Kadang-kadang kita ada terlepas pandang tentang sesuatu perkara. Mungkin sebab kita pandang remeh, tidak berfikir secara mendalam atau langsung tidak terlintas di dalam fikiran. Perkara ini terjadi kepada saya apabila mendapat berita atau membaca tentang Kia Soul. Nama model tersebut saya baca tanpa rasa apa-apa, berkali-kali dalam tempoh yang agak lama hinggalah saya tersedar yang sebutan Soul adalah sama seperti Seoul, Korea Selatan. Bagaimana saya terlepas pandang pun tidak tahu tetapi saya fikir itulah kelemahan manusia, bila kita sangka dah tahu serba-serbi sebenarnya banyak lagi yang kita tidak tahu.
Baru-baru ini di New York, Kia memperkenalkan model Soul serba baharu. Model itu yang mempunyai imej tersendiri serta-merta boleh dicam melalui imejnya yang funky dan segar. Soul baharu dibangunkan di atas chasis baharu yang lebih tegar, panjang dan lebar menjadikannya lebih besar untuk penumpang dan ruang bagasi sementara bunyi, gegaran dan kekasaran dikurangkan. Menghormati pelanggan Soul yang unik, Kia memperkenalkan tiga varian kemasan untuk pasaran Amerika Syarikat (AS) iaitu Base, Plus dan Exclaim.
“Apabila Soul pertama kali diperkenalkan pada tahun 2009, kami di Kia percaya bahawa kami telah berjaya menghasilkan sesuatu yang popular tetapi apa yang kami tidak tahu ialah sejauh mana populariti tersebut akan membesar,” kata Michael Sprague, Naib Presiden Eksekutif Pemasaran dan Komunikasi, Kia Motors America (KMA). “Soul telah merubah perspektif jualan dan pemasaran dan menjadi antara model jualan terlaris di AS. Ianya penting untuk Soul baharu ini kekal menggunakan formula yang berjaya iaitu rekabentuk ikonik dan menyuntiknya dengan dinamik pemanduan yang ditambah baik dan ciri-ciri yang menambah keterampilan, sofistikated dan nilai.”
Mengekalkan ciri-ciri yang membuatkan Soul istimewa dan menambah baik apa yang perlu bukanlah tugas yang mudah. Semasa pasukan pereka sibuk di studio Kia di California, jurutera di AS dan Korea pula fokus untuk menjadikan Soul seronok untuk dipandu. Model baharu Soul dibangunkan berdasarkan tiga fokus iaitu rekabentuk ikonik dengan pengaruh moden, ciri-ciri premium dan menambah baik dinamik pemanduan untuk menjadikan Soul baharu lebih menarik.
Kia dikenali dengan model konsep yang mirip dengan model produksi dan kiranya pasaran boleh menggagak rekabentuk model baharu tidak lari jauh dengan model konsep dan ini semestinya tidak terkecuali untuk model Soul. Dengan model konsep Track’ster yang diperkenalkan pada 2012, Kia mendapat maklum balas untuk menterjemahkan model itu kepada realiti. Dengan tempoh 18 bulan di antara penetapan rekabentuk dan produksi, pasaran boleh menjamah model baharu itu yang banyak mempunyai pengaruh gayaan model konsep Track’ster. Tom Kearns, Ketua Pereka di studio California mengatakan yang Track’ster banyak dipengaruhi oleh anjing bulldog dan tema tersebut dizahirkan pada hampir kesemua sudut Soul baharu.
“Soul baharu sebenarnya adalah antara tugasan yang paling sukar kami lakukan, menghasilkan model dengan kombinasi rekabentuk sedia ada dengan suntikan elemen Track’ster adalah tugas yang mencabar. Model ini dihasilkan secara kerjasama dengan panduan oleh Peter Schreyer di Frankfurt dan bantuan dari studio kami di Korea. Hasilnya kami berjaya mengekalkan nilai asal Soul dan pada masa yang sama mengadun elemen baharu pada luar dan dalam kereta.” kata Tom Kearns.
Badan baharu Soul sebenarnya lebih kukuh iaitu peningkatan 28.7 peratus ketegaran kilasan (torsional rigidity). Jurutera telah menguatkan chasis pada poin sambungan sepanjang dinding enjin (cowl), bahagian atas dan bawah tiang B, cross member dan tiang C. Secara keseluruhannya, 66 peratus chasis menggunakan Ultra High Strength Steel (35 peratus) dan High Strength Steel (31 peratus). Tiang A kini 20mm lebih nipis seterusnya memperbaiki tahap penglihatan ke luar, saiz yang berkurangan tersebut ditebus dengan penggunaan Ultra High Strength Steel yang lebih ringan dan kuat. Pembaikan juga dibuat pada pemanduan dan pengendalian melalui talaan semual suspensi depan dan belakang. Palang penstabil dialih ke belakang pada bahagian suspensi depan manakala kotak stereng pula dianjak ke depan supaya lebih seimbang seterusnya memperbaiki tahap pengendalian.
Kuasa untuk varian Base dihantar oleh aluminium 1.6 liter Gamma Gasoline Direct Injection (GDi) yang berkuasa 130hp. Varian Plus dan Exclaim pula menggunakan enjin 2.0 liter Nu GDi berkuasa 164hp. Kedua-dua opsyen enjin tersebut telah ditala semula untuk memberikan lebih kuasa tork rendah iaitu peningkatan 9 peratus untuk model 2.0 liter dan lima peratus untuk model 1.6 liter bagi memperbaiki prestasi pemanduan bandar. Enjin 1.6 liter dipadankan dengan transmisi enam kelajuan manual atau enam kelajuan automatik. Varian Plus pula mungkin akan dipadankan di antara kedua transmisi tersebut manakala varian Exclaim hanya ditawarkan dengan transmisi enam kelajuan.
Jika anda perasan, kereta buatan Korea mempunyai beberapa model yang mengambil nama tempat seperti Hyundai Tucson dan Hyundai Santa Fe jadi tidak hairanlah Kia menggunakan nama Soul untuk model ini. Pilihan nama tersebut merupakan suatu yang pintar kerana turut mengangkat nama ibu kota Korea Selatan tersebut di mata dunia. Selain daripada itu, tahukah anda tayar ASTAR keluaran Sime Tyres berasal daripada perkataan Alor Setar? Nama tersebut diambil sempena lokasi kilang produksi tayar yang kini dimiliki oleh Continental AG.
Newspress
@muhd_gt
2 comments
xpernah tgk dpn mata..so xtahu saiz sebenar..ada terbaca yg Kia Soul tidak berada dlm mana2 segment kereta..so dia lone ranger..tapi, enjinnya yg berkapasiti 1.6L dan dpt keluarkan 130hp adalah cukup Baek!begitu juga enjin 2000cc-nya yg mempunyai 164hp..apapun bergantung kepada saiz dan berat beliau..tp adakah beliau akn masuk pasaran Malaysia??dan brapa pula harganya??tunggu jawapan dr En Muhd_gt 🙂
—@adi_hamudi—
ala ala evoque