badan, kerusi belakang kereta Eropah lebih keras tetapi tidak pada Volvo ini kerana ianya seimbang di antara dua ciri-ciri tersebut. Ianya tidak terlalu keras seperti kerusi kayu yang dibalut kulit atau terlalu lembut seperti sofa, tahap keselesaannya boleh diterima terutama sekali untuk merentas negeri-negeri bagi urusan kerja atau peribadi.
Teknologi Drive-E
Dengan larasan kerusi yang tegap serta menyokong badan dan suasana interior yang mewah, saya tidak sabar untuk meneroka model ini lebih jauh. Enjin Drive-E bersesaran 2.0 liter ini sedikit bising jika berada di luar kenderaan. Tetapi itu bukanlah masalah utama kerana di dalam bonet yang berbonjol itu ialah enjin berkuasa 306hp dengan 400 Nm tork. Gabungan supercaj dengan pengecas turbo pada enjin ini bermakna kuasa supercaj digunakan pada kelajuan rendah untuk menggerakkan kereta tanpa lag atau kurang bermaya di dalam trafik henti dan jalan seterusnya pengecas turbo ditugaskan semasa kereta hendak bergerak laju di dalam membekalkan kuasa tanpa gangguan dan kekal bertenaga. Pengalaman memandu di lebuh raya mengiyakan konsep itu dan ternyata kuasa pada model baharu ini adalah segar dan sesuatu yang lain berbanding model S60 sebelum. Pengalamannya tidak sama seperti Volvo yang dipandu uji sebelum ini.
Dinamik Pemanduan
Apabila pedal minyak ditekan kuat, kereta meluncur laju dengan pergerakan meter yang pantas melebihi 100km/j. Ianya adalah sesuatu pengalaman baharu dan lebih menarik, dinamik pemanduan berbeza dari Volvo yang biasa saya pandu. Teorinya adalah ringkas, jika anda mempunyai sebuah enjin yang berkuasa, bagaimana anda harus mengendalikannya. Oleh itu, jurutera Volvo telah berjaya menemui titik sasaran, di dalam peningkatan pecutan, S60 T6 kemas pada laluannya dan memandangkan stereng EPAS (Electrical Power Assist Steering) mempunyai tiga mod kuasa iaitu Low, Medium dan High, seleksi paling berat iaitu High lebih sesuai semasa pemanduan agresif supaya stereng tetap pada laluan dan tidak beroleng ke kiri dan kanan. Sistem pengendalian juga diperbaharui, bahagian depan bertindak balas selari dengan pusingan stereng pemandu dan bukan malu-malu seperti sebelum ini. Bahagian belakang walau bagaimanapun terasa membuai pada kelajuan tinggi di mana faktor tersebut mungkin dipengaruhi talaan kereta yang condong kepada keselesaan dengan set suspensi yang mampu menyerap hentakan, gegaran serta lambungan secara kemas. Baru terasa seperti sebuah Volvo yang ditala untuk negara Asia dan bukan sahaja negara dengan permukaan jalan elok seperti sesetengah negara Eropah.
Sistem Bantuan Elektronik
Sistem bantuan elektronik banyak memberi kelebihan kepada kereta ini. Di dalam membuat keputusan membeli kereta mewah, seseorang harus bertanya selain dari jenama dan prestij apakah ada kelebihan lain yang dimiliki? Kadang-kala, sesebuah model itu mewah pada nama sahaja dengan kelengkapan lebih kurang sama dengan jenama kebanyakan. Volvo memberi definisi tersendiri apabila anda mencari jawapan kepada persoalan ini. Teknologi canggih yang terbina di dalam S60 T6 memberi justifikasi kenapa ianya sebuah kereta premium dan bagaimana Volvo memberi nilai terhadap harga yang dibayar pembeli.
Di antara kelengkapan bantuan pemanduan S60 T6 ialah Lane Keeping Aid (LKA) yang akan memusingkan stereng mengikut laluan yang perlu diikuti secara automatik jika pemandu tersasar secara tiba-tiba dan tiada respon dari pemandu. LKA berfungsi pada kelajuan di antara 65km/j sehingga 200km/j. Sistem ini sangat berguna ditetapkan pada pemanduan santai di atas lebuh raya atau trafik yang sibuk. Pemanduan berprestasi kurang sesuai menggunakan tetapan ini memandangkan input automatik dari stereng akan menggangu fokus dan kebebasan putaran stereng secara manual. Adaptive Cruise Control pula adalah seleksi yang saya gemarkan di mana kereta bergerak secara automatik mengikut kelajuan kenderaan hadapan dan tidak memerlukan pemandu untuk menekan brek apabila kenderaan depan diperlahankan atau dihentikan sepenuhnya. Kelajuan S60 T6 akan direset secara automatik mengikut tetapan asal oleh pemandu sebelum kereta hadapan diperlahankan. City Safety pula berfungsi pada kelajuan sehingga 50 km/j dengan kereta akan diperlahankan secara automatik dan dihentikan apabila kenderaan di depan memperlahankan kelajuan atau berhenti sepenuhnya.
