Pengenalan
Nissan X-Trail mempunyai legasi yang terpahat di kalangan pemilik dan pemerhati SUV. Model pertama bersaing rapat dengan Honda CR-V. Memilih antara keduanya pula tidak sukar jika anda tahu tujuan pembelian sama ada untuk rekreasi atau meredah hutan bandar. Jadi tidak hairanlah jika X-Trail lebih digemari agensi kerajaan atau firma swasta yang cenderung kepada kegunaan separa lasak. CR-V generasi pertama walaupun mempunyai sistem 4WD tetapi lebih digemari orang persendirian untuk membawa keluarga atau bisnes umum.
Memasuki generasi kedua, X-Trail tidak begitu popular walaupun masih mengekalkan imej maskulin dan utilitarian. Boleh jadi selera pengguna sudah beralih kepada SUV dengan imej urban manakala agensi kerajaan pula mempunyai lebih pilihan seperti Toyota Fortuner, Ford Explorer atau pun Mitsubishi Pajero Sport. Mengambil kira kelebihan yang ada pada model pesaing lain dan perubahan selera pengguna, Nissan melancarkan X-Trail generasi ketiga (T-32) sebagai peluru baharu supaya lebih tepat menembusi pasaran global seterusnya menyaingi Honda, Mazda dan barisan SUV buatan Korea.
Edaran Tan Chong Motors (ETCM) melancarkan Nissan X-Trail T-32 pada Januari lepas dan pada Aidil Fitri baru-baru ini saya diberi peluang untuk memandu uji varian 2WD. Sewaktu mula dilancarkan, di antara kelengkapan yang menarik perhatian ialah konfigurasi kerusi 5+2 yang tidak dimiliki oleh pesaing terdekat seperti Honda CR-V dan Mazda CX-5. Kita tinggalkan ciri tersebut sebentar.
Luaran
Jauh meninggalkan Almera, rekabentuk luaran Nissan generasi baharu seperti Sylphy, Teana lebih dinamik dengan permukaan beremosi dan beralun. X-Trail tidak terkecuali dengan terus menyingkirkan reka bentuk bersegi dan berkotak yang terdapat pada model terdahulu. Bahagian sisi depan mengekalkan arca seperti Sylphy dan Teana yang saya perhatikan mula diperkenalkan pada Nissan 370z. Bahagian sisinya pula turut beralun dari depan yang secara keseluruhannya menampakkan imej harmoni dan tidak berkelahi. Dengan permukaan yang diadun begitu, Nissan berjaya menampilkan imej X-Trail sebagai sebuah SUV bertenaga, segar, dinamik dan athletic. Jika diparkir sebelah menyebelah di antara pesaing lain seperti Honda CR-V dan Mazda CX-5, SUV buatan Nissan ini tampil gah bahkan tampak lebih besar berbanding CR-V dan tidak kalah dengan rekabentuk luaran CX-5.
Tampil lewat di antara kedua pesaing terdekat tadi, X-Trail dibekalkan lampu DRL berbentuk Boomerang yang menyala dengan jelas di atas jalan raya, turut menjadikannya kompetitif ialah lampu utama nyalaan automatik. Wajah depan X-Trail pula menampilkan gril korporat V baharu Nissan manakala bahagian belakangnya pula biasa sahaja bahkan bentuk lampu mempunyai iras Toyota Harrier. Untuk kombinasi roda, X-Trail dipasangkan rim bersaiz 17 inci dengan tayar Dunlop Grandtrek 225/65. Memandangkan X-Trail ini agak tinggi, terasa ralat apabila ianya tidak dibekalkan dengan pemijak kaki sisi sama ada standard atau aksesori pilihan. Kanak-kanak terpaksa memanjat atau memerlukan bantuan orang dewasa untuk memasuki SUV ini. Seperti juga Nissan Serena S-Hybrid, X-Trail tidak ditawarkan opsyen aksesori keluaran Impul atau Nismo yang khabarnya masih di dalam proses pembangunan. Berbeza dengan Honda yang sudah bersedia dengan aksesori Modulo semasa pelancaran.
