Kia cee’d Sportswagon: Wagon Ada Gaya!

Hanya selepas tiga bulan Kia melancarkan cee’d hatchback, famili cee’d disertai oleh varian baharu iaitu cee’d Sportswagon. Menggantikan model cee’d SW, nama yang dipilih dikatakan menyempurnai karakter baharu model itu yang sukakan cabaran, sporty, moden dan menggunakan teknologi moden dengan lebih ciri-ciri praktikal dan bernilai.

cee’d Sportswagon dipertontonkan kepada umum bersama-sama dengan model hatchback pada Pameran Kenderaan Geneva 2012 yang sepadan dengan gayaan, kualiti, teknologi, peralatan dan keselamatan. Seperti model yang digantikannya, cee’d Sportswagon direkabentuk dan dijuruterakan di studio rekaan dan pusat teknikal Kia di Frankfurt, Jerman dengan kilang produksinya di Žilina di Slovakia.

Model aras kemasukan (entry-level) menggunakan enjin 1.4 CRDi berkuasa 89bhp dengan tork 220Nm bermula dari 1500rpm. Model 1.6 CRDi pula berkuasa 126bhp dengan tork 260Nm yang bermula dari 1900rpm. Transmisi automatik yang dipadankan mempunyai enam kelajuan manakala model transmisi manual pula dipasangkan sistem Intelligent Stop & Go (ISG) yang menjimatkan bahan api serta kurang emisi.

Praktikal

cee’d Sportswagon bukan hanya menjual stail sahaja tetapi juga praktikal. Dengan ukuran panjang 4.5 meter, model itu lebih kompak jika dibandingkan dengan pesaing Eropah lain dan hanya 15mm lebih panjang berbanding cee’d SW yang digantikannya. Kapasiti ruang bagasi turut lebih besar berbanding majoriti pesaing iaitu 528 liter dengan penutup ruang bagasi dan meningkat kepada 1642 liter maksimum jika kerusi belakang dibaringkan. Setiap varian cee’d Sportswagon mempunyai ruang penyimpanan bawah lantai dan sisi, penutup bagasi, lampu bonet dan soket kuasa 12 volt.

Varian dengan spesifikasi tinggi pula didatangkan dengan rel aluminium dan pengikat pada ruang bagasi dan jaring untuk menyimpan barang-barang dan menghalangnya daripada jatuh ke ruang penumpang. Rel bumbung pula standard untuk setiap model untuk penyimpanan barangan di luar kenderaan. Wagon itu mampu menampung muatan sebanyak 500kg dan model manual boleh menunda dengan berat 1500kg.

Ciri-ciri Sporty

Penggunaaan nama sports pada wagon itu diaplikasikan pada rekabentuknya dengan bukan sahaja lebih panjang daripada model SW yang digantikan malah 10mm lebih kecil dan 40mm lebih rendah. Pengurangan itu masih mengekalkan ruang penuh untuk lima orang penumpangnya. Pintu belakangnya berbeza dengan model cee’d hatchback supaya jaluran bahagian bawah tingkap boleh ditarik hingga ke belakang dengan sempurna untuk pencahayaan yang lebih terang dan penumpang belakang tidak berasa lemas. Seperti cee’d hatchback, jarak titik roda berukuran 2650mm tidak berubah tetapi lebar trek dibesarkan kepada 17mm di depan manakala 27 mm di belakang bagi menampakkan kedudukan yang lebih sporty. Dengan geometri suspensi yang diubah, model itu lebih stabil pada kelajuan tinggi dan jalan berliku. Menariknya, cee’d Sportswagon mempunyai suspensi bebas depan dan belakang yang menyerlahkan lagi ciri-ciri sporty nya.

cee’d Sportswagon tampak lebih sporty dan premium berbanding model terdahulu dan faktor utamanya ialah melalui perkadaran (proportions) yang radikal. Rekaannya lebih berat ke depan dengan bumbung seperti kereta coupé yang menampakkannya lebih sporty dan menyerlah. Logo Kia juga dikemaskan semula dengan lebih ringkas, sleek dan moden. Posisinya turut diubah di mana bukan lagi dilekatkan pada gril tetapi pada bonet yang menurut Kia nampak lebih premium.

Kata Peter Schreyer yang merupakan Ketua Pereka Kia,”Kami mahu mengeksploitasi kekuatan pada model generasi pertama yang membuatkannya begitu berjaya tetapi dengan lebih ciri-ciri emosi dan perkadaran serta ketegapan yang ditambah baik.”

Kia nampaknya begitu bersemangat dengan model baharu itu dan mengikut mereka, tiada satu pun yang ditinggalkan dalam cabaran bagi memastikan cee’d Sportswagon menawarkan suatu yang ekstra berbanding pesaing Eropah lain. Kesemua ciri-ciri pada model terdahulu disemak semula. Jika ada benda yang perlu diubah, mereka telah pun melakukannya. Contoh mudah yang diberikan ialah pembuka penutup minyak yang menurut mereka pelanggan di Amerika sukakan jenis yang buka daripada dalam kenderaan. Untuk pasaran Eropah pula, majoritinya suka jika ianya disatukan dengan kunci berpusat (central locking) supaya ianya ” can be opened with just a push”. Kenapa pasaran Eropah begitu penting untuk mereka? Kerana model cee’d Sportswagon ini eksklusif untuk pasaran Eropah sahaja.

Newspress

@muhd_gt

Silakan kongsi:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.