Pandu Uji Singkat Proton Perdana 2.0 dan 2.4 Di litar Ujian Proton, Shah Alam

Proton Perdana Short Test Drive.2016.03

Proton Perdana 2.0 dan 2.4 baharu sudah pun berjaya dilancarkan. Sebelum dijual secara rasmi, Proton telah menjemput pihak media sebanyak dua kali untuk dipertontonkan. Kali pertama ialah previu bersama mantan Pengerusi Proton Holdings, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan beberapa pengurusan tertinggi syarikat. Sesi previu kedua pula ialah bersama pengurusan baharu di mana pihak media diberi peluang untuk memandu uji model flagship nasional itu. Berikut ialah ulasan mengenai pandu uji singkat di litar ujian Proton di Shah Alam.

Rekabentuk

Proton Perdana baharu menggunakan platform Honda Accord generasi kelapan dan umum diketahui bahawa model itu pada asalnya direka semula eksklusif untuk kegunaan kerajaan. Untuk fasa kedua, Proton dibenarkan mengubah bahagian luar kenderaan dan mengemas kini interior supaya lebih relevan dengan trend semasa.

Untuk model jualan kepada umum, Accord mempunyai lebih kebebasan untuk dijelmakan sebagai sebuah Proton dengan identiti tersendiri. Tambahan pula, perubahan estetik yang signifikan diperlukan memandangkan respon Mitsubishi Lancer yang dijenamakan semula sebagai Proton Inspira agak kurang memberangsangkan jika dihakimi melalui maklum balas warga siber. Dengan Perdana fasa kedua ini, Proton telah mengolah sebanyak mungkin supaya sekali pandang, nampak jelas bahawa kereta yang dibangunkan ini adalah Proton dan bukan sebuah Honda yang ditukar lencana, bampar depan dan belakang sahaja.

Proton Perdana Short Test Drive.2016.01

Perdana baharu berada di dalam segmen D iaitu pasaran yang hampir kepada kategori mewah. Pesaingnya ialah Honda Accord, Toyota Camry, Nissan Teana, Kia Optima K5, Hyundai Sonata, Peugeot 508 dan Ford Mondeo. Berada di dalam segmen itu ‘memaksa’ Proton untuk tampil dengan rekabentuk setara dan boleh dikatakan hasil akhirnya tidak kalah jika diparkir sebelah menyebelah di antara model keluaran jenama global. Walaupun Perdana diasaskan dari Accord generasi kelapan namun perbezaannya nampak ketara.

Bahagian hadapan menggunakan bahasa rekaan semasa Proton yang sopan dan lembut seperti Iriz namun masih mempunyai bayangan harimau seperti Gen.2, Persona dan Satria Neo. Bilah gril ‘Proton Wings’ kini mempunyai dua barisan dan selari dengan lampu utama dan diserlahkan lagi melalui lampu signal LED. Di bahagian bawah pula, garisan horizontal krom menambah efek mewah Perdana dengan jeriji hitam yang nampak garang, mengimbangi imej lembut pada barisan jeriji dan lampu utama. Pada bahagian sisi, imej premium diteruskan melalui penggunaan sirip pada fender.

Bahagian hadapan Perdana digayakan dengan harmoni hingga ke bahagian belakang yang pada asalnya nampak mengembang pada model Accord generasi kelapan. Tiang C dilandaikan ke belakang dan turun ke bonet seolah-olah sebuah Jaguar XJ dan ianya dilakukan dengan kemas sekali. Lampu belakang direka sempurna yang kelihatan seperti evolusi lampu belakang Persona atau Preve manakala palang krom melintang pula menambah lagi efek premium Perdana.

Bampar belakang pula kelihatan janggal, pada previu pertama kit badan dan peresap (diffuser) Perdana diwarnakan dua tona seperti Iriz manakala muncung ekzos berkembar pula berwarna krom, selari dengan trend kereta mewah. Disebabkan beberapa faktor, pengurusan Proton membuat keputusan untuk mewarnakan kesemua kit badan satu tona dengan warna badan seterusnya menampakkan ekstra ruang pada bahagian belakang sisi kereta. Setidak-tidaknya bahagian peresap bampar tersebut boleh diwarnakan hitam manakala kit badan sisi dan lips depan mengikut warna badan kereta. Mujurlah lampu reflektor bampar dihias dengan bingkai krom yang merupakan identiti Perdana V6 sebelum ini.

Proton Perdana Short Test Drive.2016.02

Bahagian interior pula tidak banyak berubah dari Accord kecuali skema warna, sistem multimedia dan navigasi. Model 2.4 menggunakan kerusi balutan kulit sepenuhnya dengan warna beige dan kelabu gelap. Penggunaan tema warna itu menjadikan Perdana tampak mewah sebaris dengan pesaing di dalam segmen D. Model 2.0 pula menggunakan kerusi campuran kulit dan fabrik dengan interior gelap sepenuhnya. Pereka Proton mengimbas kembali identiti Perdana V6 melalui tulisan Perdana pada kerusi pemandu dan penumpang depan, yang merupakan imbauan manis untuk penggemar Perdana V6.

Menggunakan platform Accord menjadikan ruang penumpang belakang begitu lega dan tidak menjadi masalah untuk penumpang menggerakkan kaki beberapa langkah tanpa terhalang dengan kerusi depan. Penumpang belakang turut boleh merasa hembusan angin sejuk melalui corong penyaman udara pada perehat lengan.

