Kia Sorento 2015: Kini Dengan Gayaan Matang dan Elegan

Kia Sorento 2014.04

Jenama Kia semakin hari nampaknya semakin disegani. Kita boleh melihat sendiri bagaimana Kia yang entah dari ceruk mana secara tiba-tiba mencipta nama dengan model Sportage belasan tahun lepas. Straterginya mudah, lambakkan sahaja produk pada harga yang jauh lebih murah daripada pesaing tetapi dengan spesifikasi tinggi. Falsafah itu diteruskan dari satu generasi ke satu generasi dengan rekabentuk yang selamat sehingga revolusi terkini mereka. Tidak hairanlah mereka menggunakan slogan “The Power to Surprise” yang bukan setakat retorik tetapi benar dipraktiskan seperti apa yang kita boleh lihat melalui barisan produk terkini mereka.

Transformasi rekabentuk di samping kempen pemasaran yang efektif telah membuka pasaran baharu di serata pasaran global. Terkini Kia bersiap-siap untuk melancarkan model terbaharu Sorento yang akan dipertontonkan di Korea pada penghujung Ogos dan kemudian di Paris pada Oktober depan sebelum dijual secara rasmi di Eropah pada tahun 2015. Harus tahu Sorento sedia ada walaupun berkongsi platform dan rekabentuk dengan model lama namun telah mengalami perubahan yang ketara sementara model 2015 dilancarkan. Sorento mempunyai konfigurasi kerusi yang unik di mana SUV itu mempunyai kapasiti tujuh tempat diduduk seterusnya merupakan alternatif ideal untuk mereka yang tidak berapa gemar dengan imej keluarga yang besar pada MPV. Jika dibuat perbandingan, ternyata Sorento mempunyai kelebihan bersaing dan nilai yang tinggi di dalam kelasnya.

Kia Sorento 2014.05

Sorento baharu yang bakal dilancarkan ini dijangka meneruskan kecemerlangan model sedia ada. Cuma penggayaan model generasi ketiga itu dilembutkan dengan penampilan yang lebih matang seolah-olah Kia menekan brek kepada gayaan agresif mereka. Boleh jadi begitulah strateginya, bermula dengan rekabentuk normal kemudian lebih agresif untuk menarik perhatian pasaran seterusnya menghalusi bahasa rekabentuk supaya tak lekang masa (timeless). Menurut Kia, rekabentuk kali ini adalah evolusi kepada model sedia ada dengan pengaruh model konsep Cross GT yang dipertontonkan di Chicago pada 2013. Antara elemen yang dibawa ialah bonet yang panjang dan tiang D yang lebar seperti model sebelum ini. Model baharu lebih panjang, rendah dan lebar dengan jarak roda yang dipanjangkan dan hasilnya ialah lebih ruang selain dari sejumlah ciri-ciri inovatif.

Walaupun Kia kini lebih bersifat global namun rekaan luaran Sorento diterajui oleh studio Namyang di Korea dengan input yang signifikan dari studio antarabangsa Kia di Frankfurt dan California. Wajah depan Sorento dihias dengan ‘tiger-nose’ yang lebih besar dan tegap selain daripada corak tiga dimensi berlian. Lampu utamanya pula lebih panjang dan ditarik ke belakang selari dengan trend terkini. Rekabentuk badan diolah semula melalui garis bumbung yang lebih rendah, garis pinggang yang dinaikkan dan lebih maskulin serta bentuk ‘bahu’ yang lebih membujur pada bahagian belakang menjadikan SUV ini tampak lebih dramatik. Dari segi ukuran, panjang Sorento baharu meningkat 95mm kepada 4,780mm, direndahkan 15mm kepada 1,685mm manakala jarak roda yang 80mm lebih panjang kepada 2,780mm menjadikan ruang penumpang di barisan ketiga lebih luas.
Menurut Soon-Nam Lee, Naib Presiden Pemasaran Luar Negara Kia Motors Corp, “Walaupun kami mengekalkan nama model yang telah mencatat kejayaan tinggi ini namun Sorento serba baharu ini mempunyai rekabentuk baharu sepenuhnya dan bakal mengejutkan pelanggan dengan gayaan, sejumlah ciri-ciri praktikal dan teknologi keselamatan selain daripada ruang yang lebih luas, keselesaan pemanduan dan tindak balas pengendalian.”

Kia Sorento 2014.03

Kepada peminat tempatan atau pun mereka yang menunggu SUV dengan tujuh tempat duduk, lazimnya model baharu Kia akan dipasarkan beberapa bulan selepas pelancaran global setelah urusan pemasangan tempatan selesai. Namun terdapat juga model-model Kia yang tidak dipasarkan di sini tetapi sukar rasanya untuk Naza tidak menjual model arus perdana itu memandangkan Sorento mempunyai pengikutnya yang tersendiri sejak dari generasi pertama lagi. Bahkan Naza membuat nama dek kerana model SUV Sportage selain daripada tarikan pasaran semasa dan desakan dari pesaing lain. Kepada mereka yang tidak gemarkan rekaan Kia yang agresif kini pemain global itu cuba menyeimbangkan falsafahnya dan tampil lebih matang dan elegan. Sorento juga menampilkan imej yang lebih ranggi dan maskulin berbanding kenderaan pelbagai guna rekondisi yang mahal harganya dan tidak menepati selera sesetengah orang. Sorento adalah jawapan yang boleh dipertimbangkan.

Garaj Kosmo

Newspress

@muhd_gt

Silakan kongsi:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.