Pandu Uji Nissan Almera Impul: Muda dan Muda Di Hati!

Nissan Almera Impul 2013.09

Nissan Almera merupakan produk terlaris Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) selaku pengedar dan pemasang rasmi kenderaan Nissan di Malaysia. Buktinya boleh dilihat di atas jalan raya di mana banyak sekali yang memandu Almera. Faktor penting jualannya adalah harga yang berpatutan, saiz yang besar dan keyakinan pengguna terhadap jenama Nissan itu sendiri. Faktor yang lain ialah Almera merupakan produk paling baharu jika dibandingkan dengan pesaing lain seperti Toyota Vios, Honda City dan Proton Persona.

Nissan Almera Impul 2013.07

Sewaktu Almera mula diperkenalkan saya baru sahaja selesai memandu uji Nissan Grand Livina Impul. Pada waktu itu, saya sempat meminta pegawai ETCM untuk memberikan slot pandu uji Almera Impul berbanding Almera standard. Model talaan Impul sebenarnya lebih saya gemari memandangkan karakternya yang lebih sporty. Walau bagaimanapun, saya diberi peluang untuk memandu uji Almera standard dahulu dan ternyata ada hikmahnya. Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, ETCM berjaya mengarus perdanakan aksesori sporty yang membuka satu lagi pasaran iaitu pemandu muda. Masakan tidak, melalui Nissan Grand Livina terdapat tiga aksesori rasmi iaitu Nismo, Impul dan Autech. Ketiga-tiga jenama tersebut bukan nama picisan kerana mereka sendiri terlibat di dalam perlumbaan besar seperti Super GT Jepun. Jika dahulu peminat peralatan prestasi perlu menjelajah kedai half-cut atau membeli aksesori ‘cap ayam’ untuk memberi kelainan pada kenderaan mereka kini mereka boleh senang-senang sahaja menempah di bilik pameran. Tambahan pula peralatan tersebut baru dari kilang dan telah terbukti diuji terlebih dahulu.

Nissan Almera Impul 2013.05

Daripada luar, sudah nampak kit badan Impul berjaya mengubah karakter standard dan ‘togel’ Almera. Peralatan Aero Kit Impul terdiri daripada gril, spoiler bawah bampar depan, spoiler bawah bampar belakang, spoiler bonet belakang dan skirt sisi. Jujurnya saya masih lagi gagal untuk menghadam bahasa rekaan Almera yang konservatif dan tidak sama dengan bahasa pengeluar Jepun lain yang tajam dan menangkap. Rekaan bahagian depan dan sisi nampak seperti ada konflik dengan wajah depan yang comel digabungkan dengan sisi yang berkotak. Dari sisi nampak seperti perahu yang sarat di dalam air. Tetapi Aero Kit Impul berjaya mengubah semua itu dan selepas merenung panjang baru saya nampak terdapat pengaruh rekaan Nissan 370Z (Fairlady 4 pintu?) pada badan Almera terutama sekali bagaimana bumbung dan tiang C mendarat ke bonet belakang. Selain daripada itu, Almera nampak seperti sebuah sedan kecil tetapi saiznya adalah besar dan jika diletakkan bersebelahan dengan Proton Persona, jelas Almera lebih besar. Bahasa rekaan Almera sebenarnya menarik untuk dikaji dan dibahas.

Nissan Almera Impul 2013.04

Memandu uji Nissan Almera talaan Impul sememangnya memberikan pengalaman berbeza. Masakan tidak, kereta itu dilengkapi dengan suspensi sport Impul yang terdiri daripada penyerap hentak dan spring yang merendahkan Almera sebanyak 25mm. Daripada segi pemanduan dan pengendalian, Almera standard sudah pun mempunyai set suspensi yang bagus dalam menyerap hentakan lopak dan bonggol cuma olengannya kurang mantap. Set suspensi Impul berjaya memadam talaan tersebut di samping mengekalkan keberkesanan menyerap hentak dan mampu memberi keyakinan yang lebih sewaktu mengambil selekoh. Cuma mungkin individu yang tidak biasa mungkin akan mengadu mengenai kekerasan suspensi sport. Hubungan di antara jalan raya dan kereta ditemukan oleh roda aluminium Impul HS-06 yang dipadankan dengan tayar Goodyear Eagle F1 Directional 5 bersaiz 205/50 R16. Kombinasi rim dan tayar yang senyap dan tidak keras cemerlang dan sesuai untuk pemanduan sporty. Jurutera Impul boleh dipuji dalam mendapatkan keseimbangan di antara keselesaan dan prestasi dalam penalaan semula sedan keluarga ini.

SONY DSC

Mengenai kuasa pula, enjin Almera disegarkan semula dengan penggunaan peredam bunyi Impul Blast 2. Perubahan yang dirasakan tidak banyak selain daripada bunyi nota ekzos yang tidak ketara dan boleh dikatakan sekadar ada namun tetap diperlukan bagi mengubah sedikit karakter enjin 1.5 liter CVTC yang linear. Sewaktu memotong atau mendaki bukit di mana transmisi ditukar atau tertukar secara automatik, enjin terasa kasar dan seperti dijerkah dan bunyi yang kuat memasuki kabin. Semasa memandu dalam keadaan biasa, bunyi enjin langsung senyap dan berperwatakan baik seperti seorang budiman.

SONY DSC

Daripada segi dalaman, konsep rekaan yang tinggi menjadikan Almera terasa luas terutama sekali pada bahagian penumpang belakang. Kerusinya pula selesa untuk diduduki dan tiada masalah untuk membawa penumpang berjalan jauh. Bonet barangan juga boleh tahan dan senada dengan budaya rakyat kita yang suka pulang ke kampung. Daripada segi gajet pula, Almera ini didatangkan dengan sistem navigasi, kamera undur dan pemain DVD dengan paparan skrin sentuh. Cuma yang menjadi isu ialah paparan sistem navigasi yang tidak berapa intuitif dan boleh ditambah baik lagi. Almera yang dipandu uji juga dilengkapi dengan penyaman udara digital dan butang penghidup enjin (push start button).

Nissan Almera Impul 2013.11

Kesimpulannya, Nissan Almera talaan Impul ini berjaya mengubah karakter luaran dan pemanduan dan pengendalian standard terutama sekali untuk pelanggan muda atau yang muda di hati. Dengan saiz dalaman dan bonet yang luas menjadikan Almera kereta yang ideal untuk pasangan muda, keluarga yang kecil atau yang baru hendak berkeluarga. Dilema kebanyakan golongan ini ialah kereta yang nampak jauh lebih tua daripada usia pemandu itu sendiri dan di sinilah aksesori memainkan peranannya. Impul telah melakukan tugasnya untuk menambah ‘jiwa’ pada Almera standard supaya kereta itu seimbang di antara keperluan dan kehendak.

@muhd_gt

 

Silakan kongsi:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.