Kelengkapan dan Keselamatan

Honda Accord mempunyai 3 varian iaitu model dengan kelengkapan asas 2.0 VTi-L, model pertengahan 2.0 VTi-L dan 2.4 VTi-L. Model VTi-L berkongsi kelengkapan yang sama kecuali sesaran enjin. Strategi tersebut membolehkan lebih akses kepada pengguna dengan bajet tersendiri atau untuk mereka yang merasakan enjin 2.4 terlalu besar untuk kegunaan harian. Proton Perdana dipasarkan melalui dua varian sahaja iaitu 2.0 dan 2.4. Selain dari enjin, kelengkapan kedua-dua model itu tidak banyak berbeza, bergantung kepada apa yang kritikal untuk anda. Berbeza dengan varian 2.0, model tertinggi 2.4 dilengkapi kerusi kulit penuh, lampu LED larasan ketinggian automatik, kit badan penuh, ESC, tuil penganjak gear pada stereng, navigasi GPS, sistem multimedia dengan pemain DVD, subwoofer, kerusi pemandu dan penumpang depan larasan elektrik. Dari segi keselamatan pula, kedua-dua varian dilengkapi empat beg udara dan ABS dengan EBD. Agak ralat apabila ESC tidak dijadikan kelengkapan standard pada varian 2.0

Proton Perdana Interior.2016.08

Pemanduan

Pihak media dimaklumkan bahawa Perdana baharu tidak mempunyai pengubahsuaian mekanikal berbanding kereta yang disumbangkan di mana talaan enjin dan transmisi Accord 2.4 dan 2.0 i-VTEC masih dikekalkan. Malah, sistem suspensi juga tidak disentuh dan sejujurnya saya tidak pasti apa yang hendak dijangkakan kerana ianya masih sebuah Honda dengan karakternya yang tersendiri. Ternyata jangkaan itu silap sebaik sahaja Perdana ini dipandu.

Bahagian kejuruteraan dinamik Proton memang pintar menggunakan ruang dengan kebebasan yang terhad di dalam membangunkan kenderaan. Memandangkan Honda tidak membenarkan pengubahsuaian talaan suspensi dan tayar OEM sudah tidak berada di pasaran, apa yang jurutera Proton lakukan ialah mereka membangunkan sendiri tayar dengan pengeluar OEM Goodyear. Suatu yang bijak di mana penggunaan tayar istimewa EfficientGrip untuk Perdana ini berjaya ‘lari’ dari tipikal kenderaan Honda dengan membawa sedikit DNA sebuah Proton yang berasal dari Shah Alam, Selangor berbanding Accord dari Pegoh, Melaka. Pemanduan terasa lebih jitu dengan serapan permukaan jalan oleh tayar baharu ini. Lain-lain aspek seperti pengendalian, bagaimana kereta ini bertindak balas dan daya brek masih lagi terasa seperti Honda Accord termasuklah karakter enjin. Sama seperti model Accord 2.0, karakter enjin Perdana 2.0 terasa lebih lincah berbanding varian Perdana 2.4 dan jika anda tidak kisahkan kelengkapan, model 2.0 sudah memadai yang pastinya dengan harga lebih rendah.

Kesimpulan

Memandangkan sesi pandu uji ini terhad di dalam litar ujian Proton sebanyak 2 pusingan sahaja untuk setiap varian tidak banyak yang boleh diulas. Namun munasabah untuk dikatakan bahawa model ini ialah sebuah Accord yang berwajahkan Perdana. Kebaikannya ialah anda membeli sebuah model dengan kejuruteraan yang telah terbukti ketahanannya dengan pakejing baharu Proton. Tidak juga salah untuk dikatakan bahawa kereta ini ialah sebuah Honda pada harga sebuah Proton.

Walau bagaimanapun, itu tidak bermakna Proton hanya menumpang tuah Honda, malah pengeluar kereta nasional itu melalui pengetahuan serta pengalaman rekabentuk dan kejuruteraan yang mereka miliki telah digunakan dengan jayanya di dalam membangunkan sebuah kereta luar dengan pengaruh tersendiri. Apa yang anda lihat ialah sebuah rekaan yang kemas, terkini dan elegan dengan sedikit sentuhan DNA pemanduan dan pengendalian Proton.

Kit badan dua tona seperti previu asal bersama media.

Kit badan dua tona seperti previu asal bersama media.

Proton juga tidak diam malah nampak seronok di dalam projek Perdana ini apabila sudah merancang untuk menggunakan enjin dan transmisi sendiri bagi menggantikan nadi kuasa yang dibekalkan Honda sehingga tahun 2017 sahaja. Jurutera Proton juga kelihatan teruja untuk menyuntik lebih banyak DNA Proton supaya Perdana ini dijelmakan sebanyak mungkin sebagai sebuah Proton di mana apabila anda memandu, dapat dirasakan bahawa kereta ini adalah sebuah Proton yang kita kenali dan bukan setakat sebuah kereta asing yang dilekapkan lencana baharu sahaja.

Setakat ini, keperluan untuk menjadikan Perdana sebagai sebuah kereta segmen D yang kompetitif untuk pasaran semasa sudah dipenuhi oleh Proton.

Perdana ditawarkan melalui 6 pilihan warna iaitu Graphite Grey, Sterling Silver, Ruby Red, Cotton White, Midnight Black dan Citrine Gold. Untuk harga pula, Proton Perdana 2.0 dipasarkan pada RM 113,888.00 manakala Perdana 2.4 pada RM138,888.00 (di atas jalan). Berdasarkan perbandingan secara relatif, harga ini adalah yang terendah di dalam segmen D – suatu yang janggal apabila ada yang membandingkan dengan segmen C iaitu kereta bersaiz lebih kecil dengan konsep berbeza.

Silakan kongsi:

1 comment

    • Azam on 06/08/2019 at 10:57 PM
    • Reply

    Terima kasih kerana masih memberi reaksi positif pada proton

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.