Benelli, pengeluar motosikal berkuasa tinggi dari Itali mengumumkan syarikat tersebut dengan rasminya melantik Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. sebagai pengedar baharu untuk motosikal Benelli di Malaysia mulai 1 Februari 2017. Dengan perlantikan tersebut, Mforce Bike Holdings akan memasang, mengedar dan membekalkan perkhidmatan selepas jualan termasuk alat ganti bagi produk Benelli di pasaran Malaysia.
Perkhidmatan sedia ada Benelli tidak terjejas
En. Asri Ahmad, Pengurus Jualan Nasional Mforce Bike Holdings memaklumkan semua pemilik Benelli akan terus menikmati faedah dan perkhidmatan tambahan yang dibekalkan oleh syarikat.
Sebagai tambahan, semua Pusat Servis Mforce di Malaysia akan memberikan sokongan perkhidmatan selepas jualan bermula dari bulan Mac kepada semua motosikal Benelli yang terjual sebelum ini.
Perkenal pelbagai model Benelli – Super moped pertama pada April 2017
Mforce Bike Holdings merancang untuk meningkatkan variasi model-model Benelli di Malaysia. Sebagai permulaan produk-produk seperti Leoncino 500, 302R, TRK 502 dan lain-lain sedang diberi perhatian serius oleh syarikat.
Selain dari motosikal berkuasa tinggi, Mforce Bike Holdings juga merancang untuk memperkenalkan super moped pertama Benelli dalam bulan April 2017 nanti. Enjin 150cc baharu pada moped tersebut mematuhi tahap piawaian “EURO STANDARD” dan dilengkapi dengan ciri-ciri utama seperti suntikan bahan-api, gear 6 kelajuan dan sistem penyejukan air.
Enjin ini telah diuji sejauh 20,000km dan diyakini mencapai citarasa yang diingini oleh pelanggan di Malaysia.
Peruntukan promosi besar
Pihak Mforce Bike Holdings telah pun menyediakan peruntukan yang besar bagi memastikan jenama Benelli lebih diketahui umum di Malaysia. Pelbagai acara promosi, pameran motosikal dan alatan pemasaran telah dirancang dan akan dilaksanakan untuk tujuan itu.
Khusus untuk kelab-kelab motosikal Benelli, Mforce menyarankan supaya menghubungi mereka di talian 04 -554 1777 (Paul) untuk pendaftaran dan bersama-sama di dalam program-program yang akan dianjurkan oleh syarikat di masa akan datang.