Apabila seseorang menyebut SUV boleh jadi ramai yang akan merujuk kepada Honda CR-V. Di depan dan belakang ada Honda CR-V. Model itu begitu popular hingga menjadi nama isi rumah tetapi sebelum itu ada sebuah model SUV yang tidak kurang popularitinya iaitu Nissan X-Trail. Jika CR-V ada di depan dan belakang, X-Trail pula berada di kanan dan kiri. Persaingan itu dibawa ke generasi baharu dengan CR-V lebih terarah kepada kenderaan urban manakala X-Trail masih lagi setia dengan gayaan lasak dan utilitarian (lebih fungsi berbanding gaya). Tiada jawapan betul atau salah, kedua-dua model itu mempunyai kekuatan tersendiri.
Baru-baru ini saya memandu uji Nissan X-Trail generasi kedua yang diberi wajah baharu dan sememangnya tidak boleh lari untuk membandingkannya dengan Honda CR-V. Sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Taiping, Perak fikiran saya begitu sibuk memikirkan perbezaan di antara X-Trail dengan CR-V dan kenapa generasi kedua itu kurang mendapat sambutan jika diukur daripada segi jualan. X-Trail generasi pertama ditawarkan dengan dua versi enjin iaitu bersesaran 2.0 liter dan 2.5 liter. Model generasi pertama begitu popular dengan imejnya yang ranggi dan lasak jadi tidak hairanlah model itu turut digunakan oleh agensi kerajaan. Sehingga kini pun X-Trail generasi pertama masih banyak mendominasi jalan raya tempatan.
Dengan generasi kedua, Edaran Tan Chong Motor menggunakan stratergi berbeza apabila hanya memasarkan varian enjin tunggal iaitu 2.0 liter dengan pacuan dua roda. Jujurnya imej X-Trail seperti seorang lelaki yang lasak dengan baju kotak-kotak dan seluar jeans yang suka dengan aktiviti lasak. SUV itu sememangnya dibayangkan sebagai sebuah kenderaan yang mampu keluar masuk belantara dengan selamba tetapi oleh kerana tuntutan pasaran masa kini yang berbeza maka mungkin sebab itu stratergi pemasarannya juga turut berubah. Gayaan X-Trail yang lasak itu dilembutkan dengan karakter yang lebih sesuai dengan pasaran urban. Dengan itu rasionalnya terserlah apabila bercakap mengenai kuasa. Memandangkan enjin hanya perlu menggerakkan dua roda hadapan sahaja menjadikan X-Trail lebih mudah untuk digerakkan. Masalah dengan SUV ialah kuasa enjin yang tidak padan dengan berat kenderaan itu sendiri dan saya merasakan X-Trail mempunyai kuasa yang memadai dan paling penting pemandu harus tahu untuk mengerjakan atau mengekstrak sesebuah nadi kuasa. Untuk mendaki curam, pemandu perlu berkerja sedikit dengan bermain dengan seleksi transmisi CVT enam kelajuan yang dibekalkan, alih sahaja seleksi gear D kepada mode manual dan bermainlah dengan gear rendah hingga gear tinggi, fungsi dan kaedahnya sama sahaja seperti gear manual dan saya seronok bermain-main dengan fungsi gear itu.
Untuk aspek pemanduan dan pengendalian pula, satu kelebihan yang dikongsi oleh barisan produk Nissan seperti Almera dan Teana ialah keselesaannya dan itu tidak terkecuali untuk X-Trail yang berjaya menyerap hentak lopak dan lantunan jalan raya dengan baik. Dari segi kejituan stereng tidak lah pula karakternya seperti kereta sport tetapi cukup baik dalam menjalankan tugasnya untuk sebuah SUV malahan ianya mudah untuk dikemudi terutama sekali bagi pemandu wanita. Pada bahagian dalaman, konsep binaannya adalah menegak dengan papan pemuka yang berkotak-kotak dengan pelbagai tempat simpanan barang. Di kiri dan kanan corong penyaman udara dibekalkan tempat meletak minuman yang sangat bagus untuk menyejukkan minuman melalui hembusan angin sejuk. Meter bacaan digital pula menarik untuk dilihat seolah-olah mengambil konsep rekaan jet pejuang. Lebih menarik lagi, kerusi pemandu dan penumpang sebelah mempunyai suiz larasan automatik yang sangat menyenangkan dan belum dapat ditandingi oleh Honda CR-V generasi baharu. Satu lagi perkara yang digemari oleh bonet belakang yang didatangkan dengan pelbagai tempat letak barang. Bonet yang luas itu mempunyai laci untuk menyimpan kasut dengan penutup tonneau yang terpisah dua memudahkan penumpang jika ingin mengambil barang dari dalam kenderaan. Akses untuk membuka bonet pula tanpa perlu menggunakan kunci (keyless entry) di mana pengguna hanya perlu menukar butang akses dan begitu juga untuk pintu-pintu lain.
Setelah memandu uji X-Trail selama empat hari tiga malam sehingga ke Taiping saya mendapati ianya cocok untuk mereka yang tidak sukakan perhatian dan tampil dengan imej bersahaja. Dengan X-Trail anda tidak berasa seperti memandu sesuatu yang mewah dan glamor tetapi memandu kenderaan yang praktikal. Ianya turut sesuai untuk belian korporat atau kenderaan kerja misalnya firma minyak dan gas atau badan kerajaan yang tidak mahukan sifat mewah dan cukup dengan sifat utiliti yang ada. Kepada mereka yang tetap mahukan X-Trail dengan imej yang lebih urban anda bakal memperolehinya melalui generasi baharu SUV itu yang baru sahaja dilancarkan di peringkat global pada September lepas. Harapnya Nissan masih mengekalkan sifat utilitarian kerana itulah DNA dan kelebihan X-Trail selama ini.
@muhd_gt