Dalaman
Kecuali Almera dan Sylphy (berlainan segmen), interior Teana dan juga X-Trail boleh dipuji bahkan melebihi standard yang ditawarkan pesaing terdekat. Papan pemuka dan kulit pintu dibalut dengan material sentuhan lembut menjadikannya nampak dan terasa premium. Rekabentuknya juga kontemporari dengan pengaruh jenama mewah Infiniti. Varian yang dipandu uji dipasangkan sistem multimedia dengan fungsi navigasi. Namun yang menariknya serta tidak ada pada CR-V dan CX-5 ialah 360° Around View Monitor, dengan paparan bermula dari depan, sisi dan belakang. Sistem ini sangat membantu dan insya Allah dapat mengelakkan geseran dan kemalangan sewaktu keluar dan masuk parkir. Cuma yang menjadi masalah ialah paparan visualnya yang tidak berapa jelas dan lebih kelam pada waktu malam. Kualiti pembesar suara pula tidak berapa syok dan harus dipertingkatkan lagi. Walau bagaimanapun pakej kamera 360 AVM harus dipuji dan pertama seumpamanya apatah lagi jika hendak dibandingkan dengan CR-V pra-facelift yang tidak didatangkan dengan sensor undur. Grafik sistem talaan kenderaan juga canggih yang dikombinasikan di dalam Advanced Drive Assist Display, (ADAD) bersaiz lima inci yang diletakkan di tengah gugusan meter rpm dan kelajuan. Juga standard ialah sistem kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin.
Kecemerlangan pakej interior diserlahkan lagi dengan jumlah tempat duduk 5+2 di mana barisan kedua mempunyai cangkup ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak. Dilema mengenai kerusi barisan ketiga ialah kegunaannya yang tidak relevan dek kerana ruang kecil namun fungsi tersebut merupakan bonus dan boleh dilipat simpan jika tidak digunakan. Walaupun terbatas namun kerusi barisan kedua boleh digerakkan ke depan membolehkan penumpang kanak-kanak mempunyai ruang tersendiri sementara melayan tablet mereka. Ciri tersebut nyata memberikan kelebihan bersaing yang tidak dimiliki SUV sekelas dengannya. Walau bagaimanapun, saya kurang selesa dengan dudukan kerusi barisan kedua yang terasa agak tinggi manakala bahagian pelapik peha kerusi pemandu pula terasa sedikit kecil dan mengambil masa untuk membiasakannya.
Pengalaman Pemanduan
Posisi pemanduan dan suasana dalaman X-Trail mengekalkan DNA yang sama seperti Sylphy dan Teana. Kecuali kerusi pemandu yang mengambil masa untuk membiasakannya dan selain itu saya tidak mengalami masalah besar. ETCM juga berkompromi dengan tidak menawarkan kerusi larasan automatik yang saya fikir bukanlah masalah utama. Selain daripada itu, butang kawalan mudah dicapai dan ergonomik, sentuhan tangan pada bahagian interior terasa premium. Saya juga tidak mengambil masa yang lama untuk membuat capaian bluetooth dengan telefon bimbit yang kadang-kala boleh menjadi rumit.
X-Trail yang dipandu uji adalah versi 2.0L dengan enjin Twin CVTC yang berupaya menghasilkan kuasa mencecah 144PS @ 6,000rpm dan tork maksimum 200Nm @ 4,400rpm. Kuasa enjin baharu dengan teknologi sistem pancitan terus itu dialihkan ke jalan melalui transmisi Xtronic CVT mode manual 7 kelajuan dan mode ECO bagi penggunaan penjimatan bahan api yang lebih baik. Mungkin ada yang tidak gemar dengan transmisi CVT berbanding transmisi automatik konvensional namun lama-kelamaan saya dapat membiasakannya dan harus tahu penggunaan transmisi CVT sudah meluas sekarang ini sehinggakan Subaru turut menggunakannya pada WRX baharu. Dalam tempoh pandu uji, prestasi X-Trail agak bagus dan tidak terasa seperti menunda besi yang besar dan berat. Faktor itu antaranya disumbangkan oleh pacuan dua roda (2WD) hadapan yang lazimnya menggunakan pacuan empat roda. Beban mekanikal dan seretan menjadi kurang dan agak bertenaga jika dibandingkan dengan SUV dengan pergerakan empat roda. Jika ditanya secara peribadi, konfigurasi seperti ini lebih sesuai untuk pemanduan urban dan jarang benar kita lihat pemilik SUV seperti ini menggunakannya untuk meredah hutan atau pun ke tapak pembinaan.
