HONDA HR-V RS BAHARU KINI DI KLIMS 2018

Honda Malaysia Sdn. Bhd (atau HMSB) mempamerkan varian terkini SUV kompak HR-V RS pada acara Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS 2018). Sejak Honda Malaysia membuka tempahan di semua 97 pengedar Honda di seluruh negara pada Julai lalu, lebih 4,100 tempahan telah diterima untuk HR-V Baharu hingga ke hari ini.

Dilancarkan pada tahun 2015 di Malaysia, HR-V telah mendapat maklum balas positif dari pasaran apabila mencatat jualan kumulatif keseluruhan sebanyak 72,200 unit sehingga kini.

Di antara Januari dan September 2018, model-model Honda seperti Jazz, City, Civic, Accord, CR-V dan BR-V muncul sebagai peneraju dalam segmen masing-masing.

Honda juga berjaya mengekalkan posisinya sebagai jenama No. 1 dalam segmen Bukan Nasional dan No. 2 Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) secara keseluruhannya.

HR-V RS Baharu tampil lebih “sporty” dan menarik menerusi bahagian luarannya yang terdiri daripada reka bentuk signatur Honda. Misalnya konsep rekaan ‘Solid Wing Face’ dengan Lampu Utama LED Baharu, Lampu Nyalaan Siang (DRL) LED, Lampu Kabus LED dan Kombinasi Lampu Belakang LED.

Varian HR-V RS Baharu dipasang dengan Rim-Aloi Dua Tona bersaiz 18-inci, Rekaan Gril Hadapan yang “sporty”, selain bampar hadapan dan belakang baharu untuk meningkatkan lagi penampilannya yang menarik.

Perincian-perincian baharu seperti kemasan hendal pintu krom gelap, kemasan plat krom gelap, sil sisi berwarna hitam yang “sporty” dan kemasan pada perumah lampu kabus yang memberikan rasa yang lebih segar kepada varian RS.

Sebagai tambahan kepada penampilan dan ciri yang telah dipertingkatkan, HR-V RS Baharu dikuasakan oleh enjin 1.8L SOHC i-VTEC. Enjin itu dipadankan dengan kotak gear Continuous Variable Transmission (CVT) daripada Earth Dreams Technology Honda yang menawarkan prestasi dan penjimatan bahan api yang seimbang.

Ia kini dilengkapi satu ciri baru – sistem stereng Variable Gear Ratio (VGR) untuk pemanduan yang lebih “sporty”. Pemandu akan memperoleh dua manfaat iaitu – pemanduan yang lebih efisien ketika memandu di bandar dan pemanduan lebih stabil apabila memandu di lebuh raya.

Ruang kabin HR-V RS Baharu yang luas didatangkan dengan rekaan tempat duduk kulit baharu berwarna Ivory yang kelihatan lebih sofistikated dan elegan.

Dilengkapi Pedal Penukar Gear (Paddle Shift), Tempat Duduk 8 Talaan Kuasa untuk pemandu dan pedal sport sebagai sebahagian daripada pakejnya, perincian HR-V RS Baharu sememangnya menarik perhatian.

Bahagian kargo boleh laras dengan pelbagai mod konfigurasi merupakan ciri penting model ini. Ia direka agar luas, praktikal dan penuh fungsi – menawarkan keselesaan dan kemudahan untuk penumpang dan memberi keseronokan memandu (Joy of Driving) kepada pemandu.

Pakej lengkap varian RS dipertingkatkan lagi dengan Honda LaneWatch, satu sistem kamera yang dipasang pada cermin sisi penumpang.

Pandangan laluan kiri dan titik buta akan dipaparkan pada sistem paparan di dalam kereta. Ini memberikan sudut pandang yang lebih baik dan menawarkan kondisi pemanduan lebih selamat kepada pemandu.

HR-V RS Baharu hadir dengan ciri keselamatan standard seperti enam beg udara, Isyarat Berhenti Kecemasan (Emergency Stop Signal), Bantuan Kestabilan Kenderaan (Vehicle Stability Assist) dan Bantuan Mula Mendaki (Hill Start Assist).

Bukan itu sahaja, HR-V RS Baharu juga dilengkapi Kamera Undur Pelbagai Sudut (Multi-Angle Rear-View Camera) demi memberi kemudahan kepada pemandu.

Orang ramai boleh melihat model menarik ini secara dekat yang akan dipamerkan sepanjang acara KLIMS 2018 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) bermula 23 November hingga 2 Disember 2018.

Silakan kongsi:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.