Honda Malaysia baru-baru ini mengumumkan penamatan operasi di 3 Hab Servis Sentral untuk penggantian inflator beg udara depan buatan Takata. Walau bagaimanapun Honda akan membuka beberapa pusat operasi bagi tujuan tersebut.
Berikut ialah tindakan susulan Honda bagi program penggantian beg udara depan Takata.
1. Penutupan Hab Servis Sentral Honda
Operasi di 3 pusat utama iaitu Utara, Tengah dan Selatan beroperasi sehingga 31 Disember 2016 sahaja. Pelanggan perlu ke pengedar Honda yang sah untuk penggantian inflator beg udara.
2. Pengenalan Karavan Bergerak
Honda Malaysia akan memperkenalkan karavan bergerak untuk memudahkan pelanggan terjejas menggantikan inflator beg udara Takata. Karavan bergerak ini akan menjelajah ke seluruh negara di mana pelanggan boleh terus menggantikan dengan segera.
Khidmat ini akan beroperasi selama 7 hari seminggu.
3. Lanjutan Hab Bergerak di Pusat Membeli Belah dan Tim Mobil
Pusat penggantian di Pusat Membeli Belah sedia ada akan ditambah kepada tiga lokasi baharu setiap minggu untuk wilayah Tengah, Johor Bahru, Kedah dan Pulau Pinang sehingga Mac 2017. Maklumat lokasi akan dipaparkan di laman web www.honda.com.my atau www.productrecall.honda.com.my.
Honda Malaysia terus proaktif apabila tim mobil akan melawat sendiri ke premis jualan kenderaan terpakai dan syarikat korporat untuk terus menggantikan inflator beg udara Takata yang terjejas. Khidmat ini hanya ditawarkan di wilayah Tengah.
4. Kesinambungan Lawatan Staf Pusat Servis Honda Dari Rumah ke Rumah
84 staf pusat servis Honda di seluruh negara akan terus melakukan lawatan dari rumah ke rumah pelanggan untuk tugas ini sehingga Mac 2017. Khidmat ini adalah untuk meningkatkan kesedaran kritikalnya isu inflator beg udara hadapan Takata dan mempercepatkan proses penukaran yang tidak memerlukan sebarang bayaran oleh pelanggan terjejas.
Penukaran inflator beg udara Takata ini sangat penting dan telah pun meragut nyawa. Pengeluar utama kenderaan dunia turut terjejas dan isu ini telah pun menjadi hangat di peringkat global. Setakat 28 Disember 2016 Honda Malaysia telah berjaya menyiapkan 71% kenderaan yang terjejas dengan 100% stok tersedia.
Untuk proses yang lebih berkesan, Honda Malaysia turut berkerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan bagi mengesan pemilik terkini kenderaan Honda yang terjejas.
Pelanggan terlibat hanya perlu membuat temu janji di mana-mana pusat servis Honda bertauliah manakala untuk Hab Mobil atau program Honda Family Trip pula pelanggan boleh menukar inflator beg udara hadapan tersebut secara terus.
Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi talian bebas tol Honda di 1-800-88-2020 atau melayari
www.honda.com.my or www.productrecall.honda.com.my.