Hampir sedekad lepas, pengguna dalam negara ditawarkan opsyen kereta sedan yang menarik iaitu Kia Sephia dan model penggantinya iaitu Spectra. Kedua-dua model tersebut menerima sambutan hangat mungkin dek kerana rakyat mahukan sesuatu yang baharu berbanding pilihan kebanyakan iaitu Proton Waja atau Gen.2. Harganya pula tidaklah murah setara kereta nasional namun tetap berjaya menawan hati pengguna tempatan. Walau bagaimanapun, selepas beberapa tahun memilikinya ada yang mengeluh alat ganti kereta buatan Korea tersebut sukar untuk diperoleh dan mahal pula harganya. Akibatnya kedua-dua model itu mempunyai nilai jualan semula yang rendah. Tidak kurang juga yang bertaubat untuk tidak memiliki kereta buatan Korea lagi. Adakah Kia atau pengedar utama tempatannya iaitu Naza mengalah? Langsung tidak malah mereka gigih memasarkan model pengganti Spectra yang dikenali dengan nama baharu iaitu Forte atau Cerato di sesetengah pasaran global.
Forte adalah pengubah permainan untuk Kia apabila model tersebut mendapat sambutan hangat di kebanyakan pasaran dunia. Model itu merupakan produk pertama rekaan pasukan Peter Schreyer untuk Kia yang merupakan seorang ikon di dalam bidang rekabentuk kereta. Apabila model tersebut dilancarkan seolah-olah pasaran yang pernah ‘sakit hati’ dengan jenama tersebut langsung memaafkannya. Pakejnya lengkap iaitu rekaan yang menarik, kejuruteraan yang moden, ciri-ciri keselamatan yang tinggi dan kesemua itu dipakejkan dengan harga yang sangat sukar untuk ditandingi oleh pesaing lain. Mereka yang pernah memandu uji Forte atau yang sedang memilikinya pasti setuju bahawa model itu mempunyai citarasa Eropah dan bukan seolah-olah dikeluarkan oleh syarikat Korea. Jadi tidak hairanlah ramai yang jatuh cinta dengan model itu dan berjaya membuka pasaran baharu untuk Kia.
Apabila sudah berjaya, perkara yang paling sukar ialah mengurus kejayaan tersebut. Pasaran ternanti-nanti langkah seterusnya dan untuk memenuhi jangkaan itu, Kia sudah siap sedia untuk memasarkan model pengganti Forte. Bermula tahun hadapan kebanyakan pasaran global sudah boleh menilai produk baharu tersebut. Jualan global Cerato sudah melebihi 2.5 juta unit sejak pengenalannya pada tahun 2004. Pada tahun 2011 sahaja, sebanyak 445,500 unit Cerato terjual yang mewakili 17.9% daripada keseluruhan jualan global Kia.
Forte baharu membawa gayaan “dynamic muscularity” dengan saiz yang lebih panjang, rendah dan lebar berbanding model lama dengan jarak roda yang dipanjangkan. Model itu mempunyai kerangka badan baharu, peralatan yang dinaik taraf, penambahan ciri-ciri kemudahan dan keselamatan, kabin yang lebih luas dengan kualiti yang dipertingkatkan, lebih perincian dan pakej kuasa yang ditambah baik untuk memberi lebih prestasi dan penjimatan bahan api.
“Cerato merupakan produk jualan eksport kami yang paling besar, oleh itu pengenalan model baharu ini merupakan acara yang besar untuk Kia,” kata Thomas Oh, Naib Eksekutif Presiden dan COO Divisyen Perniagaan Antarabangsa Kia.
“Kami mempertingkatkan lagi persaingan dengan pengenalan model baharu ini yang mempunyai lebih tarikan emosi pada nilai utamanya iaitu rekabentuk, kualiti dan nilai. Ianya pasti meningkatkan lagi kebolehsaingan kami di dalam segmen ini yang merupakan kategori paling penting dan sengit di dalam pasaran dunia.
“Cerato baharu ini sangat penting untuk Kia yang merupakan bukti dalam kesungguhan kami untuk membina kereta yang melebihi jangkaan pelanggan dan pengalaman pemilikan yang menyenangkan,” tambah Thomas Oh.
Direkabentuk di pusat rekaan Kia di Irvine, California, model itu digayakan dibawah arahan Peter Schreyer. Rekabentuk seperti tertolak atau tercondong ke hadapan dengan garisan bumbung yang rendah seperti kereta coupe. Perincian pada permukaan dan panel yang mesra rintangan pula menjadikan seretan aerodinamiknya turun daripada 0.29 kepada 0.29.
Daripada segi enjin pula, model baharu itu mempunyai dua opsyen enjin petrol iaitu enjin Nu 2.0 liter berkuasa 161ps dan enjin Gamma 1.6 liter berkuasa 130ps. Kesemua model Forte didatangkan dengan transmisi enam kelajuan automatik. Model baharu itu boleh dipacu ke 100 km/j dalam masa 8.5 saat dengan kelajuan maksimum 210 km/j. Untuk menjamin keselamatan penumpang, rangka badan Forte mempunyai 63% besi kekuatan tinggi dan tiga besi rintangan (cross member) tambahan dengan tiang B yang diperkuatkan. Ketegaran kilasan (torsion) telah dipertingkatan kepada 37% berbanding model lama yang seterusnya menyumbang kepada keselamatan yang lebih baik, perincian, keselesaaan dan ketepatan stereng.
Untuk skala ekonomi yang tinggi memenuhi kepelbagaian permintaan pasaran Forte bakal ditawarkan dengan pelbagai varian antaranya model hatchback lima pintu dan versi sporty dua pintu coupe. Mengikut penawaran semasa Naza, pasaran negara ditawarkan model sedan dan model Koup Forte. Masanya pula mungkin pertengahan tahun depan atau mungkin juga hujung tahun depan. Yang pasti, Malaysia adalah pasaran penting untuk Kia dan jenama itu kekal sebagai alternatif yang menarik untuk kereta nasional atau pun Jepun.
@muhd_gt
The newsmarket
7 comments
Skip to comment form
Macamana nilai selepas jualan kereta Kia generasi baru.. maintain ke jatuh merundum mcm dulu jugak? Sapa2 tahu ?
Nilai jualan juga bergantung pada parts availability. Sy bersetuju dengan penulis. Tapi ada juga sebab lain. Contohnya environment. Seperti di Malaysia, ramai yang meminati kereta jepun seperi Toyota dan Nissan. Maka valuenya ada utk jualan balik.
Kalau kite tengok, hrga jualan balik bg proton dan perodua pun ok. Tetapi bagi kereta mewah spt bmw. Audi. Memang hrga jualan balik agak rugi.
Apa2 pun, sy meminati kia optima. Korang dh tgk kia optima baru? Hehe meleleh
dulu… kia tiada dlm snarai ..
tp skarang.. Kia Sudah menjadi perhatian yg serius..
chantek… tp x brani beli…
forte memang ganas la…sporty abis lebih lagi kalu letak sportkit//ramai yang pakai puas hati dan berbaloi …canggih moden teknologi kedepan dengan harga yang rendah berbanding apa yabg ada padanya…kalu malaysia buat keta tu jangan harap harga bawah 90k…jualan balik tidak la teruk macam dulu…alat ganti pun dah mudah dan tak mahal sangat…kalu dah minat jangan fikir lama…tak rugi beli.
Gua dah booking sejibik… tak sabar nk bawak balik rumah…
So saper yg dah beli cerato nie,macam maner feedback? Memuaskan hati x?