Kereta hybrid merupakan fenomena baharu untuk rakyat Malaysia. Teknologi yang mahal itu ‘dijinakkan’ oleh kerajaan dengan mengurangkan cukai sebanyak 50% pada tahun 2010 dan kemudiannya pada tahun 2011 kerajaan menghapuskan terus duti eksais dan import sehingga penghujung tahun ini. Kesan daripada polisi yang mesra rakyat itu, pengeluar mula memasarkan pelbagai jenis model hybrid antaranya Toyota Prius dan Prius C, Nissan Serena S-Hybrid, Honda Insight, Honda CR-Z dan seperti yang baru uji baru-baru ini iaitu Honda Civic Hybrid. Selain daripada kenderaan hybrid, Mitsubishi telah memasarkan i-Miev yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya manakala terdapat ura-ura Nissan akan turut memasarkan model Leaf. Harus tahu, pengeluar motosikal negara iaitu Modenas turut menjual model elektrik mereka iaitu CTric.
Sekian lama membuat pemerhatian, saya tidak pasti kenapa pasaran memberi respon yang positif terhadap kereta hybrid, melalui bacaan ada yang kata bukan kerana penjimatan minyak yang ditawarkan tetapi kerana harganya murah dek kerana pengecualian cukai. Contoh nyata ialah semasa pra-pengecualian cukai, berapa buah sangat kereta hybrid yang terjual. Jualan kereta hybrid hanya meledak dua tahun kebelakangan ini dari ratusan unit meningkat kepada belasan ribu unit yang terjual. Namun tidak dinafikan melalui testimoni yang disiarkan ramai yang gembira dengan tahap penggunaan minyak kereta hybrid. Walaupun begitu, masih ramai yang skeptikal dengan teknologi hybrid, antara alasannya ialah jumlah penjimatan sebenar, kos penyelenggaraan, jangka hayat bateri dan harga jualan semula. Jujurnya saya termasuk di dalam golongan yang skeptikal, saya pernah memandu uji kereta hybrid di bilik pameran sebelum ini dan pengalaman dalam tempoh yang singkat itu tidak mengujakan. Sifat ingin tahu dan teknologi yang ditambah baik mencambahkan semula minat untuk memandu uji di mana kali ini dengan tempoh yang lebih lama dan jarak lebih jauh.
Memasuki kabin Civic Hybrid, suasananya lebih kurang sama dengan Civic 2.0 yang saya pandu uji sebelum ini. Cuma apa yang membezakan di antara kedua model tersebut ialah kerusi kulit yang didatangkan standard dengan skema warna yang cerah. Tempat duduk pemandu selesa dan cepat untuk disesuaikan, seolah-olah saya memilikinya di rumah. Memandu ke jalan raya, kuasa enjin yang dibekalkan agak bertenaga dan mengejutkan saya yang sebelum ini memandang rendah output enjin hybrid, masakan tidak, dengan sesaran enjin 1.5 liter berapa sangatlah kuasa yang mampu dibekalkan. Magis sistem hybrid Honda terletak pada bantuan motor elektrik Integrated Motor Assist (IMA) yang membekalkan kuasa tambahan menjadikan kereta lebih bertenaga dan seronok untuk dipandu.
Ringkasnya, sistem motor elektrik (IMA) dan enjin saling berkerjasama dalam menggerakkan kereta. Kaedahnya begini, sewaktu enjin mula dihidupkan, IMA dan enjin sama-sama berfungsi dan begitu juga semasa pemandu mula memecut dan apabila kereta dipandu laju, IMA dihentikan dan enjin beroperasi secara tunggal. Apabila kereta dipandu secara perlahan atau sewaktu kenderaan meluncur, IMA pula beroperasi manakala silinder enjin dihentikan. Lebih menarik, sewaktu nyahlaju atau membrek, bateri Lithium-Ion dicas semula melalui tenaga yang dilepaskan. Menambah lagi resepi penjimatan minyak ialah sistem start/stop yang menghentikan kuasa enjin semasa kereta diberhentikan dan ianya amat berguna semasa di lampu isyarat, kesesakan atau pun beratur untuk membayar tol. Pemandu juga dapat merasa bagaimana enjin dihentikan dan dihidupkan semula melalui gegaran kecil dan agak seronok sebenarnya melihat bagaimana sistem itu berfungsi. Menambah lagi keterujaan terhadap teknologi canggih hybrid ialah bagaimana sistem itu beroperasi yang dipaparkan melalui Intelligent-Multi Information Display (i-MID) pada papan pemuka. Pemandu dan penumpang dapat melihat melalui grafik yang dipaparkan sama ada enjin beroperasi melalui bateri, minyak atau kedua-duanya sekali dan semasa bateri dicas. Turut dipaparkan ialah skor penjimatan minyak sama ada kereta dipandu dengan ekonomikal atau sebaliknya. Standard pada kenderaan Honda moden ialah butang mode Econ yang menala semula operasi kereta ke arah penjimatan. Secara peribadinya saya tidak menggemari mode tersebut kerana kereta lebih lemah dan tidak responsif. Sewaktu memandu uji Civic Hybrid di dalam dan luar bandar, saya menggunakan mode Econ secara berselang seli dan catatan purata penggunaaan minyak yang diperolehi ialah 14.7km/liter. Penggunaan minyak boleh dijimatkan lagi jika dipandu dengan lebih berhemah namun saya masih belum bersedia untuk menukar keseronokan pemanduan dengan penjimatan minyak.
Daripada segi pemanduan dan pengendalian pula anehnya saya merasa lebih seronok memandu Civic Hybrid berbanding Civic 2.0. Tayar bersaiz 195/65 dengan rim 15 inci lebih selesa untuk dipandu berbanding tayar 17 inci Civic 2.0, gegaran kurang dirasai dan kereta terasa lebih lincah dan stereng agak ‘tight’ sewaktu mengambil selekoh. Kereta berada di laluan atau ‘line’ selekoh dengan patuh yang mana saya fikir dibantu oleh sistem Vehicle Stability Assist (VSA). Kuasa sterengnya juga seimbang dan saya suka bagaimana kereta ini ditala dan dipakejkan seolah-olah Civic ini sebenarnya direka untuk model Hybrid dan bukan model 2.0. Honda Civic Hybrid dijual pada harga hampir RM120 ribu dan sebenarnya harga tersebut boleh dikurangkan lagi jika beberapa peralatan standard dikurangkan dan dijadikan opsyen seperti kerusi kulit, lampu utama nyalaan automatik dan butang push/start. Secara logiknya pembeli kenderaan hybrid adalah mereka yang kalkulatif dalam melaburkan wang dan saya rasa mereka tidak kisah pun jika tidak diberi aksesori tersebut melalui pakej standard asalkan kereta dapat dibeli dengan harga murah.
Kepada mereka yang khuatir tentang bateri pula, Honda memberi waranti selama 8 tahun untuk bateri IMA dengan batuan tanpa had dan katalah selepas tempoh tersebut bateri itu rosak, kos untuk penggantiannya pula ialah RM5,480.00. Jika ada yang masih ragu-ragu, anda disarankan membuat perkiraan terlebih dahulu dan sebenarnya pembelian kereta hybrid ini terasa berbaloi dan pemiliknya boleh tersenyum apabila harga minyak, naik dan naik. Sewaktu itulah dirasakan pelaburan yang dilakukan adalah wajar!
@muhd_gt