S60 T6 tidak didatangkan dengan kamera undur dan pembeli perlu memilih opsyen ini sebagai tambahan, suatu yang agak ralat pada masa kereta kebanyakan pun sudah dilengkapi dengan fungsi tersebut. Walau bagaimanapun, pemandu dibantu oleh Cross Traffic Alert yang berfungsi dengan menggunakan radar pada belakang kereta untuk memberi amaran kepada pemandu jika ada objek sewaktu keluar dari parkir. Berbeza dengan buzzer undur kebanyakan kereta, sistem ini mempunyai jangkauan yang lebih meluas cuma lebih sempurna jika digabungkan dengan kamera undur sebagai aksesori standard. Menyentuh mengenai parkir, Park Assist Pilot akan mengesan ruang sisi kiri atau kanan yang kosong secara automatik dan kemudiannya memarkir kereta tanpa pemandu bersusah payah untuk memulas stereng ke kiri dan kanan. Walaupun membantu, kadang kala sistem ini berjaya mengesan slot kosong dengan kadar yang cepat dengan senyuman puas pada pemandu atau ada masanya agak lambat dan boleh meresahkan pemandu termasuk kereta belakang yang menunggu.
Sistem bantuan pemanduan diperkayakan lagi dengan Road Sign Information iaitu paparan papan tanda jalan raya yang disiar semula pada instrumen meter. Sistem ini boleh digabungkan dengan fungsi Speed Alert yang membolehkan amaran visual dipaparkan pada meter kelajuan jika dipandu melebihi had yang ditetapkan. Teknologi Auto Stop/Start turut dilengkapi pada model ini. Sistem itu berfungsi dengan enjin direhatkan di dalam keadaan melahu dan dihidupkan semula apabila pedal brek dilepaskan. Memandangkan penyaman udara tidak disejukkan semasa sistem itu berjalan, fungi Auto Stop/Start dinyahkan pada cuaca panas. Menjadikan penggunaan bahan api lebih cekap, S60 T6 mempunyai mod pemanduan Eco yang merendahkan prestasi enjin dan juga mematikan penyejuk udara. Volvo turut melengkapi S60 T6 dengan teknologi khusus untuk pemanduan malam iaitu Active High Beam. Volvo prihatin dengan suluhan yang menyilaukan kenderaan mendatang, teknologi itu membantu apabila pemandu tidak perlu bersusah payah menukar kepada mod lampu rendah. Sistem ini berfungsi apabila cahaya dimalapkan secara automatik apabila berselisih dengan kenderaan melalui bantuan modul projektor yang terletak pada kelongsong lampu. Active Bending Light pula ciri yang menyenangkan di mana lampu utama turut sama ‘membelok’ mengikut darjah pusingan kenderaan. Manakala Cornering Light pula memberi pencahayaan tambahan pada sisi depan kenderaan semasa kelajuan perlahan yang berguna untuk memarkir kereta.
Kesimpulan
Volvo S60 T6 Drive-E tanpa kelengkapan R-Design dijual pada harga RM280,888 (dengan CBP, tanpa insurans). Sepanjang 8 hari bersama kereta ini, fikiran saya ligat berfikir adakah harga tersebut memadai dengan nilai yang diberikan. Saya seronok memandunya malah suka bermain dengan teknologi canggih yang dilengkapi terutama sekali Adaptive Cruise Control. Lane Keeping Aid dan sistem pengesanan mengantuk membantu saya di dalam keadaan lalai manakala bunyi amaran pelanggaran pula memberitahu saya semakin hampir dengan kenderaan depan. Kuasa yang dibekalkan enjin Drive-E pula sedap diteroka dengan purata penggunaan minyak 9.8l/100 km.
Secara perbandingan terus, harga S60 T6 lebih rendah dari BMW 330i M Sport (RM297.8 ribu) dan Mercedes-Benz C 250 AMG Line (RM287,888 ribu) tetapi lebih mahal berbanding BMW 320d M Sport (RM268.8 ribu). Selain daripada jenama terkenal, terdapat aspek lain yang harus dipertimbangkan seperti kelengkapan teknologi terutama sekali sistem keselamatan. Jenama Volvo mungkin tidak selalu melintasi garis masa media sosial atau dimiliki personaliti tetapi jika anda mengkaji dan membuat perbandingan, insya Allah kelebihan S60 T6 akan nampak jelas. Membeli kereta bukan sekadar ikut-ikutan dan itulah rungkaian jawapan kepada kepada persoalan saya tadi.
Rujukan harga: CarBase.my (Julai 2016)
Galeri Volvo S60 T6 Drive-E
2 comments
Review yang mapan dan lengkap
Author
Terima kasih bro 🙂