Dengan teknologi canggih yang menjadi standard kepada kebanyakan kereta hari ini, gelinciran roda dapat dikurangkan dengan sistem cengkaman elektronik dan sebagainya. Menyedari keperluan itu, Nissan menggunakan teknologi yang dipanggil Active Chassis Control yang terdiri daripada tiga sistem iaitu Active Ride Control yang mengawal kuasa enjin dan brek supaya pemandu lebih yakin dan selesa di dalam keadaan jalan yang tidak rata. Active Engine Brake pula menambah kuasa membrek enjin dan mengurangkan beban kepada pemandu sewaktu mengambil selekoh atau membrek. Active Trace Control pula berfungsi dengan mengawal kuasa brek pada setiap roda berdasarkan corak pemanduan yang diukur dari pergerakan stereng, pecutan dan brek sewaktu melalui jalan berliku atau sama ada memasuki atau menyusur keluar dari lebuh raya. Teknologi ini membantu pemandu dengan mengekalkan laluan yang optimal sewaktu menyelusuri selekoh. Lebih teruja apabila aplikasi sistem Active Ride Control dimaklumkan kepada pemandu melalui paparan skrin digital (ADAD) pada meter.
Tidak cukup dengan sistem yang saya nyatakan tadi, X-Trail turut dibekalkan dengan barisan teknologi keselamatan seperti Vehicle Dynamic Control (VDC), Traction Control System (TCS) dengan Active Brake-Limited Slip (ABLS), Anti-Lock Braking System (ABS) dan Electronic Brake Force Distribution (EBD) dengan Brake Assist (BA). Saya jarang teruja dengan pemanduan dan pengendalian kereta buatan Nissan tetapi saya boleh memuji X-Trail ini, kesemuanya secukup rasa, suspensi tidak terasa terlalu keras atau lembut, kejituan sewaktu selekoh juga memuaskan manakala suasana dalaman juga senyap. Terasa seperti memandu sebuah kenderaan buatan Eropah.
Di sebalik sebaris ciri-ciri canggih yang dibekalkan, saya rasa ramai yang kecewa apabila ETCM memutuskan untuk memasang hanya dua beg udara. Kesemua teknologi canggih yang dipasangkan terpaksa berkompromi dengan setidak-tidaknya tambahan dua lagi beg udara yang kini sudah menjadi standard kebanyakan kereta di pasaran.
Kesimpulan
Berada lewat dipasaran, ETCM mengambil kesempatan yang ada untuk menawarkan pakej yang menawan dan lengkap dengan pelbagai ciri-ciri praktikal, canggih dan selamat. Paparan kamera yang memudahkan pemandu, material dalaman yang setanding dengan harga dan kerusi tambahan pada barisan ketiga menjadikan bakal pembeli di dalam segman ini berada di dalam dilema untuk membuat keputusan. Pemanduan dan pengendalian yang boleh dipuji dan penggunaan purata minyak 10.5km/l menyempurnakan lagi pakej X-Trail generasi ketiga ini. ETCM memasarkan Nissan X-Trail 2.0 2WD pada harga di atas jalan RM141,320.01 dan tambahan sekitar RM6,765 diperlukan untuk skrin multimedia 8″ dengan sistem navigator dan interior kombinasi balutan kulit.
Pada harga yang tidak jauh berbeza dengan pesaing lain, saya percaya Nissan X-Trail boleh memberi ancaman serius kepada Honda CR-V dan menjadi pilihan popular di dalam segmen ini. Nissan dan Honda pula boleh mengikuti bagaimana Mazda memasarkan CX-5 dengan strategi berbilang harga dengan varian paling asas di atas jalan sekitar RM130,000. Buat mereka yang tidak kisah dengan jumlah bilangan beg udara dan percaya kepada sistem keselamatan sedia ada, Nissan X-Trail ini adalah pilihan yang tepat. Kekurangan yang ada ditebus dengan ciri dan keistimewaan lain yang tidak ada pada pesaing dan beginilah cara persaingan berfungsi. Lebih kompetitif lebih menguntungkan pengguna.
@muhd_gt